Archive

Posts Tagged ‘Sara Ali’

Misteri ikatan Syafie Naswip dan Sara Ali

January 13th, 2011 No comments

Misteri ikatan Syafie, Sara



BIAR berbeza usia dan pertama kali digandingkan bersama, Syafie Naswip dan Sara Ali pantas mencipta keserasian bersama. Malah Syafie tidak berselindung memberitahu hubungannya dengan pemegang watak Hawa, dalam filem Songlap itu cukup rapat.

Dia juga mengakui ada sesuatu yang berlaku antara mereka. Namun enggan menghuraikan apakah yang dimaksudkannya itu.

“Saya dan Sara cukup rapat dalam filem ini. Tapi rapat macam mana saya tidak boleh cerita. Bagi saya Sara seorang pelakon yang bagus dan saya senang bekerjasama dengannya,” tuturnya.

Enggan mengulas lanjut tentang misteri hubungan mereka, pemilik nama sebenar Mohd. Syafie Naswip ini mengalih bicara tentang tenggelam timbul dia dalam industri seni.

Semuanya kerana pemergian pengarah dan gurunya, Allahyarham Yasmin Ahmad.

Selain seperti hilang tujuan, dia juga pernah berputus asa terhadap dunia seni dan selepas Talentime, dia jarang muncul di kaca televisyen mahupun layar perak.

Namun, atas nasihat keluarga dan teman-teman, akhirnya Syafie terpaksa mengalah memandangkan cintanya terhadap dunia seni begitu mendalam.

Syafie yang ditemui pada majlis pelancaran filem terbarunya berjudul Songlap di Bangsar, baru-baru ini memberitahu, tahun ini dia hanya akan muncul dengan dua buah filem baru iaitu Nur Kasih The Movie dan Songlap.

“Saya sebenarnya tidak yakin untuk berlakon selepas pemergian arwah kerana saya dibentuk olehnya, selepas arwah tiada, saya berehat daripada dunia lakonan hampir setahun.

“Tahap keyakinan diri saya depan kamera jatuh menjunam, tetapi lama-kelamaan saya kembali okey walaupun lakonan kini bukan kerjaya saya yang utama,” ujarnya yang melakonkan watak utama dalam Songlap.

Menurut Syafie yang kini merupakan pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Gombak Setia, lakonan merupakan kerjaya keduanya kerana dia harus memberi fokus kepada peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang akan diambil tahun ini.

“Sebelum habis belajar, saya hanya akan ambil tawaran berlakon ketika cuti persekolahan yang panjang sahaja kerana saya tidak mahu mengganggu pelajaran,” terangnya yang bersyukur pihak penerbit memahami komitmen utamanya itu.

Tambahnya, meskipun kerjaya lakonan menjanjikan pulangan yang lumayan dan masa depan yang cerah, tetapi tegas Syafie dia harus menamatkan pelajarannya terlebih dahulu sebelum memberi fokus kepada dunia lakonan.

“Saya harus menyediakan payung sebelum hujan untuk diri sendiri dan keluarga. Jadi pelajaran sangat penting buat saya kerana saya bukannya orang kaya.

“Selepas sekolah, saya berhasrat untuk menyambung pelajaran dalam bidang fotografi atau filem. Mana tahu, kalau saya tidak lagi jadi pelakon, saya boleh jadi jurugambar atau jurukamera filem pada masa depan,” ucapnya.

Gugup

Lama tidak menjejaki set penggambaran menyebabkan Syafie berasa gugup saat tiba pada hari pertama di lokasi Songlap.


AKUI Syafie, hubungannya dengan Sara rapat biarpun Sara lebih tua daripadanya.


Semua krew dan pelakon yang digandingkan dengannya dalam filem arahan Effendee Mazlan dan Fariza Azlina Isahak itu cukup asing baginya.

“Sampai di set penggambaran saya rasa asing. Dalam hati saya, boleh ke saya berlakon? Tetapi dengan tunjuk ajar pelakon lain dan disiplin lakonan yang dijaga oleh pengarah semuanya berjalan dengan lancar.

“Malah, saya rasa seronok sepanjang bekerja dengan mereka, walaupun agak tertekan kerana pelakon lain semuanya hebat-hebat,” katanya.

Disebabkan ingin mendalami wataknya sebagai Adam Kecil yang merupakan adik kepada Adam Besar (Shaheizy Sam) seorang ejen penjualan bayi dan kaki judi, Syafie meninjau sendiri kehidupan di belakang kawasan Chow Kit, Kuala Lumpur pada waktu malam.

