Archive

Posts Tagged ‘Terengganu’

Terengganu & Kota Bharu, Kelantan

August 7th, 2010 35 comments

TERENGGANU

PENYU, batik dan pulau amat sinonim dengan Terengganu.

Rantau Abang yang pernah menjadi lokasi melihat pendaratan penyu utama negara kini tenggelam dengan populariti Pulau Redang dan Pulau Perhentian. Pulau Lang Tengah, Pulau Bidong dan Pulau Kapas turut menjadi tumpuan penggemar pantai dan selam skuba.

Namun, Pantai Penarik di Setiu, Pantai Marang dan Kemasik masih menjanjikan pemandangan indah deretan pohon kelapa dan perkampungan nelayan.

Tanjung Jara pula menawarkan penginapan hotel butik manakala Batu Burok untuk riadah warga tempatan.

Kuala Terengganu menjadi tumpuan mendapatkan batik, sutera, songket, broked, barangan loyang selain merasai keenakan keropok lekor dan nasi dagang.

Ia terletak berhampiran Dataran Syahbandar dan lokasi bersejarah seperti Istana Maziah dan Bukit Puteri.

Mereka yang gemar keropok di sekitar Losong akan singgah selepas lawatan ke Kompleks Muzium Negeri Terengganu. Tarikan muzium ini terletak pada seni bina, koleksi di 10 galeri dan koleksi lima rumah tradisional yang dipulihara.

Pulau Duyung, bukan saja popular sebagai lokasi sukan layar Piala Monsun tetapi warisan pembuatan bot tradisional dan produk makanan lautnya.

Taman Tamadun Islam pula menjanjikan pengalaman melancong ke seluruh monumen indah di serata dunia.

Jika ke Chendering untuk menyaksikan pembuatan kraftangan, jangan lupa singgah ke Masjid Tengku Tengah Zaharah.

Negeri ini juga memiliki air terjun tujuh tingkat di Hutan Rekreasi Sekayu, tasik buatan terbesar, Tasik Kenyir dan kolam air panas LA di Besut.

KOTA BHARU

Mudah meneroka tarikan pelancongan di tengah kota ini memandangkan kebanyakannya terletak di zon utama berhampiran Jalan Hilir Kota dan Jalan Sultan. Hanya pandu masuk apabila melihat pintu gerbang Sultan Ismail Petra berhampiran Padang Merdeka atau Masjid Al-Muhammadi.

Istana Batu pernah menjadi kediaman keluarga diraja sehingga 1961 manakala Istana Jahar memaparkan keindahan seni warisan tradisional Melayu. Istana Balai Besar tidak dibuka kepada umum terletak berhampiran Bank Pitis atau perbendaharaan Kelantan, satu ketika dulu.

Sejarah pendudukan Jepun ketika Perang Dunia Kedua dapat dihayati di Bank Kerapu manakala Balai Getam Puri pula mempamerkan pelbagai kraftangan tradisional seperti batik, songket dan barangan perak. Muzium Islam memaparkan perkembangan Islam di rantau Nusantara.

Jika mahu melihat persembahan wayang kulit, dikir barat, gasing dan rebana ubi, singgah di Gelanggang Seni di Jalan Mahmud atau Muzium Negeri yang menempatkan balai Seni Negeri di Jalan Hospital.

Kunjungan ke sini tidak lengkap tanpa memborong pelbagai fabrik, kraftangan, perhiasan atau pinggan mangkuk di Pasar Siti Khadijah, Bazar Buluh Kubu, pasar Wakaf Che Yeh atau membeli-belah di sempadan negara di Pengkalan Kubor.

Singgah sebentar di Pantai Cahaya Bulan yang menjadi tumpuan warga tempatan dan hujung minggu atau Pantai Sabak untuk menyaksikan aktiviti di perkampungan nelayan. Pantai Melawi dan Pantai Irama di Bachok selain Pantai Tok Bali di Pasir Puteh, juga menjanjikan ketenangan.

Categories: Travel Tags: , , ,

Hutan Lipur Lata Tembakah, Hulu Besut, Terengganu

February 6th, 2010 7 comments

KEINDAHAN panorama Hutan Lipur Lata Tembakah (HLLT) di Hulu Besut, Terengganu memang mempesonakan.

Hutan lipur yang masih suci daripada pembangunan ini menyajikan keindahan flora dan fauna menakjubkan. Desiran air terjun disulami kicauan pelbagai unggas memberikan pemandangan sungguh mendamaikan.

Kehijauan landskap semula jadinya sudah lama menambat hati pengunjung yang sering menjadikan hutan lipur ini sebagai lokasi riadah bersama rakan atau keluarga pada hujung minggu.

