Ho Chi Minh City
JIKA berkunjung ke Vietnam, jangan terkejut jika melihat rata-rata rakyatnya, sama ada lelaki atau wanita, semuanya kecil molek dan berbadan ramping.
Sukar sekali melihat insan berbadan gempal di negara berkenaan dan jika ada pun, cubalah bertanya, pasti jawapan yang akan anda peroleh ialah mereka bukan penduduk Vietnam, sebaliknya dari negara lain.
Apa rahsianya? Bukan kerana diet, bukan juga terlalu kuat bersenam, apatah lagi kebuluran dan kurang makanan. Ia kerana rakyat Vietnam menjaga pemakanan mereka, tanpa makanan berlemak kecuali sup.
Itu rahsia paling menarik diketahui penulis ketika berkunjung ke Ho Chi Minh atau nama lamanya Saigon bersama 20 ahli rombongan Majlis Guru Besar Pahang, baru-baru ini.
Peluang berkunjung ke Vietnam membawa penulis menjejak kaki di Delta Mekong yang terkenal kerana kesuburannya, terletak kira-kira dua jam perjalanan dari Ho Chi Minh.
Delta berkenaan meliputi sebahagian besar tenggara Vietnam dengan keluasan 39,000 kilometer persegi serta terkenal dengan padinya yang sangat subur.
Penulis bersama rombongan juga sempat singgah di bandar My Tho dan kami dibawa menaiki bot kayu menyusuri Sungai Mekong ke Pulau Unicorn, pulau terbesar di Sungai Mekong dari empat pulau yang ada.
Di Unicorn, pengunjung berpeluang melihat aktiviti penduduk kampung seperti menternak lebah madu dan menikmati makanan tradisi seperti kerepek pisang, halwa buah-buahan serta air madu lebah dicampur limau kasturi.
Sepanjang lawatan ke perusahaan membuat coklat daripada kelapa serta kraftangan, tetamu berpeluang menikmati kelazatan buah-buahan tempatan sambil disajikan alunan muzik dan nyanyian tradisional oleh penduduk.
Kami juga ke sebatang sungai kecil dipenuhi nipah dengan air sungai berwarna coklat tapi cukup bersih tanpa dicemari sampah sarap atau bau kurang menyenangkan.
Di sungai ini, pengunjung dibawa menaiki sampan kecil yang boleh memuatkan empat penumpang dan dikendalikan dua pengayuh, kebanyakannya golongan wanita yang mengenakan pakaian tradisional.
Suasana di sekitar Lembah Mekong jauh berbeza dengan Ho Chi Minh, bandar raya terbesar di Vietnam dengan penduduk seramai lapan juta orang yang dipenuhi motosikal.
Dilaporkan lebih lima juta penduduknya menggunakan kenderaan beroda dua itu sebagai pengangkutan utama, lalu tidak hairanlah kota industri dan bisnes ini digelar ‘bandar motosikal’.
Mereka yang pertama kali menjejak kaki di sini, mungkin pening dan takut untuk melintas jalan, apatah lagi persimpangan jalannya tidak dilengkapi lampu isyarat, tetapi jarang sekali berlaku kemalangan kerana pengguna amat bertolak ansur.
Tiada bingit bunyi hon atau maki hamun dihamburkan, sebaliknya penunggang motosikal seakan-akan faham lantas tersenyum sambil memberi laluan kepada pejalan kaki melintas jalan.
Rata-rata rakyat Vietnam tidak begitu fasih berbahasa Inggeris, kecuali segelintir pekerja pusat beli-belah, namun negara ini tetap menarik hati pelancong yang ramai berkunjung kerana sikap rakyatnya ramah dan mudah tersenyum.
Antara tarikan di bandar ini ialah Muzium Ho Chi Minh yang dulunya istana Maharaja Vietnam, Gia Long pada 1802 hingga 1820 sebelum berubah fungsi sebagai pusat pentadbiran tentera Jepun dalam Perang Dunia Kedua.
Bangunan yang tersergam indah itu kemudian dijadikan kediaman perdana menteri dan pusat pentadbiran sebelum kini menjadi muzium menyimpan pelbagai khazanah tidak ternilai berkaitan Vietnam.
Terowong Chu Chi yang menjadi destinasi wajib dilawati jika ke Ho Chi Minh, terletak kira-kira satu jam setengah perjalanan dari bandar raya ini.
Tinggalan sejarah itu yang pernah dijadikan laluan penduduk menyelamatkan diri jika penempatan mereka dibom, dibina hanya dengan penyodok dan bekas anyaman buluh untuk mengangkut keluar tanah.
Laluan sempit bawah tanah yang hanya cukup memuatkan seorang dewasa itu juga digunakan untuk menyerang hendap tentera Amerika Syarikat ketika perang dan dilengkapi dewan makan, dewan mesyuarat, kilang senjata, hospital dan bilik bedah.
Tarikan lain adalah Muzium Perang, Istana Penyatuan, Gereja Besar Notre Dame dan Pejabat Pos Old Saigon, selain Pasar Ben Thanh yang menjual pelbagai produk dari buah-buahan, hasil kraf, lukisan, pakaian, beg, kasut sehinggalah sutera.
Menariknya, peniaga di pasar ini rata-ratanya wanita dan ramai yang boleh berbahasa Melayu selain Inggeris, lalu jangan terkejut jika anda mendengar mereka memanggil ‘abang’ atau ‘kakak’.
Lebih menarik, selain mata wang Dong Vietnam, dan Dolar AS dan Ringgit Malaysia (RM) juga boleh digunakan di sini, cuma dalam soal tawar menawar harga, mesin kira adalah alat terpenting jika peniaga tidak boleh berbahasa Inggeris.
Satu lagi tip jika ke Vietnam, jangan terkejut jika anda secara tiba-tiba diserbu di jalanan kerana mereka adalah penduduk yang membawa pelbagai barangan untuk dijual, termasuk khidmat mengilatkan kasut.
This is such a great resource that you are providing and you give it away for free. I enjoy seeing websites that understand the value of providing a prime resource for free. I truly loved reading your post. Thanks!