Subang Flying Club
KALI terakhir menempuh perjalanan panjang di udara, hampir mahu terkucil dibuatnya apabila pesawat beberapa kali ‘bergegar’ apabila menempuh pergolakan udara yang teruk sepanjang perjalanan melebihi tempoh 12 jam.
Kurang sebulan sebelumnya, perasaan sama dialami ketika dalam pesawat Maswings Twin-Otter yang hanya mampu memuatkan 15 penumpang, satu-satunya pilihan pengangkutan udara untuk membuat tugasan Fiesta Epal di Ba’ Kelalan di pedalaman Sarawak.
Justeru, bayangkan tahap gemuruh dialami penulis apabila diajak menaiki pesawat kecil Socata Trinidad TB-20GT dengan kapasiti empat orang.
Perancangan asal, Presiden Subang Flying Club, Dr Beh Chor Kim akan memandu pesawat ringan itu dari Subang ke Pangkor, sebelum berpatah balik.
“Kamu tahu mengapa ia dipanggil pesawat ringan?” tanya Dr Beh.
Serentak itu, beliau ini menarik Socata dari tempatnya ke luar hangar, sekali gus merungkai persoalan tadi. Pesawat dibeli pada awal 2000 ini menggunakan enjin Avco Lycoming 250 kuasa kuda dengan kelajuan (cruise speed) 150 knot.
“Anda semua bernasib baik hari ini kerana menaiki pesawat paling canggih dan sporty yang kita ada,” katanya sambil menambah Socata turut memiliki fungsi autopilot dan radar udara.
Enjin dihidupkan, pesawat mula bergerak ke arah landasan utama selepas Dr Beh mendapat kebenaran untuk berlepas dari menara trafik udara.
Kurang lima minit kemudian, kami sudah melepasi ruang udara Subang untuk meninjau pemandangan dari angkasa raya Kuala Lumpur.
Pada ketinggian kira-kira 1,500 kaki di udara, pesawat ringan ini adakalanya sedikit bergegar.
Menurut Dr Beh, ia adalah perkara normal disebabkan tekanan udara panas terutama di tengah bandar raya.
Lima minit seterusnya, kami sudah melewati Mid Valley, Dataran Merdeka dan Menara Kuala Lumpur sebelum Dr Beh membuat pusingan mengelilingi Menara Berkembar Petronas. Di bawah kami, semuanya kelihatan seperti kotak mancis apabila pesawat mula meninggalkan langit tengah kota.
Batu Caves pula jika dilihat dari udara seperti seketul batu besar yang dikelilingi kawasan perumahan, sebelum pemandangan indah empangan Kuala Kubu Baru. Landskap hijau tanah pertanian mula kelihatan apabila pesawat melewati negeri Perak untuk ke Pangkor.
Pemandangan semakin indah apabila melihat Sungai Dinding yang berliku-liku sebelum memasuki Selat Melaka. Lumut pula dari udara kelihatan padat dengan pembangunan, manakala pusat peranginan Pangkor Laut Resort dapat dilihat beberapa minit sebelum mendarat di Pangkor.
Sebelum berpatah balik, penulis bertukar tempat duduk dengan rakan wartawan di kerusi ‘co-pilot’.
Jika perjalanan pergi melalui Batu Caves, Rawang, Tanjung Malim, perjalanan pulang melewati Bagan Datuh, Sabak Bernam, Sekinchan, Kapar dan Skypark Subang.
Dari fon telinga, terdengar perbualan antara kapten pesawat komersial dan menara kawalan yang ingin membuat pendaratan atau yang baru berlepas.
Menurut Dr Beh, altitud berlainan juga memastikan keselamatan dan kelancaran penerbangan.
Oleh kerana perjalanan pulang melalui persisiran pantai, kami dihidangkan dengan pemandangan indah sawah padi terutama apabila memasuki Selangor.
Pada satu tahap, dapat juga disaksikan kebakaran kecil di tanah lapang yang menjadi salah satu punca masalah jerebu.
Tiba di ketinggian kira-kira 3,000 kaki, Dr Beh tiba-tiba membuat kejutan,
“Sekarang kamu cuba pegang,” katanya sambil melirik kepada stereng berbentuk W.
Buat seketika, mahu gugur jantung dibuatnya, namun memikirkan ia mungkin peluang pertama dan terakhir, penulis memberanikan diri memegang stereng.
“Pegang macam stereng kereta,” kata Dr Beh.
Agak lucu mengenangkan penulis tidak pernah memiliki lesen memandu kereta.
Pengalaman paling hampir pun memandu ‘bumper car’ di Genting Highlands.
Sambil merujuk kepada meter tertentu, Dr Beh mengarahkan untuk memutar sama ada ke kiri atau ke kanan untuk menstabilkan pesawat itu.
“Sudah ok doktor.” Serentak dengan itu, tangan ditarik dari stereng. Sudah tidak sanggup menahan debaran ketika memutar mengendalikan pesawat itu. Jika dihitung kembali, hanya 10 minit memegang stereng pemanduan, namun terasa bagai setengah jam!
SUBANG FLYING CLUB
K H Lim adalah pengasas kepada kelab penerbangan ini. Lim terbabit secara langsung dalam sektor penerbangan lebih 20 tahun menerusi kapasitinya sebagai Pengarah Urusan Malaysian Air Charter.
Manakala, temannya Dr Beh pula doktor perubatan menjadi perintis dalam penggunaan pengimbas CT Electron Beam dalam langkah awal mengenal pasti masalah jantung di negara ini.
Kedua-duanya bergabung tenaga dalam usaha mendidik orang awam yang ingin tahu selain mempromosikan aspek keselamatan, pendidikan dan rekreasi dalam sektor penerbangan.
Selain Socata yang kami naiki, kelab ini mempunyai tiga lagi pesawat iaitu Cessna 150, dan dua Cessna 172 sesuai untuk pelajar baru (beginner) dan juruterbang dengan kemahiran ‘advance.’
RUJUKAN PERCUTIAN
Subang Flying Club
E-mel: info@subanghighflyers.com
Tel: 017-3841148 (Sheena) atau 012-205 2840 (Anselm)
www.subanghighflyers.com