Home > Travel > Bandar Seri Begawan, Brunei

Bandar Seri Begawan, Brunei

BANDAR Seri Begawan bukan saja menjadi pusat perdagangan, kewangan dan pentadbiran Brunei Darusalam, malah memiliki tarikan pelancongan yang dikelilingi landskap taman.

Masjid Sultan Omar Ali Saifuddien menjadi simbol kesucian Islam, manakala Kampong Ayer pula mengimbas nostalgia cara hidup masyarakat pada zaman silam yang bergantung hidup dengan sumber utama alam itu.

Dari jauh, kubah emas yang menghiasi Istana Nurul Iman membayangkan cita rasa mewah yang melingkari pembinaan istana terbesar di dunia itu.

Istana dibina pada awal 80-an itu dikatakan memiliki 1,788 bilik, 257 bilik air dan garaj boleh memuatkan sehingga 110 kereta.

Istana atas bukit berdekatan tebing Sungai Brunei itu turut memiliki dewan bankuet dengan kapasiti 4,000 orang dan masjid boleh memuatkan sehingga 1,500 jemaah.

Justeru, ia dikatakan memiliki 44 tangga, 18 lif dan 564 candelier serta 51,000 mentol untuk menerangi seluruh istana.

Kawasan Brunei-Muara turut menempatkan Jerudong Park, taman tema yang paling mahal di rantau Asia Tenggara. Taman dibuka pada 1994 itu menawarkan pelbagai permainan termasuk go-kart F1, Supakarts dan pertunjukan air pancut berirama menampilkan rangkaian lagu popular.

Pemanduan selama setengah jam dari pusat bandar akan membawa anda ke Tutong yang terkenal dengan Pantai Seri Kenangan.

Bersempadan dengan Sungai Tutong dan Laut China Selatan, pantai berkenaan menjadi tumpuan warga tempatan untuk aktiviti renang, pancing dan berkelah.

Tasek Merimbun walau dikelilingi paya dan tanah perkuburan purba turut menjadi lokasi riadah untuk warga Brunei.

Namun, Tutong lebih terkenal dengan perkampungan budaya Ruma Budaya, mempamerkan keunikan dan keharmonian cara hidup lima etnik Borneo.

Bandar Seria di kawasan Kuala Belait menjadi bukti kepada jentera pengeluaran petroleum yang menjadi sumber ekonomi Brunei.

Bahan pameran di Seria’s Oil & Gas Discovery Centre dan Billionth Barrel Monument membuktikan sumbangan emas hitam itu kepada ekonomi negara kecil itu.

Temburong pula kini menjadi destinasi utama ekopelancongan dengan pengalaman menyusuri sungai di tengah kehijauan hutan hujan semula jadi. Pengunjung kini bertumpu ke Ulu Temburong National Park untuk menyertai aktiviti rentas denai bagi melihat khazanah hutan Borneo.

Percutian di sini tidak akan lengkap jika tidak singgah ke rumah panjang, sebelum menyusuri sungai untuk ke Belalong National Park.

Taman negara itu memiliki ibu pejabat dan laluan kanopi yang menjadi lokasi terbaik untuk menyaksikan pelbagai spesies flora dan fauna.

Pelancong asing seperti penjelajah Eropah yang pertama kali menjejakkan kaki ke sini pasti terpesona dengan pelbagai bentuk dan warna orkid yang tumbuh liar. Mereka juga mempunyai pilihan sama ada untuk bermalam di penginapan lodge di tengah belantara.

Jika berkunjung ke taman negara ini, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan keunikan monyet hidung panjang atau proboscis monkey yang hidup di kepulauan ini. Turut dikenali dengan nama monyet Belanda atau bekantan, ia kini menjadi tarikan utama pelancong ke Borneo.

Info

>Royal Regalia Museum mempamerkan warisan kegemilangan pemerintahan beraja Brunei, manakala Brunei Museum pula memaparkan koleksi naskhah al-Quran, bahan pameran etnik Borneo dan artifak peninggalan daripada kapal yang pernah karam di perairan negara itu.

>House of Twelve Roofs pula menampilkan warisan seni bina kolonial yang pernah menjadi kediaman kepada Residen British, kini bertukar fungsi kepada muzium dan tempat menerima tetamu asing.

>Jangan lupa mencuba hidangan tradisional Brunei dan membawa pulang cenderamata seperti jong sarat dan kain tenunan yang boleh didapati di Arts and Handicraft Training Centre di Kota Batu.

>JADUAL PENERBANGAN HARIAN

Kuala Lumpur-Brunei
AK 266/1755-2015

Brunei-Kuala Lumpur
AK 267/2040-2300

Categories: Travel Tags: , ,
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.