Archive

Posts Tagged ‘Shaheizy Sam’

Shaheizy Sam & Maya Karin

January 3rd, 2011 No comments

Sam, Maya menerokai 2011



TENTU ramai yang bersetuju sekiranya Shaheizy Sam dilabelkan sebagai pelakon paling menyerlah pada tahun 2010. Boleh dikatakan 2010 tahun yang terbaik buat dirinya sepanjang 13 tahun bergelar anak seni.

Sebagai bukti, kesemua filem lakonan Sam pada tahun 2010 mendapat sambutan yang cukup hangat dan dikategorikan sebagai filem pecah panggung.

Bermula dengan filem Adnan Sempit yang memperoleh kutipan sebanyak RM7.66 juta, kehebatan Sam kemudian diikuti pula dengan filem seram berjudul Niyang Rapik dengan kutipan sebanyak RM3.72 juta.

Sementara itu, filem Evolusi KL Drift 2 yang berjaya mempamerkan sisi antagonis Sam pula telah mencatatkan kutipan sebanyak RM5.67 juta. Kemuncak kepada kejayaan Sam pada tahun lalu adalah apabila filem lakonannya berjudul Ngangkung mencatat sejarah sebagai filem Melayu pertama yang mencapai kutipan sebanyak RM8 juta!

Bagaimanapun, kejayaan yang diraih bukan setakat itu sahaja kerana tahun 2010 juga menyaksikan adik pelakon Zizie Ezette itu menggondol dua anugerah iaitu Pelakon Pembantu Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia Ke-23 dan Anugerah Khas Juri pada Anugerah Skrin yang berlangsung baru-baru ini.

“Saya sangat bersyukur apabila kesemua filem lakonan saya pada tahun lalu mendapat sambutan hangat hingga mencecah kutipan pecah panggung. Malah, sehingga kini saya sendiri pun seperti tidak percaya dengan kejayaan yang diraih ini.

“Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua peminat yang banyak menyokong saya selama ini. Tanpa sokongan mereka, sudah tentu saya tidak akan berada di kedudukan sekarang ini,” ujarnya merendah diri biarpun profil kerjayanya begitu ranum.

Menurut Sam, kejayaan yang diraih itu sememangnya sesuatu yang di luar jangkaan, manakala dua anugerah utama yang diterima pula adalah satu bonus untuk dirinya berusaha dengan lebih gigih lagi.

Katanya, aspek tidak cepat lupa diri dengan kejayaan serta berazam untuk terus kekal konsisten pada tahun ini dengan memberikan yang terbaik akan disuntik dalam dirinya agar kehadirannya dalam industri perfileman terus diterima peminat.

“Saya mempunyai lima buah filem yang akan ditayangkan sepanjang tahun ini dan saya berharap agar peminat dapat terus memberikan sokongan kerana saya telah melakukan yang terbaik untuk filem-filem tersebut,” ujarnya.

Penerbit

Melihat kepada senario dunia perfileman di Malaysia ketika ini, tidak dinafikan kebanyakan filem yang mencatatkan kejayaan luar biasa diterajui oleh pengarah-pengarah muda.

Antaranya pengarah seperti Syamsul Yusuf dan Farid Kamil yang masing-masing berjaya menerusi filem Evolusi KL Drift 2 dan V3: Samseng Jalanan pada tahun lepas.

Rentetan situasi tersebut, Sam juga sempat ditanya adakah dia sudah bersedia untuk menjadi seorang pengarah setelah mencipta kejayaan luar biasa dalam bidang lakonan?

“Rasanya masih belum sampai masanya untuk saya berada di posisi kerusi pengarah. Lagipun saya masih belum puas berlakon dan masih banyak lagi perkara yang perlu saya pelajari.

SAM dijangka semakin mengukuhkan kedudukannya sebagai pelakon popular dan berkaliber tanah air dengan kemunculannya menerusi lima buah filem baru sepanjang tahun ini.