“Saya tinjau dan lihat sendiri bagaimana kehidupan orang-orang di sana supaya mudah untuk saya melakonkan watak Adam Kecil kerana filem ini ada kaitan dengan kegiatan pelacuran dan dadah,” ujarnya.

Pertama dan terakhir

Sara Ali berusia 21 tahun, baru melibatkan diri dalam dunia lakonan pada tahun lepas, bagaimanapun sudah lima buah filem yang menggunakan khidmatnya sebagai pelakon.

Antaranya, filem Sesuatu Yang Tertinggal, Klip 3GP, Penunggu Istana, Nur Kasih The Movie dan Songlap. Jika dilihat sebagai pelakon yang baru, Sara dikira seorang gadis yang bertuah.

Bakatnya belum lagi terbukti, tetapi sudah diberi kepercayaan oleh pihak penerbit untuk memegang watak utama dalam filem, sedangkan pelakon wanita yang sedia ada juga tidak mempunyai tuah sepertinya.

“Saya mula berlakon pada Mac tahun lalu, semuanya berlaku secara tidak sengaja apabila ada orang produksi menghubungi saya menerusi laman sosial Facebook.

“Mereka minta saya datang uji bakat. Pada mulanya saya tidak percaya tetapi bila mereka minta saya hadir ke sesi uji bakat di Sri Pentas, TV3, baru saya percaya.

“Saya dipilih dan pada fikiran saya filem Sesuatu Yang Tertinggal merupakan filem pertama dan terakhir saya, tidak sangka pula akan dapat tawaran filem lain,” ucapnya dalam senyuman manis.

DARI kiri: Shaheizy Sam, Syafie dan Sara menjadi tunjang utama filem dengan bajet RM1.7 juta ini.



Sara yang merupakan pelajar jurusan Seni Bina dari Universiti Lim Kok Wing itu tidak pernah terfikir untuk bergelar seorang pelakon, tetapi selepas mula berlakon filem pertama minatnya semakin bercambah.

“Memang tidak fikir langsung akan jadi pelakon tetapi mungkin sudah rezeki saya dalam bidang lakonan. Bagaimanapun, semua penggambaran dilakukan ketika waktu cuti semester, jadi saya boleh membahagikan masa dengan baik antara pelajaran dan lakonan.

“Buat masa ini harapan saya agar penonton boleh terima kehadiran saya dalam dunia seni dan melihat bakat saya. Jika saya diterima mungkin saya akan teruskan dengan lakonan, jika tidak, saya mungkin akan jadi arkitek, semuanya tidak dapat dipastikan lagi,” katanya kini sedang menjalani penggambaran filem keenamnya.

Ulasnya mengenai filem Songlap, dia menimba pengalaman yang cukup berguna kerana digandingkan dengan pengarah dan pelakon yang mempunyai nama besar.

“Macam Syafie, dia muda daripada saya tetapi dia lebih berpengalaman, jadi kami sering bertukar-tukar pendapat dan berlatih terlebih dahulu sebelum masuk ke set penggambaran.

“Apa yang saya suka mengenai Songlap, filem ini diambil daripada kisah benar dan isu semasa yang memang terjadi di Malaysia,” luahnya mengenai filem yang sedang dalam proses suntingan.

Sara Ali Mata Galak

December 22nd, 2010 No comments
Mata Galak Bawa Tuah Sara Ali
Sara Ali Mata Galak
Sara Ali dijangka menggegar dunia lakonan tahun depan menerusi lima buah filem.

KUALA LUMPUR: Biarpun masih baru dan belum dikenali ramai, pelakon Sara Ali yang sudah membintangi lima buah filem sepanjang tahun ini berkata, peluang itu diperolehi bukan kerana populariti.

Sebaliknya, dia percaya ia dipengaruhi oleh tarikan mata yang galak dan bakat yang dimilikinya.

Menurut gadis berusia 20 tahun itu, sebagai orang baru dia sama sekali tidak menduga akan diberikan satu demi satu peluang lakonan meskipun kemampuannya masih belum dilihat oleh khalayak umum lagi.

Biarpun baru setahun jagung, Sara telah membintangi lima filem iaitu Sesuatu Yang Tertinggal, Penunggu Istana, Klip 3GP, Nur Kasih dan yang terbaru Songlap.

Menjelaskan perkara tersebut, Sara berkata, kebanyakan pengarah dan penerbit yang menawarkan peluang lakonan kepadanya memberitahu tarikan matanya yang galak dilihat bersesuaian untuk menjayakan watak dalam kelima-lima filem berkenaan.

