Tembok Besar China
PROJEK utama dalam Tembok Besar China ialah tembok tinggi dan panjang, dibina di puncak gunung tinggi atau dataran yang bentuk muka buminya berbahaya dilengkapi 100 tembok gerbang serta puluhan ribu stesen pengesan musuh dan menara pengawal.
Pemandangan dari menara pemerhati yang kita lihat hari ini ialah hasil pembangunan pada zaman Dinasti Ming. Bahagian dalam tembok berisi tanah bercampur batu-batan, manakala di bahagian atas dibuat jalan untuk pasukan berkuda China.
Tembok Besar Dinasti Ming bermula di timur dari Kubu Shanhai, dekat Qinhuangdao di Wilayah Hebei, melalui sembilan wilayah dan 100 daerah, tetapi bahagian 500 kilometer terakhir di barat sudah musnah sepenuhnya.
Sebelum Maharaja Qinshihuang menyatukan China pada 221 Sebelum Masihi, banyak negeri di pelbagai tempat di China membina tembok besar yang kemudian dihubungkan ketika era Dinasi Qin dan membentuk rangkaian tembok yang kini masih berdiri gagah.
Bahagian tembok tumpuan pelancong sekarang dibina pada Zaman Dinasti Ming, lebih 700 tahun lalu dan masih dipelihara dengan baik membabitkan jarak lebih 6,000 kilometer yang dibina dalam bentuk berliku-liku dan terletak di utara China.
Hebatnya binaan ini sehingga angkasawan terkemuka, Neil Amstrong yang menjelajah angkasa lepas mendedahkan Tembok Besar adalah satu daripada dua binaan di muka bumi yang dapat dilihat dengan jelas dari angkasa.
Terdapat empat lokasi Tembok Besar yang amat terkenal iaitu Juyongguan Badaling di pinggir Bandar Beijing, Jiayuguan di Wilayah Gansu, Huangyaguan Tianjin dan Shanhaiguan di Wilayah Hebei.
Penulis berpeluang menjejak Tembok Besar Badaling sebanyak dua kali, sekali bersama keluarga pada Disember 2004 dan baru-baru ini bersama anggota Taipan 181, kumpulan terbesar dalam syarikat jualan langsung Hai-O Marketing.
Terletak kira-kira 60 kilometer dari Beijing, kami bergerak seawal jam 8 pagi ke Badaling di sebelah utara untuk tiba sebelum 10 pagi supaya dapat bergambar sepuasnya merakamkan keindahan alam dan struktur binaan dari pelbagai sudut.
Kerajaan China menyediakan kemudahan selesa untuk mendaki tembok besar dan menikmati pemandangan, dilengkapi tandas dan kafe untuk berehat sambil menyaksikan keindahan alam dan seni binaan.
Menariknya, suasana di persekitaran Tembok Besar bertukar rupa empat kali mengikut musim iaitu musim panas, bunga, luruh dan sejuk. Pelancong digalak ke sini pada musim bunga kerana pemandangannya lebih romantik dan indah.
Bagi penulis dan mungkin juga kebanyakan pelancong ke China, berkunjung ke Tembok Besar adalah kemuncak lawatan ke Beijing. Rasa terharu bila dapat melawat tembok terbesar itu yang dicatatkan sebagai antara tujuh keajaiban dunia.
Dalam perjalanan pulang ke Beijing, kami berhenti di The Cloissonne Factory untuk makan tengah hari. Bangunan tiga tingkat ini juga destinasi wajib bagi pelancong Muslim kerana ada restoran makanan halal serta kemudahan untuk bersolat.
Di tingkat bawah dan tingkat satu, dijual pelbagai cenderahati seperti pasu seramik, perhiasan jed dan lukisan serta patung tanah liat pelbagai saiz, tetapi bagi penulis, harganya agak mahal.
Lawatan ke Beijing juga tidak lengkap jika tidak ke Dataran Tiananmen, dataran terbesar di dunia serta Kota Larangan yang juga dipanggil `Gu Gong’ selain menyaksikan persembahan akrobatik yang menampilkan aksi mendebarkan.
Satu lagi destinasi dalam senarai wajib dikunjungi ialah Stadium Olimpik yang dikenali sebagai `Bird Nest’ kerana bentuknya seperti sarang burung. Beijing adalah tuan rumah Sukan Olimpik 2008.
Masjid Niu Jiu iaitu masjid tertua dan terbesar di China juga antara yang mesti dikunjungi dalam senarai pelancongan Muslim. Keindahan masjid ini terkenal di seluruh dunia.
Ia yang berusia lebih 1,000 tahun siap diubahsuai pada 1979 selepas bangunan lama diperindahkan dengan lapisan warna emas dan dicat semula. Pada 13 Januari 1988, kerajaan mengisytiharkan masjid ini warisan sejarah utama negara.
Beijing juga terkenal sebagai syurga beli-belah. Ya Xiu market, Silk Market, Russian Market, Wang Fu Jing Street, Tianya Market dan Xiu Market menawarkan pelbagai barangan pada harga murah dengan syarat anda pandai tawar menawar.