“Menjadi seorang pengarah filem bukanlah cita-cita dan keutamaan kerana saya lebih berminat untuk menjadi seorang pelakon. Cuma kalau ada rezeki nanti, saya merancang untuk menjadi seorang penerbit filem,” ujarnya.

Sementara mengenai penglibatan dalam drama pula, Sam menjelaskan dia tidak menolak sekiranya mendapat mana-mana tawaran. Cuma dia hanya akan berlakon drama yang mempunyai episod yang tidak terlalu panjang.

Ujarnya, biarpun kini lebih dikenali sebagai pelakon filem tetapi pada tahun lalu dia sempat untuk membintangi dua buah drama iaitu Adnan Sempit The Series dan Asmaradana.

“Minat untuk berlakon drama tidak pernah pudar kerana karier lakonan saya pun memang bermula daripada drama. Namun pada masa ini saya mahu memberi tumpuan untuk berlakon filem atau telefilem,” ujar anak muda kegilaan ramai ini.

Maya dan produk

Sementara itu, bagi selebriti cantik bernama Maya Karin, di sebalik kisah perceraian dan khidmatnya sebagai pengacara rancangan Nona tidak lagi disambung, pelakon ini juga telah mencatatkan beberapa rentetan kejayaan pada tahun lalu.

Rezekinya tidak hanya terhad pada bidang lakonan dan pengacaraan sahaja, malah pelakon kacukan Melayu-Jerman ini juga tidak kering menerima tawaran untuk menjadi duta produk.

Pada tahun ini sahaja, sebanyak tiga buah produk yang telah menggunakan khidmat Maya sebagai duta seperti cat Dulux, tilam Vono dan minuman kesihatan InnerShine Prune Plus.

“Biarpun pada 2010 saya tidak terbabit dengan sebarang filem, tetapi saya tetap berpuas hati kerana masih menjadi pilihan untuk duta produk. Mungkin itu adalah rezeki yang telah ditentukan untuk saya pada tahun lalu.

“Boleh dikatakan pada tahun lalu juga jadual saya agak padat terutamanya ketika menjadi pengacara rancangan Nona serta sibuk dengan latihan untuk pementasan teater Natrah 2,” ujarnya yang mula popular menerusi filem Puntianak Harum Sundal Malam.

Ketika ditebak soalan adakah dia sudah enggan berlakon filem lagi, Maya memberitahu bahawa berlakon masih menjadi keutamaannya serta tidak menafikan masih banyak menerima tawaran.

Mengaku agak selektif dan cerewet dalam memilih tawaran berlakon, Maya menjelaskan dia terpaksa menolak beberapa tawaran dan hanya berlakon dalam dua buah filem sahaja iaitu Cun dan Ombak Rindu yang akan ditayangkan pada tahun ini.

Malah, untuk tahun 2011 ini juga Maya telah menerima pelbagai tawaran yang cukup menarik tetapi masih enggan bercerita dengan lebih lanjut kerana setiap tawaran masih lagi dalam pertimbangan.

Kembali menyanyi

Umum mengetahui bahawa selain bergelar pelakon dan pengacara, Maya Karin juga pernah bergelar sebagai seorang penyanyi sebelum ini. Malah, dia juga pernah menghasilkan dua buah album yang berjudul Erti Cinta dan Bukan Qalamaya.

Setelah tujuh tahun tidak hadir dengan sebarang album, Maya menjelaskan dia akan kembali untuk menyanyi semula tahun ini dan sedang sibuk menyiapkan album terbarunya.

KALI terakhir muncul dengan album pada tahun 2004, Maya kini giat menyiapkan album terbarunya.



“Sudah tentu saya sangat merindui dunia nyanyian kerana kali terakhir saya menghasilkan album adalah pada tahun 2004. Bila dapat peluang untuk menghasilkan album, sudah tentu saya tidak lepaskannya.

“Saya teruja kerana pada kali ini Audi Mok dan Azlan The Typewriter akan terlibat dalam penghasilan album saya dan harapan saya agar ia dapat diterima peminat,” ujarnya.

