Betong, Cameron Highlands Thailand
BERTUGAS di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Ayer Kala di Lenggong, Perak, memberi peluang kepada penulis melawat Betong, kawasan paling selatan di Thailand yang seolah-olah satu daerah rahsia kerana tidak begitu banyak terdedah kepada umum.
Kawasan berkenaan yang dihuni majoriti penduduk Islam dan berketurunan Melayu sebenarnya tidak begitu jauh dari Grik, tidak sampai 10 kilometer pun dari sempadan Malaysia.
Oleh kerana terletak berhampiran tanah air, penulis bersama rombongan bergerak ke sana menggunakan empat kereta melalui Pengkalan Hulu tanpa perlu berbelanja besar membeli tiket kapal terbang atau mengatur lawatan melalui ejen pelancongan.
Antara produk pelancongan yang tersenarai dalam program lawatan kami ialah taman bunga WF Garden, Piyamet Tunnel dan Hot Spring yang sememangnya indah tetapi tidak begitu ditonjolkan.
Perjalanan ke WF Garden sukar kerana ia terletak betul-betul di pedalaman sehingga kami terpaksa meredah jalan bengkang bengkok, sempit dan tidak rata sambil diiringi hutan, pokok getah dan kebun buah-buahan di kiri dan kanan laluan.
Lebih sejam kemudian, penulis bersama kumpulan rakan tiba di puncak tanah tinggi dan dihidangkan pemandangan yang amat menarik, lantas menghilangkan penat ketika menempuh perjalanan sebelum itu.
Rasa kagum menyelubungi kami tatkala melihat taman bunga tak ubah seperti di Cameron Highlands. Langsung tidak disangka di tengah hutan seperti ini ada tarikan yang begitu indah.
Bermacam-macam jenis bunga dapat dilihat di sini dengan warna dan corak yang pelbagai, ada yang pernah dilihat dan tak kurang juga bunga-buangan yang begitu asing bagi kami.
Tidak puas dengan pemandangan yang disajikan, ada di antara kami memanjat bukit untuk menikmati persekitaran lebih menarik sebelum rombongan bertolak ke Piyamet Tunnel yang mengambil masa kira-kira satu jam perjalanan dari destinasi pertama.
Sekali lagi, laluan berliku ditempuhi dan keletihan yang hilang ketika di WF Garden datang kembali, tetapi ia hanya seketika apabila kami tiba di pintu gerbang yang begitu besar di atas sebuah bukit.
Kawasan ini sebenarnya peninggalan perkampungan komunis yang terletak jauh di pedalaman dan kami terpaksa berjalan kaki mendaki bukit lebih tinggi untuk sampai ke lokasi.
Selepas mendengar penerangan mengenai Piyamet Tunnel di sebuah markas yang tersedia di situ, kami meninjau pos kawalan, muzium, barangan dapur dan pelbagai lagi bahan pameran mengkisahkan kehadiran komunis di kawasan itu satu ketika dulu.
Pengalaman paling manis apabila kami dibawa masuk ke dalam sebuah terowong yang dijadikan komunis sebagai tempat tidur, memasak, menyimpan barang perang dan juga berselindung dari musuh.
Terowong berkenaan dibina hanya dalam masa tiga bulan dengan menggunakan cangkul. Sesuatu yang mengejutkan apabila kami diberitahu yang pengganas komunis dapat tidur dalam terowong itu berbulan lamanya.
Dalam terowong, dapat dilihat dengan jelas bilik tidur, bilik rehat dan tandas yang dibentuk secara berpetak. Kami kemudian melawat muzium perang mempamerkan pelbagai barang peninggalan komunis seperti radio, mesin jahit, senapang dan bom.
Lebih dua jam di bekas kampung komunis, penulis bersama rombongan seterusnya melawat Hot Spring yang juga berada di tengah-tengah hutan sebelum ke Pekan Betong.
Kami akhirnya ke sebuah restoran Islam untuk mengisi perut yang sudah berkeroncong. Keadaan premis ini begitu bersih dan dihiasi ayat al-Quran, manakala kebanyakan pekerjanya pula orang Melayu dari Kelantan.
Selesai makan, kami membeli-belah di sebuah pasar terkenal di Betong dan menjelang senja, bandar berkenaan bertukar menjadi lebih meriah dengan kehadiran ratusan kenderaan.
Penunggang motosikal bebas ke sana sini di bandar ini tanpa menggunakan topi keledar, malah ada juga sebuah motosikal dinaiki tiga orang, menjadikan suasana tidak ubah seperti pasar malam.
INFO: Betong
* Majoriti penduduk Islam dan berketurunan Melayu.
* Terletak di hujung selatan Thailand.
* Berjarak tidak sampai 10 km dari sempadan Malaysia.
* Pintu masuk jalan darat melalui Pengkalan Hulu, Gerik, Perak.