Home > Travel > Bukit Gambang Resort City, Gambang, Pahang

Bukit Gambang Resort City, Gambang, Pahang

MERENTASI bukit, menyusuri lurah dan merempuh anak sungai berbatu kasar sejauh 40 kilometer bukan halangan penulis menyertai aktiviti basikal gunung Bukit Gambang Resort City-Sungai Lembing Eco Heritage Ride di Kuantan, Pahang, baru-baru ini.

Walaupun baru pertama kali menyertainya, penulis bangga menamatkan kayuhan merentas Hutan Simpan Berkelah yang masih kaya dengan warisan alam semula jadi.

Seramai 235 peminat sukan berbasikal sanggup datang dari ibu negara, Selangor, Johor, Pulau Pinang, Melaka dan Kedah termasuk Pahang demi memenuhi hobi berkenaan.

Kami berkumpul di pekarangan Bukit Gambang Resort City (BGRC) di Gambang seawal jam 7 pagi, sebelum dilepaskan Presiden Persatuan Berbasikal Pahang, Datuk Abdul Hadi Ibrahim.

Terdahulu, program berkenaan dirasmikan Exco Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Pahang, Datuk Shafik Fauzan Shariff yang turut menyertai ekspedisi berbasikal itu yang berakhir di Bandar Warisan Sungai Lembing yang terkenal sebagai bekas pusat kegiatan perlombongan.

Menerusi cabaran ini, peserta perlu menempuh laluan sejauh empat kilometer ‘on road’ manakala bakinya ‘off road’ yang penuh halangan kerana keadaannya yang berbukit-bukau, jalan berselut, berair dan berbatu.

Bukan mudah berbasikal di permukaan bumi yang tidak rata itu kerana ia memerlukan kekuatan fizikal dan kebijaksanaan mengawal basikal ketika melalui laluan sukar seperti menuruni bukit atau ‘downhill.’

Penulis perlu cepat bertindak bagi mengelak terjatuh. Laluan menjadi lebih sukar berikutan tanah merah berselut akibat hujan lebat sehari sebelum acara membuatkan tayar basikal tenggelam.

Banyak peserta termasuk penulis terpaksa berhenti mengayuh dan menolak basikal apabila tiba di laluan sedemikian. Laluan semakin keras apabila kami perlu menempuh kira-kira enam hingga tujuh anak sungai.

Ketika menempuh anak sungai, banyak peserta berhenti rehat untuk menikmati kedinginan air sungai yang jernih.

Ketika melewati kawasan perkampungan di Sungai Lembing, peserta dihamparkan dengan pemandangan rumah tradisional.

Malah, kami melihat kesan tinggalan sejarah kawasan yang pernah menjadi pusat lombong bijih timah terkenal sekitar tahun 1940-an dan 1950-an.

Selepas lima jam mengayuh, penulis menamatkan cabaran sebaik basikal melepasi garis penamat di pekan Sungai Lembing.

Pengalaman menyertai kayuhan ini sangat bermakna kerana ia menguji kebolehan penulis dalam sukan ekstrem ini.

  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.