The Federal Hotel Kuala Lumpur
PADA 1957, Hotel Federal dibina bagi menempatkan tetamu kenamaan dari luar negara yang dijemput sempena pengisytiharan kemerdekaan negara.
Buat pertama kalinya, negara memiliki hotel bertaraf antarabangsa sekali gus mercu tanda Kuala Lumpur.
Apabila pembentukan Malaysia pada 1963, hotel ini diterima dengan penambahan 21 tingkat di belakang bangunan asalnya. Projek ini menyaksikan pembinaan restoran berputar di tingkat 18 yang masih beroperasi sehingga hari ini.
Sejak itu, penginapan di Jalan Bukit Bintang ini menerima banyak tetamu kenamaan termasuk bekas Menteri Kewangan Ghana, K A Gbedemah; bekas Pesuruhjaya Tinggi Afrika Selatan, A H Hamilton dan bekas Ketua Menteri Singapura, Lim Yew Hock.
Malah, penerima Hadiah Pulitzer, James A Michener; bekas juara tinju heavyweight dunia, Muhammad Ali; pengarang novel South Pacific, Joe Frazer dan isterinya Mari Yoriko Sabusawa, pernah menginap di hotel ini.
Antara faktor yang menjadikan hotel ini cukup terkenal suatu ketika dulu ialah lokasinya yang berhampiran kawasan BB Park.
Selain itu, Mandarin Palace pernah menjadi tumpuan warga kota yang mahu menyaksikan persembahan kabaret oleh artis Taiwan dan Hong Kong.
Hiasan dalamannya yang sarat dengan warna merah dan panel ukiran pernah diabadikan sebagai latar dalam filem antarabangsa, The Seventh Dawn pada 1962. Sehingga kini, restoran ini tetap popular untuk majlis perkahwinan tradisional Cina.
Hari ini, sejarah kegemilangannya dapat dihayati jika anda meluangkan masa menjenguk sudut khas di lobi. Imej silam bangunan, kakitangan terawal hingga kepada majlis bersejarah yang pernah mengambil tempat di hotel ini.
Restoran berputarnya masih memberi peluang menikmati makan malam sambil melihat panorama Kuala Lumpur. Ia sering menjadi tumpuan warga kota menyambut kedatangan ambang tahun baru di Bukit Bintang.
Pengurus Komunikasi Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan Federal Hotels International, May Lee, berkata hotel itu menawarkan 450 bilik dan suite termasuk bilik eko yang menekankan penggunaan bahan mesra alam daripada snek dan bahan penjagaan diri.
“Ini sejajar dengan aliran semasa yang menyaksikan lebih ramai warga kota mahu mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat,” katanya.
Selain itu, lokasinya di tengah kesibukan Bukit Bintang dan berhampiran kompleks beli-belah utama seperti Berjaya Times Square, Plaza Sungei Wang dan terbaru, Pavilion menjadikannya pilihan pelancong asing.
Jika mahu bertukar selera, tetamu boleh berjalan untuk ke Jalan Alor yang terkenal dengan deretan gerai penjaja atau mengunjungi kompleks gaya hidup IT terbesar negara, Plaza Low Yat di belakang hotel ini.
HOTEL
The Federal Hotel Kuala Lumpur
35 Jalan Bukit Bintang
55100 Kuala Lumpur
Tel: 03-2148 9166
Faks: 03-2148 2877
www.fhihotels.com