“Sejujurnya, saya tidak sangka peluang berlakon akan datang silih-berganti. Secara logik, saya masih terlalu baru dan tidak dikenali pun tetapi pihak penerbit dan pengarah berani mempertaruhkan saya dalam lima filem itu.

“Kata mereka, saya mempunyai sepasang mata yang galak dan mampu menterjemahkan watak-watak yang dikehendaki dalam filem-filem tersebut.

Sara Ali bergandingan dengan Shaheizy Sam, Syafie Naswip sebagai teraju utama filem Songlap
Sara Ali bergandingan dengan Shaheizy Sam (kiri) dan Syafie Naswip sebagai teraju utama filem Songlap.

“Watak-watak yang saya mainkan dalam lima filem itu pula bukan watak kecil atau tambahan. Kesemuanya watak penting dan mencabar termasuklah watak utama untuk filem Songlap di samping Shaheizy Sam dan Syafie Naswip,” katanya.

Tambah Sara, pada awalnya, dia sekadar ingin mencuba nasib apabila menghadiri sesi ujibakat filem Sesuatu Yang Tertinggal pada Mac tahun ini.

Menyangkakan penglibatan dalam filem seram itu adalah yang pertama dan terakhir buatnya, dia bagaimanapun terkejut apabila satu persatu peluang menyusul selepas itu ekoran bakat dan tarikan matanya.

“Pada awalnya, saya sekadar mencuba nasib ketika menghadiri ujibakat filem Sesuatu Yang Tertinggal arahan Asrulhisyam Ahmad.

“Apabila diterima untuk membintangi filem itu, saya sangka itu adalah lakonan yang pertama dan terakhir. Namun, tidak sangka pula saya ditawarkan satu persatu filem selepas itu sehinggalah ke hari ini.

“Kini, saya mahu fokus dalam bidang ini kerana saya sukakan lakonan dan berasa teruja setiap kali berada di lokasi penggambaran,” katanya.

Kesemua filem lakonan pelajar jurusan Seni Bina di Universiti Lom Kok Wing ini bakal ditayangkan pada tahun depan.

Filem Songlap Shaheizy Sam

December 20th, 2010 No comments

Filem Songlap Shaheizy Sam
Shaheizy Sam

KUALA LUMPUR: Pelakon Shaheizy Sam, 28, berkata kesibukannya mengisi jadual lakonan yang padat sepanjang tahun ini menyukarkannya untuk berehat panjang.

Biarpun mengakui kepenatan ekoran pelbagai tawaran berlakon yang harus dipenuhi, dia bagaimanapun menganggap tempoh rehat yang singkat di antara satu projek kepada projek yang berikutnya adalah memadai demi bidang lakonan yang dicintainya.

“Saya akui memang penat kerana tidak berhenti-henti bekerja sepanjang tahun ini. Namun, saya hadapi kesukaran untuk berehat. Jauh sekali untuk pergi bercuti.

“Bagi saya tidak mengapa jika tidak dapat bercuti panjang pun. Kebiasaannya, kalau ada waktu senggang selama tiga empat hari, saya akan berehat di rumah saja. Itu pun sudah memadai,” katanya kepada mStar Online.

Mengulas lanjut, Sam berkata, kekuatan dan keistimewaan skrip-skrip filem yang diterimanya sepanjang tahun ini menyebabkan adik kepada dramatis Zizie Ezette ini sukar untuk menolak tawaran itu.

“Sepanjang tahun ini, saya menerima banyak skrip filem yang sukar untuk ditolak begitu saja. Satu demi satu skrip filem yang datang mempunyai kekuatan masing-masing.

“Mahu tidak mahu saya harus menyahut cabaran dan peluang yang terhidang. Bukan hendak bersikap tamak tetapi selagi permintaan masih ada dan kebetulan pula skripnya bagus, mengapa tidak saya rebut peluang itu,” katanya yang baru saja menamatkan penggambaran filem Songlap.

Dalam filem arahan Effendee Mazlan dan Fariza Azlina Ishak itu, Sam menggalas watak sebagai Am iaitu abang kepada Ad (lakonan Syafie Naswip).

Filem berjalur aksi drama itu mengisahkan tentang kehidupan dua beradik Am dan Ad yang terlibat dalam kancah penjualan bayi.

Filem yang turut membariskan Sara Ali, Omar Abdullah, Rozie Rashid, Normah Damanhuri dan Eliza Wong ini bakal ditayangkan pada tahun 2011.