Menurut wanita yang kini hangat digosipkan dengan Yusry KRU , setakat ini sebanyak lapan buah lagu telah dihasilkan dan hanya tinggal dua buah lagu lagi yang akan menjalani proses rakaman dan dijangka akan siap sepenuhnya dalam beberapa bulan lagi.

Sementara itu, bagi melupakan segala kisah pahit yang melanda dirinya sebelum ini, Maya telah merancang untuk lebih banyak melancong pada tahun ini dengan memilih tempat-tempat percutian yang menarik.

Akuinya, melancong adalah salah satu aktiviti yang paling digemarinya, tetapi tidak dapat dilakukan semenjak kebelakangan ini kerana jadual kerja yang padat.

Kutipan Filem Ngangkung pecah rekod

December 24th, 2010 No comments

Ngangkung pecah rekod

LIMA minggu tayangan di 59 pawagam tanah air, filem seram komedi Ngangkung terbitan MIG Prodctions Sdn Bhd bukan saja mencatat kutipan pecah panggung di luar jangkaan dengan RM8.15 juta, malah mencatat rekod baru kutipan tertinggi setakat ini.

Filem ke-42 MIG serta arahan pertama Ismail Bob Hasim ini mengatasi kutipan Adnan Sempit arahan Ahmad Idham yang ditayangkan Januari lalu dengan RM7.66 juta.

Kejayaan Ngangkung ini sangat mengejutkan penerbitnya, David Teo dan atas kejayaan ‘berganda’ filem ini membuatkan David berminat menghasilkan sekuelnya. Setakat ini, skripnya sudah disiapkan dan kemungkinan penggambaran dijangka pada Januari atau Februari nanti.

“Saya akan mengekalkan Bob Hasim sebagai pengarahnya. Apapun, saya sebenarnya tak menyangka Ngangkung berjaya mencetus fenomena sehebat ini, sekali gus mengatasi kutipan filem Adnan Sempit.

“Macam tak percaya Ngangkung mencipta sejarah kutipan filem tempatan paling tinggi setakat ini, kerana pada awalnya saya hanya mensasar jumlah sekitar RM4 juta. Jadi, siapa tidak gembira apabila mendapat dua kali ganda daripada sasaran.

“Saya berterima kasih kepada penonton yang menyokong filem ini. Malah, saya juga melihat kejayaan ini sebagai hasil kerja berpasukan. Bagi saya, ia tidak terletak kepada pelakon semata-mata, tetapi semua tenaga produksi yang terbabit.

“Dakwaan mengatakan kejayaan sesuatu filem bergantung kepada artis saja, tidak benar sama sekali. Dalam soal ini, artis, tenaga produksi dan publisiti saling ada hubung kait membantu kejayaan filem dihasilkan. Ia bukan atas faktor ‘seorang’,” katanya.

Menurut David, kejayaan Ngangkung juga menunjukkan MIG sentiasa ke arah mencetus genre baru di persada perfileman negara. Ujarnya, atas kejayaan itu pastinya ia akan menjadi ikutan sebagaimana filem Jangan Pandang Belakang.

Beliau berkata, kejayaan Jangan Pandang Belakang membuka ruang kepada penggiat seni tanah air giat menghasilkan filem seram. Diikuti, pula Adnan Sempit selepas itu yang mengetengahkan genre aksi komedi dan kini tentunya Ngangkung.

“Justeru MIG Productions sangat berbangga dapat menjadi ‘pencetus’ idea ini yang kemudian menjadi ikutan ramai. Oleh itu, saya harus sentiasa berusaha membawa pembaharuan supaya penonton terhibur dan dapat kepuasan yang mereka mahu.

“Selain Ngangkung, pada 16 Disember lalu MIG Productions muncul dengan satu lagi filem di pawagam iaitu Aku Masih Dara. Selama lima hari tayangan, saya berpuas hati dengan kutipan diraih iaitu RM1.1 juta. Saya yakin, jumlah ini akan bertambah.