Bunyi limpahan air mengalir tenang di celah batu serta rimbunan pohon hutan turut menarik perhatian pencinta alam dan mengajak pemikir yang mahu mentafsir kejadian ciptaan Yang Maha Esa.

Kedinginan airnya membuatkan pengunjung tidak puas mandi, apatah lagi apabila dikelilingi panorama air terjun tujuh tingkat.

Pendakian 45 minit membawa pengunjung ke air terjun ketujuh pada tahap 1,000 meter (m). Namun, penggemar sukan lasak yang sering melakukan aktiviti merentas denai dan mendaki di kawasan hutan lipur ini lebih menggemari air terjun di tingkat empat berikutan ketinggian air terjunnya mencecah 500m.

Menariknya, pengunjung boleh menggunakan jambatan gantung sepanjang 30m untuk menyeberangi Sungai Tenang. Lorong pejalan kaki turut dibina Jabatan Perhutanan Terengganu (JPT) bagi memudahkan pengunjung bersiar-siar di kawasan hutan itu.

Pondok rehat pula boleh dijadikan tempat melepaskan penat selepas mendaki atau lokasi berkelah selepas puas berendam dalam kesejukan air sungai.

JPT turut menyediakan tapak perkhemahan dilengkapi kemudahan asas termasuk tandas, bilik persalinan dan tempat barbeku. Justeru, sekolah, agensi kerajaan dan sektor swasta gemar menjadikan hutan berkenaan sebagai lokasi penganjuran hari keluarga dan kem motivasi.

Dalam usaha mengindahkan lagi persekitaran hutan lipur ini, JPT menanam pelbagai jenis tumbuhan hiasan sebagai antara daya penarik kepada pengunjung. Ini termasuk lebih 100 jenis pokok hutan yang memiliki nilai komersial tinggi.

Bagi keselesaan pengunjung, pondok maklumat, ruang letak kereta, surau dan taman permainan kanak-kanak turut disediakan.

Jika tidak mahu berkhemah, pengunjung boleh memilih tinggal di 16 chalet kendalian JPT. HLLT dibuka setiap hari, mulai jam 7 pagi hingga 6 petang. Untuk pertanyaan, hubungi Pejabat Hutan Daerah Besut di talian 09-6956148.

Pantai Air Tawar, Besut, Terengganu

January 23rd, 2010 4 comments

TERENGGANU memang terkenal dengan keindahan persisiran pantainya yang panjang. Dari Setiu hingga ke Rantau Abang, setiap pantainya memiliki keistimewaan tersendiri.

Walaupun ia tidak semeriah pantai di Bali atau Phuket, kawasan itu sentiasa sesak dengan pengunjung tempatan sama ada berkelah, berkhemah atau mengadakan majlis pertemuan.

Selain Pantai Batu Buruk di Kuala Terengganu, Pantai Teluk Bidara di Dungun dan Pantai Kemasik di Kemaman, Pantai Air Tawar di daerah Besut juga tidak kurang hebatnya.

Ramai yang tidak jemu ke sini bagi menyaksikan panorama matahari terbenam.

Terletak kira-kira 10 minit perjalanan dari pekan Kuala Besut atau 30 minit dari Bandar Jerteh, persisiran pantainya yang panjang membolehkan pelbagai aktiviti rekreasi diadakan termasuk bola sepak atau bola tampar.

Pengunjung juga bebas mengadakan aktiviti perkelahan bersama keluarga, berjoging, bersiar-siar atau bermain layang-layang.

Kawasan pantai ini dipenuhi dengan deretan pohon ru yang sesuai dijadikan tempat berehat.

Dari kawasan pantai, pengunjung dapat menyaksikan keindahan gugusan pulau kecil di perairan Terengganu yang jelas kelihatan terutama jika keadaan cuaca mengizinkan.

Anda mungkin melihat bot nelayan yang meredah gelombang untuk mencari rezeki di tengah laut.

Jika gemar aktiviti lasak, anda boleh bermain jet ski sepuas hati kerana ini jarang digunakan pengunjung tempatan untuk mandi-manda kecuali pelancong asing.

Pantai Air Tawar popular sejak zaman penjajahan Inggeris kerana ada kediaman pegawai Inggeris dan rumah pegawai polis.

Pantai peranginan ini dijadikan kawasan perkampungan Pekan Budaya Daerah Besut, setiap tahun.

Keindahannya menjadi pilihan orang perseorangan dan pasukan berunifom untuk mengadakan aktiviti perkhemahan.

Kanak-kanak pasti gembira apabila dapat bermain di gigi air sambil membina istana pasir bersama rakan. Bagaimanapun, pengunjung tidak digalakkan mandi jika tidak tahu berenang bagi mengelak kemalangan jiwa.