Dhaka, Bangladesh
BANGLADESH – negara membangun yang kaya dengan kisah silam yang sukar, khazanahnya pula penuh misteri kerana belum diterokai menyebabkan kehebatan negara serpihan India itu belum terserlah akibat dasar tertutup kerajaannya sebelum ini.
Namun kini, Bangladesh mula mengorak langkah dengan menjual produk pelancongan berbekalkan keaslian corak hidup, keunikan budaya dan keindahan alam semula jadi yang bersedia untuk dijelajah dan diteroka. Ia bermula di selatan Chittagong, kawasan pergunungan bersempadan Myanmar yang didiami etnik minoriti sejak 2,000 tahun dulu.
Ibu negara dan kota terbesarnya adalah Dhaka yang pernah menjadi pusat pentadbiran kerajaan Mogul pada abad ke-17 dan di bawah pemerintahan British pada 1765. Selepas India mencapai kemerdekaan pada 1947, Dhaka dijadikan ibu negara Pakistan Timur yang kemudian diisytiharkan dengan nama baru, Bangladesh pada 1971.
Bekas Setiausaha Dewan Perdagangan Pelaburan Asing Dhaka, Jahangir Alam, pernah berkata: “Pada 1944, saya dilahirkan di Dhaka sebagai subjek British Raj (Kerajaan British) di India. Tiga tahun kemudian, selepas proses persempadanan, saya menjadi rakyat Pakistan Timur. Hari ini saya adalah orang Bangladesh.”
Hakikatnya, jika ditanya mengenai Bangladesh, kebanyakan kita lebih pantas membayangkan kehadiran ramai rakyatnya yang mencari rezeki dalam pelbagai sektor di Malaysia.
Jauh sekali kita dapat menyelami keunikan Bangladesh yang agak asing. Namun, kunjungan penulis ke Dhaka baru-baru ini, mendapati negara dibelenggu kisah penuh kemiskinan dan kesukaran itu sebenarnya mampu menjadi antara tarikan utama pelancongan dunia, setaraf negara sekitarnya seperti Nepal dan India. Banyak tempat menarik penuh sejarah boleh dijadikan modal menggamit pelancong yang gemarkan sesuatu mencabar dan dunia baru.
Penulis yang menyertai rombongan media dan ejen pelancongan diterbangkan Penerbangan Malaysia (MAS) ke Dhaka, baru-baru ini, berasa begitu bertuah kerana dapat melihat sendiri tarikan di Dhaka, keunikan kota berkenaan serta kehidupan warganya. Dari Kuala Lumpur, MAS menyediakan penerbangan terus ke Dhaka setiap hari.
Di Dhaka saja, pelancong boleh melawat Fort Lalbagh yang kini dijadikan muzium bersejarah. Bangunan itu dibina oleh Putera Muhammad Azam dari Kerajaan Bengal pada 1678, tetapi belum pun siap pembinaan struktur itu, beliau dipanggil pulang ke Aurangzeb.
Penggantinya, Shaista Khan gagal menyiapkan perancangan Azam walaupun tinggal di Dhaka sehingga 1688. Puterinya, Bibi Pari meninggal dunia di situ pada 1684 dan kota itu dianggap sebagai tanda kenangan abadi untuk anak kesayangannya.
Bangunan berusia lebih 300 tahun warisan Kerajaan Mogul itu mempunyai keunikan tersendiri termasuk menara kawalan di empat penjuru kubu, taman permainan dan bangunan utama menempatkan kediaman pemimpin mereka. Kini, bangunan utama dijadikan ruang pameran menempatkan pelbagai jenis senjata, duit lama, pakaian dan al-Quran.
Di Jalan Universiti berhampiran Universiti Dhaka, terdapat tugu Shaheed Minar yang didirikan khas pada 1952 sebagai simbol perjuangan revolusi bahasa.
Setiap kali ada sebarang bantahan aman terutama membabitkan bahasa, rakyat Bangladesh akan berkumpul di situ selama berhari-hari sebagai tanda protes.
Bahkan, Universiti Dhaka yang dibina menggunakan sepenuhnya bata merah juga berpotensi menarik pelancong. Perlu diketahui, Bangladesh adalah negara kaya air yang menjadi antara faktor kesukarannya menghasilkan produk padu seperti batu bata. Berikutan itu, ia dipenuhi ribuan relau yang digunakan bagi membakar tanah liat yang dikorek dari dalam paya untuk dijadikan batu bata.
Bagi yang suka membeli-belah, banyak barangan berkualiti dengan harga murah dijual di Dhaka. Butik Artisan dan Butik Arang menyediakan pelbagai pilihan pakaian pada harga murah, terutama pakaian kanak-kanak.
Bango Bazar, satu lagi pilihan membeli-belah dengan konsepnya lebih kurang sama dengan Jalan Masjid India dan Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) di Kuala Lumpur di mana barang murah dijual secara borong.
Walaupun sesak, Bango Bazar masih menjadi tarikan utama dan di situlah nadi sebenar Dhaka. Pelancong boleh melihat puluhan ribu beca roda tiga digelar Rickhaaw berkeliaran di sekitar bazar ini.
Jika mahu, cubalah menggunakan khidmat skuter roda tiga berwarna hijau atau lebih popular dengan nama CNG – singkatan nama syarikat Conberded Nature Gas (CNG) menikmati pemandangan persekitaran atau ke taman berhampiran bangunan Parlimen untuk bersantai.
Taman berkenaan menjadi tumpuan warga Dhaka berikutan lokasinya yang strategik, dipenuhi pokok hijau yang merimbun, ditambah pula kedudukannya bersebelahan sungai yang menyajikan persekitaran indah dan mendamaikan.
Bagi mereka yang sudah jemu dengan lokasi peranginan tipikal di luar negara dan ingin memperoleh pengalaman baru makan angin di negara asing, Bangladesh adalah destinasinya.
Info
Bangladesh:
Ibu negara: Dhaka
Penduduk : 150 juta orang
# 83 peratus penduduknya beragama Islam.