Archive

Posts Tagged ‘The Grand Millennium Kuala Lumpur’

The Grand Millennium Kuala Lumpur

October 31st, 2009 No comments

WALAU sudah beberapa kali bertukar nama, The Grand Millennium Kuala Lumpur berjaya membina reputasi sebagai penginapan pilihan pengembara bisnes bersandarkan faktor lokasi di tengah daerah komersial utama di ibu kota.

Kurang tiga tahun beroperasi dengan pasukan pengurusan baru, hotel (dulu dikenali sebagai The Regent) di bangunan berusia 18 tahun itu juga sering menjadi lokasi penganjuran majlis menghimpunkan selebriti, deejay, pemuzik dan ‘socialite’ Kuala Lumpur.

Tetamu bertuah yang pernah menghuni unit berdepan KL Plaza berpeluang menyaksikan lautan manusia jika singgah menginap ketika kemeriahan sambutan ambang tahun baru.

Antara sebahagian usaha untuk menjadikan hotel itu sebagai destinasi utama pengembara bisnes antarabangsa, kemudahan penginapan dinaik taraf dengan proses pengubahsuaian besar-besaran menelan kos sekitar RM102 juta.

Hasilnya – dekorasi penuh mewah dengan percikan sentuhan glamor melatari lobi, ruang legar antara lif dan restoran utamanya, The Mill (sempena dengan nama Millennium) untuk hidangan sepanjang hari atau restoran makanan Cina, Zing.

Melangkah ke Zing, pandangan pasti akan tertumpu kepada dekorasi moden klasik dengan paduan gaya oriental. Gabungan gaya chic, tetapi minimalis ini membawa tetamu ke era kegemilangan Shanghai lewat dekad 30-an.

Menu hasil kepakaran tukang masak handalan diketuai Chef Master, Hew Choong ini menawarkan hidangan asli masakan Cina. Di satu sudut, Chef Du Sang Du dan Guo Ling Ping, diterbangkan dari Beijing sibuk membuat la mien atau mi tarik, yang menjadi pilihan tetamu.

Istimewa juga, lempeng durian dengan taburan kismis menjadi hidangan pencuci mulut paling popular di Zing sehingga ada yang sering memesannya untuk dibawa pulang.

“Mungkin ini disebabkan kualiti isi durian yang digunakan dan cara dipersembahkan menyebabkan ia hidangan pilihan termasuk warga Eropah,” kata Pegawai Pemasaran dan Komunikasi The Grand Millennium, Amanda Teng.

The Mill pula menawarkan sentuhan tiga chef berbeza untuk menu Barat, hidangan Melayu dan India. Tidak mahu ketinggalan dengan aliran terkini, konsep dapur terbuka turut diamalkan di restoran ini dengan kaunter khas menempatkan menu Jepun dan Timur Tengah.

Pulse pula memberi nafas segar kepada hiburan secara langsung dengan persembahan bertenaga band 6-piece, selain menjadi lokasi libur buat khalayak muda yang bertumpu ke Bukit Bintang untuk melepak pada malam minggu.

Menurutnya, untuk suasana lebih santai, tetamu boleh singgah di lobi untuk menikmati alunan muzik klasik, jaz dan kontemporari. Dinding kaca untuk memisahkan perokok dibina untuk keselesaan tetamu tanpa menghalang pemandangan.

“Bosan di bilik, apa kata keluar membeli-belah atau sekadar cuci mata di kompleks beli-belah terkini Bukit Bintang, Pavilion. Jika minda sudah penat, kunjungi deretan butik berjenama atau duduk minum kopi sambil memerhati gelagat orang ramai,” katanya.

Tetamu juga katanya, boleh singgah The Spa, di tingkat dua hotel untuk memanjakan diri dengan pelbagai pilihan rawatan daripada ahli terapi berpengalaman. Pilihan termasuk pupur muka dan badan kepada terapi menyeluruh seperti sinergi dan aromaterapi selain urutan batu gunung berapi.

PENGINAPAN

Ada 468 unit penginapan ditawarkan di The Grand Millennium dengan akses Internet berkelajuan tinggi. Tingkat eksekutifnya sesuai untuk pengembara bisnes dan mereka yang mementingkan kesempurnaan sepanjang urusan atau percutian di tengah kota.

Sempena sambutan Hari Bapa, The Mill dan Zing menawarkan bufet makan tengah hari atau hidangan dim sum tanpa had sepanjang Jun ini. Bufet dim sum ditawarkan pada harga serendah RM55 seorang.

Bufet sarapan tengah hari pula meliputi pilihan lebih 50 hidangan Asia, Timur Tengah dan Barat.

>Info

The Grand Millennium Kuala Lumpur

160 Jalan Bukit Bintang

Kuala Lumpur

Tel: 03-21174888

Faks: 03-21421441

E-mel: enquiry@grandmillenniumkul.com

www.millenniumhotels.com/my/millenniumkualalumpur