Home > Travel > Amber Fort

Amber Fort

December 27th, 2010 Leave a comment Go to comments

KEJADIAN pengeboman di Kashmir, merencatkan harapan penulis untuk menjejakkan kaki sana ketika mengikuti penerbangan sulung Air Asia X ke New Delhi, India- baru-baru ini.

Kami hanya dimaklumkan Pengurus Perhubungan Awam Air Asia, Mazlan Rasheed ketika tiba di Terminal Tambang Murah (LCCT) dan atas alasan itu akhirnya rombongan 11 anggota media negara ini dibawa melawat, Jaipur, Agra dan Delhi. Agenda yang cukup padat tetapi menarik sepanjang seminggu berada di negara yang padat dengan penduduk itu.

Kesempatan penerbangan pertama KL-New Delhi itu membuka ruang untuk kami mengenali secara dekat India terutama Jaipur yang juga dikenali Pink City yang menarik perhatian kami.
Bandar yang dihuni 3.2 juta penduduk itu dipenuhi istana lama yang menjadi monumen bersejarah itu terkenal dengan Amber Fort, Jal Mahal, Jantar Mantar, Hawa Mahal (Wind Palace), City Palace dan Kuil Lakhsmi Narayan.

Apa yang menarik, semua monumen bersejarah ini dijaga rapi bagi memastikan setiap inci bangunan terus kekal kukuh dan indah seni binanya serta bersih. Malah setiap pelawat perlu menanggalkan kasut untuk memasuki kebanyakan istana ini.

Istana pertama kami kunjungi, Amber Fort yang didirikan ketika pemerintahan Maharaja Sawai Jai Singh 11 yang juga pengasas Jaipur yang mula dibina pada 18 November pada 1727.

Jai Singh yang memerintah dari 1699 hingga 1744 menjadikan Amber sebagai pusat pemerintahannya dan Amber Fort mengambil masa empat tahun untuk disiapkan dengan memuatkan sembilan blok bangunan serta dicat warna merah jambu ketika menyambut kedatangan Putera Wales pada 1853. Siapa sangka, warna itu kekal hingga kini dan menjadi mercu tanda Jaipur.
Tidak kurang menariknya ialah Wind Palace yang terletak di pusat bandar Jaipur kerana seni binanya yang unik seperti tambak penghalang angin, juga dicat dengan warna merah jambu.

Di depan istana ini dipenuhi kedai menjual pelbagai cenderamata yang pastinya menarik ramai pengunjung ke sini kerana harganya sebegitu murah dan rekaannya menarik.

Di sinilah kami berpeluang berbelanja sakan dengan kain sari pelbagai warna, baju kurta, capal kulit, cadar, selendang sutera, selimut serta barangan kraf tangan yang cukup cantik untuk dijadikan kenangan dan dibawa pulang ke Malaysia.

Paling menawan, barangan kraf tangan daripada tembaga dan marmar yang begitu indah dan halus buatannya. Malangnya sukar untuk dibawa pulang kerana agak berat jadi saya terpaksa berpuashati dengan sekadar membeli tempat habuk rokok saja.

Perjalanan dari New Delhi ke Jaipur – ibu kota wilayah Rajasthan mengambil masa kira-kira enam jam dan tidak banyak pemandangan menarik dilihat di kiri kanan jalan kerana Rajasthan adalah sebuah negeri yang tiada tanah subur untuk bercucuk tanam. Berikutan itu, penduduknya lebih ramai menternak lembu dan kerbau saja bagi menampung keperluan hidup.

Dari Jaipur ke Agra juga memakan masa yang sama. Di sana sini pemandangan perkampungan di India sama saja, tidak ada rumah mewah atau kawasan perindustrian sebaliknya lebih banyak deretan pondok kecil.

Agra adalah pekan kecil yang gah dengan Taj Mahalnya yang begitu unik, indah seni binanya dan begitu teliti buatannya. Monumen lambang cinta Shah Jahan ke atas isterinya Mumtaz itu, sudah pastinya menjadi tumpuan utama pelancong.

Pada jam 4 pagi kami sudah bangun kerana mahu bertolak seawal jam 5 pagi untuk melihat matahari terbit kerana kata pemandu pelancong dari India Tourism, Delhi, Rajesh Ranjan, suasana ketika itu amat cantik dan harmoni.

Kesempatan menikmati keindahan Taj Mahal digunakan sepenuhnya walaupun perut sudah mula meragam mungkin akibat banyak makan makanan berempah sejak lima hari menjejakkan kaki di sini.

Keindahan seni binanya memang tidak boleh disangkal kerana ia dibuat sebegitu seni dan menawan hati setiap pengunjung. Malah, dikatakan ribuan nyawa turut terkorban bagi menyiapkannya.

Kami juga tidak melepaskan peluang untuk membeli cenderahati kenangan selepas tiga jam melawat Taj Mahal. Agra terkenal dengan batu marmarnya dan atas alasan itu pelbagai kraf tangan berasaskan batu dihasilkan seperti pinggan, dulang, bingkai gambar, replika reka bentuk Taj Mahal.

Perjalanan Agra ke Delhi juga mengambil masa enam jam, cukup memenatkan kerana terlalu banyak masa dihabiskan dalam bas. Hari terakhir di India, kami dibawa melawat sekitar New Delhi termasuk, penempatan lama yang berselirat dengan wayar elektrik dan telefon yang memenuhi pinggiran jalan. Sekali imbas memang menyesakkan pandangan, tetapi seperti kata Raj keadaan akan berubah sebelum Sukan Komanwel berlangsung di sini, Oktober depan.

Selain itu saya dan rakan-rakan turut singgah di tempat tarikan lain seperti pusara Mahatma Ghandi, Indira Ghandi serta binaan India Gate dan sekitar ibu kota yang nampak jauh lebih bersih dan teratur berbanding tiga tahun lalu.

Kami turut diberi peluang dua jam membeli-belah di Janpath yang terkenal dengan pelbagai produk India. Kesempatan ini digunakan untuk membeli-belah pada saat-saat akhir.

Selepas itu, kami bergerak ke Lapangan Terbang Mahatma Ghandi yang baru siap dibina. Apa yang pasti, biarpun selepas meninggalkan bumi India yang terbayang adalah keindahan alam semula jadinya, binaan sejarahnya dan kisah penduduknya yang pasti terus menggamit ramai bertandang ke sana.

Categories: Travel Tags:
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.