Archive

Posts Tagged ‘Terengganu’

Ri-Yaz Heritage Resort & Spa, Pulau Duyong, Terengganu

December 12th, 2009 No comments

MENDENGAR namanya pasti ada beranggapan Ri-Yaz Heritage Resort & Spa di Pulau Duyong, Terengganu sebuah resort eksklusif yang hanya dibuka untuk ahli.

Sinonim dengan kejohanan perahu layar bertaraf dunia, Monsoon Cup saban tahun di situ menambahkan lagi kekhuatiran orang ramai mendekati resort yang dahulunya dikenali Heritage Bay Club Marina & Resort.

Ri-Yaz Heritage Resort & Spa yang mengambil alih pengurusan baru sejak 1 Ogos tahun lalu, kini menganjur pelbagai program untuk merakyatkan resort bertaraf lima bintang itu.

Selain mengadakan Hari Ibu, Hari Bapa, Hari Setiausaha, kejohanan sukan dan promosi makanan bulanan, mereka menyediakan tawaran istimewa kepada yang berminat menggunakan kemudahan dewan pameran secara percuma.

Pengurus Besarnya, Malizan Zakaria, berkata tawaran bermula awal tahun ini berterusan sehingga penghujung 2009.

“Dewan pameran seluas 168 meter persegi yang boleh memuatkan 100 ruang ini boleh disewa secara percuma oleh mana-mana pihak sebagai usaha terbaru kami merakyatkan Ri-Yaz Heritage Resort & Spa kepada masyarakat.

“Antara aktiviti yang pernah diadakan di sini ialah pameran 35 kereta mewah serta pameran kapal dan bot mewah sempena Monsoon Cup,” katanya.

Ri-Yaz Heritage Resort & Spa menyediakan 97 bilik dengan lima pilihan iaitu Serambi (Deluxe), Anjung (Executive Deluxe), Teratak (Executive Suite), Cemara (Duplex) serta Royal Suite.

Katanya, Ri-Yaz Heritage Resort & Spa adalah satu-satunya tempat di Malaysia yang membolehkan semua 13 Sultan dan Yang DiPertua Negeri menginap di satu tempat ketika Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-215 tahun lalu.

Resort berkenaan turut menyediakan pelbagai kemudahan seperti WiFi, kolam renang, restoran, lounge, dewan pameran, bilik mesyuarat, marina, perkhidmatan gondola dan pusat

sukan dalaman dan luaran.

“Terkini, kami memberi tawaran istimewa Internet Hot Deal iaitu penginapan untuk dua orang satu malam di Deluxe Chalet dengan harga RM188++ termasuk minuman selamat datang dan sarapan pagi.

“Promosi ini bermula awal tahun sehingga akhir tahun ini dengan syarat tempahan dibuat melalui Internet,” katanya.

Sementara itu, Eksekutif Perhubungan Korporat Ri-Yaz Heritage Resort & Spa, Adlin Masood, berkata untuk menampilkan variasi makanan, Verandah Restaurant yang dibina menghadap Laut China Selatan menyediakan pelbagai masakan istimewa mengikut tema bulanan.

Merang Suria Resort, Kampung Rhu Tapai, Setiu, Terengganu

November 14th, 2009 No comments

SESEKALI lari daripada kesibukan hutan batu, kebingitan enjin kenderaan dan riuh-rendah manusia memang menyeronokkan. Inilah peluang menikmati persekitaran tenang dan menghirup udara segar.

Jika itu yang anda cari, Merang Suria Resort di Kampung Rhu Tapai, Setiu, Terengganu adalah jawapannya.

Resort yang diuruskan Suria Resorts Management Sdn Bhd adalah milik 100 peratus Bumiputera. Syarikat itu turut memiliki resort di Johor Bahru, Cherating dan London.

Sekalipun, lokasinya agak tersorok, itulah keistimewaan kawasan ini yang jarang diperolehi di tempat lain.

Jika bangun awal pagi, anda dapat merasakan betapa sejuk dan segar udara di persekitaran dengan kabus seperti awan tebal meliputi kawasan dikelilingi hutan hijau itu. Hiruplah udara sepuas hati sambil menikmati dendangan unggas dan kicauan burung.

Pengurus Kanannya, Muhammad Fuad Foo Abdullah, berkata kawasan itu anugerah Ilahi kepada manusia terutama mereka yang cintakan alam semula jadi, keindahan, suasana sunyi dan mendamaikan.

Beliau berkata, sejak dibuka pada 2005, pihaknya menerima banyak tempahan terutama mereka yang mahu menikmati suasana indah dikelilingi alam semula jadi.

“Bagi mereka inilah nikmat yang jarang dirasakan dan peluang yang sedikit itu perlu digunakan sepenuhnya.

“Ada juga yang menginap di resort ini sebelum ke Redang untuk menikmati panorama laut dan pasir pantai,” katanya.

Di musim cuti sekolah, sebanyak 70 bilik di resort itu habis ditempah pelanggan tempatan termasuk dari Singapura.

Ketika menginap di resort itu, anda boleh melakukan aktiviti meneroka hutan, flying fox, berkayak dan berakit di Mengabang yang menyediakan kawasan lagun untuk air masin dan payau.

“Selain kolam mandi dan pantai, kami menyediakan pakej lawatan ke Redang, Pulau Perhentian dan Bidong untuk aktiviti snorkling serta menyelam.

“Pakej sehari itu berharga RM160 termasuk pengangkutan bot dan makan tengah hari.

“Jika berminat, anda juga boleh memancing bersama nelayan tempatan,” katanya

Pihaknya turut menyediakan pakej lawatan ke Tasik Kenyir selain mengunjungi Gua Bewah, air terjun Lasir dan Taman Herba.

Bagi Ketua Unit Jualannya, Zaharah Abd Rahman, jika mempunyai masa lapang, pengunjung boleh menjelajah perkampungan berhampiran untuk mencuba hidangan istimewa penduduk tempatan.

Antara makanannya ialah ikan dan sotong celup tepung yang boleh didapati di sepanjang jalan ke Merang. Cuba sekali dan anda pasti teringin datang lagi.

Selepas penat meninjau di kawasan perkampungan, singgah sebentar di gerai menjual keropok lekor di Mengabang. Hidangan keropok lekor dengan cendol cukup menyelerakan.

Ada juga gerai menjual keropok lekor, keropok kering dan makanan laut di sepanjang jalan di antara Merang dan Mengabang.

Info

# Maklumat lanjut mengenai Suria Merang Resort, Setiu, Terengganu, hubungi 09-6531600 atau laman web: www.suriaresorts.com

Bagaimana ke sini:

Dari bandar Kuala Terengganu, ikut ke Jalan Lapangan Terbang Sultan Mahmud. Anda terus menghala ke Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Darul Iman Malaysia (UDM). Kemudian, ambil jalan Batu Rakit dan anda akan dapat melihat papan tanda Merang. Kawasan ini berhampiran Terengganu International Endurance Park (TIEP). Jarak dari bandar Kuala Terengganu ke Merang ialah 47 kilometer.