“Bagaimanapun, untuk filem Aku Masih Dara saya meletakkan sasaran kutipan sekitar RM2 juta lebih. Namun, melihatkan kepada jumlah diperoleh setakat ini, sasaran ditetapkan takkan lari. Ia akan ada dalam genggaman tidak lama lagi,” katanya.

Ngangkung yang dijayakan Shaheizy Sam, Angah Raja Lawak, Azad Jazmin, Putri Mardiana, Eira Syazira dan Farisya Fatin, tampil dengan mesej supaya supaya masyarakat tidak terjebak dengan aktiviti main nombor ekor hingga sanggup melakukan pemujaan. Manakala Aku Masih Dara pula tentunya mengingatkan remaja tidak liar dan menjaga kehormatan diri.

Selepas dua filem ini, sebagai menutup tirai kejayaan MIG Production sepanjang 2010, filem Damping Malam akan menemui penonton di pawagam pada 30 Disember ini. Selain mengarah, Ahmad Idham juga mengetengahkan semula bakat lakonan selepas 10 tahun menyepi.

Satu lagi filem komedi seram, Hantu Kak Limah Balik Rumah yang ditayangkan di pawagam sejak 9 Disember lalu, turut mencatat sambutan hebat. Filem arahan Mamat Khalid dan diterbitkan Tayangan Unggul Adn Bhd ini mencatat RM5 juta.

Kutipan Ngangkung RM8 juta selepas empat minggu

December 22nd, 2010 No comments

Ngangkung’ Pecah Rekod, Kutip RM8 juta

<b>Pengarah Ngangkung Ismail Hasim</b> (dua, kiri) bersama tiga bintang utama <b>Azad Jasmin</b> (paling kiri), <b>Shaheizy Sam</b> (dua, kanan) dan <b>Angah Raja Lawak</b>
Pengarah Ngangkung Ismail Hasim (dua, kiri) bersama tiga bintang utama Azad Jasmin (paling kiri), Shaheizy Sam (dua, kanan) dan Angah Raja Lawak.

PETALING JAYA: Syarikat produksi Metrowealth (MiG) sekali lagi melakar sejarah dalam pencapaian kutipan pecah panggung filem Malaysia apabila Ngangkung berjaya mengutip sebanyak RM8 juta selepas empat minggu ditayangkan.

Kutipan tersebut sekali gus menjadikan Ngangkung sebagai filem Melayu yang mencatat kutipan pecah panggung tertinggi setakat ini.

Filem komedi seram yang mula ditayangkan pada 25 November lalu itu turut mengatasi rekod filem Adnan Sempit yang mengutip sebanyak RM7.8 juta.

Lebih membanggakan, jumlah ini berjaya dikutip dalam tempoh sebulan berbanding tempoh 6 minggu bagi filem Adnan Sempit. Jumlah tersebut termasuk kutipan daripada pawagam bebas.

Selepas empat minggu di pawagam, Ngangkung masih menerima sokongan berterusan daripada penonton. Sokongan ini amat dialu-alukan bagi mencapai sasaran 1 juta penonton yang disarankan oleh pihak kerajaan.

Terdahulu, filem arahan Ismail Hasim atau Bob ini melakarkan sejarah tersendiri apabila berjaya mencatat kutipan minggu pertama tertinggi dalam sejarah filem Melayu iaitu RM3.7 juta.

Dalam kerancakan filem Malaysia ditayangkan setiap minggu sempena musim cuti sekolah, Ngangkung dilihat konsisten menguasai pawagam bersaing pula dengan filem-filem besar dari Hollywood.

Filem terbitan MiG ke-42 ini dijayakan oleh Shaheizy Sam, Angah Raja Lawak, Azad Jazmin, Putri Mardiana, Eira Syazira, Farisya Fatin, Azlee Jaafar, Mazlan Pet Pet dan ramai lagi.

Tahun 2011 akan menyaksikan lebih banyak filem terbitan MiG menjengah pawagam termasuk Kembar Siang (2 Feb 2011), Kongsi, 3 2 1 Cinta, Sekali Lagi, Senario Ops Pocot dan Keramat.