Home > Travel > Bermain salji di Alpine Victoria

Bermain salji di Alpine Victoria

November 14th, 2010 Leave a comment Go to comments

DALAM cuaca panas membahang di Malaysia ketika ini, tentunya percutian sambil menikmati kedinginan puncak gunung bersalji tidak mampu ditolak. Gantikan panas khatulistiwa dengan percutian meriangkan sepanjang musim sejuk di pergunungan Alpine, Australia.

Dengan pembukaan musim luncur baru di Victoria, 11 Jun lalu, percutian idaman di tempat dingin dan menyegarkan pasti menjadi kenyataan. Terima kasih kepada penerbangan kerap dari Kuala Lumpur ke Melbourne yang memudahkan lagi impian untuk berada di puncak gunung salji.
Keriangan berganda ada di mana-mana dengan kemudahan deretan kafe, bar, restoran, panggung wayang, gimnasium serta kemudahan sukan indoor dan spa. Resort Alpine Victoria menjanjikan pelbagai variasi cerun ski untuk yang baru belajar, pertengahan mahupun peluncur profesional.

Aktiviti keluarga, termasuk untuk kanak-kanak juga ada seperti denai gelongsor (toboggan) dan tiub salji. Victoria hanya antara tiga hingga lima jam memandu dari Melbourne dengan semua resort menawarkan percutian idaman bersama pelbagai pilihan penginapan dan pakej mampu milik.

Kepada pasangan pengantin baru, keluarga atau kumpulan yang inginkan percutian sukar dilupakan atau cabaran penuh aksi, Resort Alpine Victoria adalah jawapannya! Anda boleh memandu, menaiki kapal terbang atau bas ke lapangan salji Victoria.

Kebanyakan resort di Alpine Victoria terletak di timur laut Melbourne dengan kemudahan pengangkutan perantara di lapangan salji disediakan untuk membawa peluncur dan peralatan mereka dari tempat meluncur terus ke resort penginapan.
Di kawasan pergunungan, anda diwajibkan membawa rantai sepanjang masa dan memasangnya pada kenderaan bila diarahkan. Gunung Hotham, Gunung Buller dan Falls Creek ada kawasan khas memasang rantai dan sesetengah resort menyediakan staf membantu pengunjung memasang alat keselamatan itu.

Gunung Buller adalah resort ski paling mudah dituju, hanya tiga jam memandu dari Melbourne. Ia memiliki lif pengangkut terbanyak dan 80 laluan ski di kawasan 263 hektar. Yang tidak mahu meluncur boleh cuba banyak aktiviti lain seperti membina orang salji, tobogganing atau snow shoeing.

Perkampungan Gunung Buller yang terletak di tengah-tengah lapangan salji, memiliki 7,000 bilik dari bilik yang hanya ada kelengkapan asas hingga penginapan mewah selain dilengkapi lebih 30 kedai, kafe dan restoran.

Menariknya, Gunung Buller memiliki sistem pembuat salji untuk menambah salji di taman gelongsor, sekali gus membolehkan kanak-kanak menikmati musim sejuk lebih panjang. Taman gelongsor kedua ada di Horse Hill Chairlift dengan peluncur boleh menaiki lif terus ke Taman Spurs Snowtubing.

Lebih menarik, Festival Filem Pergunungan Banff juga akan diadakan di Gunung Buller, 26 Jun ini, manakala acara tahunan Festival Beanie akan berlangsung buat tahun kedua pada 3 hingga 4 Julai bagi meraikan beanie dalam pelbagai bentuk dan saiz.

Falls Creek pula resort ski terbesar Victoria, menawarkan penginapan berkonsep `full ski-in, ski-out’, 14 lif dan lebih 92 laluan ski di kawasan seluas 450 hektar. Anda bukan saja dapat meluncur menuruni cerun, malah merentas desa dan menikmati pelbagai jenis permainan salji.

Falls Creek turut menyediakan penginapan sesuai mengikut bajet anda. Buat pertama kali, St Falls, sebuah perkampungan yang dibangunkan dengan kos berjuta dolar akan dibuka sepanjang musim ini yang bakal membuatkan kunjungan anda ke sini lebih menyeronokkan.

Ada pelbagai lagi tarikan di sini seperti Falls Express Chairlift yang dilengkapi restoran dan bar, gimnasium, pusat jagaan bayi dan pusat beli-belah, juga Resort & Spa Quay West Falls Creek yang baru dibuka dengan kemudahan meluncur, beli-belah, spa dan sajian hidangan bertaraf lima bintang.

Lebih istimewa, Laluan Wombat sepanjang 2.2 kilometer dan terpanjang untuk mereka yang baru belajar meluncur, dipasang lampu hijau setiap malam Rabu dan Sabtu bagi membolehkan peluncur novis menikmati ketenangan dan kegembiraan lebih lama.

Perkampungan Hotham pada ketinggian hampir 1,750 meter pula antara gunung tertinggi di Australia dan musim sejuknya panjang dari Jun hingga September. Ada pelbagai aktiviti siang dan malam seperti kereta luncur, permainan salji dan cabaran meluncur dengan pemandangan restoran dan bar.

Di perkampungan ini, lebih 80 laluan disediakan dengan 13 lif pengangkut di tapak seluas 320 hektar bersama kemudahan ski rentas desa dan lebih 7,000 bilik penginapan. Tentu ada sesuatu untuk anda biar pun sekadar percutian bajet.
Baru-baru ini, Resort Alpine menambah pelaburan sebanyak AUS$1.7 juta untuk kemudahan menghasilkan 40 peratus salji lebih daripada biasa melalui 77 senapang salji.

Tunggu apa lagi? Sepanjang Jun ini, tinggalkan semua pakaian musim panas anda dan bersedia dengan kelengkapan musim sejuk menuju ke selatan untuk percutian keriangan musim salji di Alpine Victoria. Maklumat mengenai Melbourne dan Victoria, layari visitmelbourne.com/my atau skivic.com.

Categories: Travel Tags:
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.