Homestay Mudin Hasan, Kuala Pilah, Negeri Sembilan
NAMA Mudin Hasan mungkin kedengaran agak asing pada pendengaran, tetapi amat mesra dengan kehidupan masyarakat kampung di sekitar Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Apa tidaknya, mudin atau tok mudim ini bertanggungjawab menjalankan upacara berkhatan kepada kanak-kanak lelaki sebelum mereka melangkah ke alam remaja.
Justeru, tidak hairanlah apabila penduduk Kampung Terusan di Kuala Pilah memilih untuk mengabadikan namanya pada program homestay mereka.
Pengerusi Penaja Homestay Mudin Hasan, Md Ridzuan Hasan, berkata penduduk mengambil keputusan itu demi mengangkat martabat mudim dalam masyarakat kampung.
“Nama ini boleh dikatakan legenda kerana Mudin Hasan terkenal di serata daerah ini sehingga ada menggelarnya tok mudim istimewa
“Justeru, ia adalah langkah bijak bagi mempromosikan program homestay terbaru di Negeri Sembilan ini,” katanya.
Menurutnya, peserta homestay di kampung itu akan didedahkan dengan kaedah pembuatan gula anau seperti gula Melaka yang digunakan secara meluas dalam kehidupan masyarakat kampung.
“Gula anau yang dihasilkan akan dimasukkan ke kopi dan sebagai bahan dalam kuih tradisional,” katanya.
Selain itu, katanya, peserta akan dihidangkan dengan sajian masak lemak cili api, daging salai, telur itik selain masakan unik Halua Belulok.
“Kami turut mengajak peserta bersama penduduk bergotong-royong menyediakan rendang dan lemang,” katanya.
Ridzuan berkata, pihaknya juga mengaturkan aktiviti lasak seperti berakit menyusuri sungai bermula di Masjid Kampung Terusan sehingga ke sempadan Kampung Lalang.
“Inilah peluang warga kota menikmati alam semula jadi dan keseronokan di kampung,” katanya.
Info
>Mereka yang tidak pernah mengenal pokok getah perlu merebut peluang ini bagi menyaksikan sumber pendapatan utama penduduk kampung ini. Tambahan pula, banyak ladang getah sudah dibersihkan untuk digantikan dengan tanaman kelapa sawit.
>Aktiviti lain seperti makan malam barbeku dan acara karaoke boleh diaturkan sebagai penamat kepada program homestay. Sambil berhibur, mereka juga akan dihidangkan dengan kuih tradisional selain lemang dan rendang yang dimasak secara bergotong-royong.
>Jika mengunjungi sawah padi, luangkan masa untuk mengail ikan puyu atau ikan sawah lain bersama keluarga angkat. Cuba juga permainan tradisional yang disediakan.
RUJUKAN PERCUTIAN
Homestay Mudin Hasan
Tel: 03-87363517/019-2275492/019-2273160