Archive

Posts Tagged ‘Taman Air Bukit Gambang’

Taman Air Bukit Gambang, Kuantan

June 19th, 2010 7 comments

BERKONSEPKAN percutian keluarga, Taman Air Bukit Gambang (TABG), dekat Kuantan, menjadi satu-satunya taman tema di sebelah pantai timur yang sedia meraikan tetamunya dengan 1001 keseronokan.

Dengan bayaran RM19.90 untuk dewasa dan kanak-kanak RM12.90, pengunjung dapat menikmati pelbagai permainan dan kolam dengan ombak buatan terbesar menggunakan teknologi terkini Scotland.

Si kecil pasti teruja dengan Penguin Island di bahagian hadapan taman itu.

Melihat kedudukan patung burung penguin tersenyum lebar, kanak-kanak pasti tidak sabar memanjat pulau yang turut ditakluk tiga ekor ikan pirana gergasi berwarna hijau.

Sesekali pirana ini ‘memuntahkan’ 250 liter air pada satu-satu masa untuk memberi kejutan. Ruang kolam mandi yang luas berdepan dengan pulau ini menyebabkan ia menjadi tumpuan sebahagian pengunjung cilik.

Di pulau ini, pengunjung boleh menyertai pengembaraan dengan menyusuri sungai glasier sepanjang 380 meter (m) yang dingin. Anda juga dapat melihat aktiviti ‘penguin’ sambil melungsur laju bersama pelampung yang disewa dengan kadar bayaran antara RM6 dan RM10 setiap satu.

Menariknya, ibu bapa boleh memerhati dan mengawal pergerakan anak masing-masing dengan bersantai di kolam renang dewasa sambil tubuh diurut secara semula jadi dengan semburan pancuran jet air.

Tree Top Hill pula menjanjikan cabaran lebih hebat dengan gelungsur air di celah pokok berusia ratusan tahun. Tambah menarik apabila dapat hanyut bersama-sama ahli keluarga di atas pelampung yang menggelungsur laju menerusi lungsur kanopi, lungsur galaksi dan lungsur kristal.

Pantai Cocoa Beach pula menawarkan pengalaman berbeza dengan gelombang lapan jenis ombak yang mengganas pada tempoh sama ditetapkan. Ombak buatan yang dihasilkan membuat sesiapa saja bagai dalam percutian di pantai sebenar.

Tidak perlu bimbang dengan keselamatan kerana pengurusan ada menyediakan 28 pengawal kolam yang sentiasa memantau aktiviti tetamu di kawasan taman air serba canggih itu.

Penat berendam dalam air, pengunjung boleh berehat sambil menjamu selera di Tin Mine Kopitiam, Coco Pizza, Penguin Express dan Coco Station.

Setiap satunya menawarkan pelbagai juadah meliputi snek ringan, makanan segera, masakan tempatan dan cita rasa barat.

Pengarah Eksekutif Sentoria Development Sdn Bhd, Datuk Gan Kim Leong, berkata TABG kini menjadi mercu tanda terbaru di pantai timur sebagai destinasi percutian keluarga yang menawarkan pelbagai kemudahan riadah berkonsepkan alam semula jadi.

Dibina atas tapak seluas kira-kira lapan hektar, taman tema di Gambang, berdekatan susur keluar Lebuhraya Pantai Timur (LPT), terletak kira-kira 35 kilometer dari bandar Kuantan dan 220 kilometer dari Kuala Lumpur.

Beliau berkata, tarikan ditawarkan tidak jauh berbeza daripada taman tema lain di seluruh negara, tetapi kelebihan TABG terletak pada pembinaannya yang menekankan kepada aspek keriangan bersama keluarga dan alam semula jadi.

Namun, bagi pengunjung luar daerah, mereka boleh memilih untuk menginap di Carribean Bay Suites (CBS) yang menawarkan 140 bilik berkonsep studio, suite deluxe (18 unit) dan suite keluarga (420 unit) dengan kadar berpatutan.

“Kami bukan saja menawarkan taman tema yang memiliki ciri unik, tetapi konsep percutian bersepadu bagi membolehkan anda menghabiskan masa bersama-sama rakan atau keluarga termasuk menginap di bilik yang disediakan.

“TABG menjadi pintu masuk ke Kuantan sebelum mereka meneroka tarikan pelancongan seperti Cherating dan Telok Cempedak,” katanya sambil menambah taman itu boleh menampung sehingga 4,000 orang pada satu-satu hari.

Taman air itu adalah sebahagian daripada fasa pertama pembangunan TABG. Apabila siap sepenuhnya, ia bakal menjadi destinasi riadah utama pantai timur dan lokasi penganjuran program motivasi, merentas denai hutan, kemudahan menunggang kuda dan gelanggang paintball.

Info

>Pengunjung akan diberikan gelang khas yang berfungsi sebagai kad debit untuk tujuan pembelian dalam taman. Deposit tunai diperlukan, namun baki wang dikembalikan pada akhir kunjungan. Kaunter tambah nilai disediakan untuk isian semula.

>Kotak simpanan keselamatan boleh digunakan untuk telefon bimbit, jam tangan, barang kemas dan dompet dan tas tangan. Dengan ini, pengunjung tidak perlu memikirkan keselamatan barangan peribadi mereka.

>TABG bibuka setiap hari mulai 10 pagi hingga 6 petang. Ditutup setiap Selasa kecuali musim cuti persekolahan dan cuti umum.

RUJUKAN PERCUTIAN

Taman Air Bukit Gambang

Jalan Bukit Gambang Utama, Bukit Gambang Resort City

26300, Kuantan.

Tel: 09-5488000

Faks: 09-5486888

www.bgrc.com.my