Santuari Penyu Tengku Arif Temenggung (TAT)
Pulau Tioman juga adalah syurga pelancong terutama mereka yang menggemari aktiviti selam skuba kerana keindahan khazanah dasar lautnya dengan terumbu karang dan hidupan marin.
Bagaimanapun, tiada siapa tahu ada lima pantai utama menjadi pusat pendaratan penyu iaitu di Pasir Munjur, Pasir Mentawak, Teluk Saing, Teluk Penut dan Teluk Sri Intan.
Setiap tahun, antara April dan Oktober, dua spesies penyu iaitu agar atau nama saintifiknya chelonia mydas dan spesies karah (eretmochelys imbricata) mendarat untuk bertelur di pantai ini.
Justeru, Jabatan Perikanan Malaysia membelanjakan kira-kira RM25,000 membina Santuari Penyu Tengku Arif Temenggung (TAT) di Teluk Sri Intan dalam usaha memulihara hidupan itu.
Pelancarannya disempurnakan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah di Pusat Selam di Berjaya Tioman Beach Golf & Spa Resort, baru-baru ini.
Walaupun masih baru beroperasi, hampir 2,000 telur penyu ditanam dan 100 anak hidupan terancam ini sudah dilepaskan ke laut.
Santuari perlindungan itu menjadi lokasi ketiga selepas Teluk Baruk dan Pasir Mentawak di Kampung Juara, Pulau Tioman yang dipilih sebagai pusat pemuliharaan penyu.
Pemilihannya berikutan kehadiran penyu untuk menetas dikesan di pantai berkenaan.
Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Datuk Junaidi Ayub, berkata penubuhan pusat itu adalah ilham Istana Pahang selaras dengan usaha melindungi penyu di perairan Pulau Tioman.
Hidupan ini memiliki pelbagai ciri unik termasuk akan kembali bertelur ke pantai sama tempat ia ditetaskan selepas tempoh matang pada usia kira-kira 50 tahun.
Bagaimanapun, katanya pencemaran akibat aktiviti manusia turut menyumbang kepada kepupusan haiwan dilindungi ini.
“Spesies penyu di Pulau Tioman akan dapat dilindungi manakala jumlah penyu di pulau itu akan terus kekal dan dipertingkatkan.
“Jabatan juga sedia memberi bantuan teknikal bagi menjayakan program pemuliharaan penyu yang akan dilaksanakan di lokasi berkenaan,” katanya.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tioman, Kapten (B) Mohd Johari Hussin.
Selain itu, 40 pelajar Orang Asli dari Sekolah Kebangsaan Telanok, Cameron Highlands turut mengambil kesempatan menyaksikan program pelepasan anak penyu berkenaan
Bagi menarik penyertaan awam terhadap usaha pemuliharaan penyu, ia turut menawarkan program pelancongan sukarelawan terbuka kepada penyertaan orang awam.
Peserta terpilih dalam program yang turut diperkenalkan di beberapa pusat pendaratan penyu lain ini akan membuat pemantauan ketika musim hidupan itu bertelur antara Mei dan Ogos.
Kewujudan santuari penyu itu membolehkan penduduk terutama generasi muda mengenali spesies haiwan yang dilindungi itu dengan lebih dekat.
Penyu adalah haiwan yang sangat sensitif dengan persekitarannya dan kerjasama semua pihak menjaga alam sekitar dapat memulihara serta membiakkan lagi haiwan ini.
RUJUKAN PERCUTIAN
Lembaga Pembangunan Tioman
Tel : 09-5141206
Faks: 09-5148801
tioman@mytioman.com.my
www.mytioman.com.my
Tourism Malaysia – Pahang
Tel : 09-5177113/7115
Faks : 09-5177114
www.pahangtourism.com.my