Jakarta, Indonesia
JAKARTA, kota ke-11 terbesar di dunia mempunyai 12 juta penduduk. Ia menjadi cita-cita setiap penduduk Indonesia untuk datang ke kota impian itu.
Di Jakarta, anda boleh melihat pelbagai ragam manusia yang kadangkala tidak pernah terfikir di fikiran.
Bayangkan, di celah bangunan pencakar langit, peneroka bandar membina rumah daripada cebisan kotak atau berkampung di bawah jejambat.
Namun, itulah warna warni Jakarta yang mungkin tidak ada di tempat lain.
Jakarta asalnya dikenali sebagai Sunda Kalapa (397-1527), Jayakarta (1527-1619), Batavia (1619-1942) dan Djakarta (1942-1972).
Zaman penjajahan Belanda menyaksikan nama Batavia digunakan, sebelum Jakarta kembali digunakan selepas pendudukan Jepun pada Perang Dunia Kedua.
Peninggalan Belanda ini jelas dilihat pada reka bentuk bangunan di sekitar Kota dan Sunda Kalapa.
Muzium Sejarah Jakarta yang asalnya Stadhuys atau Town Hall of Batavia, kini mempamerkan potret gabenor terdahulu dan perabot antik pada zaman kegemilangan Belanda.
Muzium Wayang yang asalnya bangunan gereja pula mengabadikan payung wayang kulit, hasil kerja tangan karyawan Indonesia.
Muzium Senirupa dan Keramik yang pernah menjadi mahkamah Belanda pula mempamerkan koleksi
ukiran seramik oleh seniman negara itu.
Jakarta kaya dengan bangunan bersejarah. Deretan gudang lama bertaburan di kawasan Kota, manakala vila milik keluarga kaya Belanda banyak di Menteng.
Jika mahu membeli-belah, Tanah Abang menyediakan seribu satu macam barangan daripada telekung, fabrik kepada batik Indonesia.
Mangga Dua pula popular dengan barangan berjenama tiruan, tetapi kedua-duanya menawarkan pelbagai fesyen dan bentuk pada harga borong.
Untuk yang berpoket tebal, anda boleh berkunjung ke Grand Indonesia atau Pacific Place untuk mencari barangan berjenama atau ke Alun Alun Indonesia, jika mahu membelek cenderahati bermutu tinggi.
Jakarta, walau tampak hebat dengan menara pencakar langit masih dibayangi pembangunannya yang tidak seimbang.
Meskipun begitu, ia tidak mengikis rasa hormat warganya kepada seni dan budaya tradisi yang menjadi nadi kehidupan kota di antara pulau paling padat dunia itu.
Tempat menarik di Jakarta
# Taman Impiana Ancol menjadi pusat rekreasi keluarga dan pengunjung boleh mencuba pelbagai jenis permainan di Dunia Fantasi, taman air di Atlantis Water Adventure dan menyaksikan persembahan hidupan marin di Seaworld.
# Taman Mini Indonesia Indah mempamerkan kediaman masyarakat di 30 wilayah negara itu yang mempunyai lebih 250 budaya.
# Kepulauan Seribu adalah gugusan 330 pulau kecil yang bertaburan di Laut Jawa ini terletak dekat dengan utara Jakarta.
# Zoo Ragunan di selatan Pasar Minggu, menempatkan lebih 3,600 spesies hidupan liar termasuk cicak besar Komodo.
# Situ Babakan Village adalah perkampungan budaya dan anda boleh melihat cara hidup masyarakat Betawi, antara penduduk terawal di Jakarta.
JADUAL PENERBANGAN
AirAsia mengadakan tujuh penerbangan harian ke Jakarta. Maklumat lanjut, layari www.airasia.com.
Anda juga boleh menempah pakej percutian atau hotel di: http://goholiday.airasia.com.