Archive

Posts Tagged ‘Sabah’

Kota Kinabalu, Sabah

August 21st, 2010 2 comments

SEBUT saja Sabah, pasti terbayang Gunung Kinabalu yang menjadi puncak tertinggi di Borneo. Pulau Sipadan pula sudah menempa tempat di peta pelancongan antarabangsa apabila dijulang sebagai antara lima lokasi selam skuba terbaik dunia.

Namun, Kota Kinabalu atau KK yang menjadi pintu masuk utamanya turut menjanjikan percutian santai dengan tarikan alam semula jadinya. Malah, kebanyakan daripadanya terletak tidak jauh dari pusat bandar terutama mereka yang bukan kalangan pendaki atau kaki selam skuba.

Tempoh paling menarik untuk mengunjungi negeri ini adalah sekitar pertengahan Mei apabila Tadau Kaamatan disambut penduduk Kadazan Dusun. Inilah masanya untuk melihat tradisi bobohizan atau bomoh wanita dan persembahan tarian untuk memuja semangat padi.

Penduduknya seramai dua juta orang terbahagi kepada 30 etnik yang bertutur dalam 80 dialek tempatan. Jangan terkejut jika ada antara penduduk di sini walaupun sesama jiran, tidak memahami bahasa Iranum atau Rungus, Kadazan, Bajau dan Murut

Kepelbagaian budayanya turut merangkumi masyarakat Bajau Laut dan komuniti Filipina yang datang dari pulau paling selatan negara itu. Ini dapat dilihat jika singgah di Pasar Filipina yang terkenal dengan deretan gerai menjual mutiara Sabah, bersebelahan pasar ikan.

Sabah memiliki kelebihan berbanding negeri jiran apabila memiliki persisiran pantai melebihi 1,000 kilometer (km), bersempadan Laut China Selatan, Laut Sulu dan Laut Sulawesi. Warganya prihatin dengan kebersihan yang boleh dilihat di pantai dan kompleks beli-belah yang bebas sampah.

Memandangkan tujuan kunjungan singkat adalah untuk membuat liputan Promosi Kraftangan Kraf dan Tenun atas jemputan Kraftangan Malaysia, penulis memanfaatkan waktu terluang untuk meneroka tarikan pelancongan di KK.

Pantai Tanjung Aru, kira-kira enam km dari lapangan terbang menjadi tumpuan dengan kemudahan taman rekreasi dan keenakan makanan lautnya sejak 1960-an. Pantai sepanjang dua km ini meliputi tiga bahagian menganjur ke kawasan berhampiran Shangri La Tanjung Aru Resort.

Setiap pagi dan petang, pantai ini sering dijadikan lokasi aktiviti sukan seperti berjoging, menunggang kuda dan bola pantai dan ada kalanya dipilih sebagai lokasi latihan dan perlumbaan perahu layar anjuran Persatuan Kapal Layar Sabah.

Manakala, Anjung Selera juga sentiasa sesak dengan kunjungan warga tempatan yang mahu menikmati makanan laut segar, sate, masakan claypot, atau sekadar bersantai sambil menghisap shisya dengan dibuai bayu Laut Cina Selatan.

Perjalanan ke pinggir KK melalui jalan persisir pantai pada waktu malam menjanjikan pengalaman menarik. Ini apabila melewati pelabuhan, Masjid Bandaraya, Menara Tun Mustapha yang turut memiliki tarikan restoran berputar di tingkat atas dengan pemandangan Teluk Likas.

Mengikut rakan wartawan di Sabah, pengurusan Masjid Bandaraya turut membela ikan di kolam yang mengelilinginya sebagai antara sumber pendapatan sampingannya. Ia ternyata memberikannya tarikan apabila ada warga Aceh yang datang semata-mata untuk mempelajari usaha masjid ini.

Di pusat bandar, jangan lupa singgah di pasar kraftangan atau pasar setiap Ahad, Gaya Street untuk mendapatkan cenderamata etnik, buah-buahan dan produk makanan laut serta kerepek perusahaan kampung atau yang diimport dari negara jiran.

Kawasan ini berdekatan Waterfront yang meriah dengan deretan restoran, kafe dan pusat hiburan. Selain itu, zon sama padat dengan kompleks beli belah termasuk Centre Point, Wisma Merdeka, Warisan Square, Plaza Wawasan, Kompleks Asia City, City Mall, KK Plaza,

Tidak jauh dari situ, Jesselton Point menjadi pintu masuk ke Taman Laut Tunku Tunku Abdul Rahman. Hanya 20 minit perjalanan bot, pengunjung dapat menikmati keindahan lima pulau Manukan, Mamutik, Gaya, Sapi dan Sulug yang diwartakan sebagai taman laut pada 1974.

Jika bukan peminat selam skuba, anda masih boleh mencuba snorkling dengan menyewa topeng dan ‘google’ yang disewa dengan harga antara RM10 dan RM15. Cara lain termasuk submarin iaitu bersiar-siar menikmati keindahan dasar laut pada kedalaman sehingga lima meter (m).

Info

>Taman Negara Kinabalu, 90km dari KK menjadi tumpuan dengan puncak ketiga tertinggi di Asia Tenggara iaitu Gunung Kinabalu dan tarikan kolam air panas.

>Menara jam, Atkinson Clock Tower berhampiran Bandaran Berjaya dibina Mary Edith Atkinson pada 1905 bagi memperingati anaknya, Francis George Atkinson.

>Petagas War Memorial dibina bagi memperingati perjuangan mempertahankan tanah air daripada serangan Jepun pada 1944 kini turut menjadi tumpuan pelancong.

>Monumen Double Six di Sembulan pula sebagai memperingati nahas kapal terbang yang mengorbankan Ketua Menteri Sabah pertama, Tun Fuad Stephens pada 6 Jun 1976.

RUJUKAN PERCUTIAN

Lembaga Pelancongan Sabah

E-mel: info@sabahtourism.com

www.sabahtourism.com

Tourism Malaysia

Talian Pelancongan: 1-300-88-5050

E-mel: enquiries@tourism.gov.my

www.tourism.gov.my

Categories: Travel Tags: , ,

Kampung Tambatuon, Sabah

October 17th, 2009 1 comment

SEHARI pada Mei setiap tahun menjadi saat paling dinantikan Japanis Sabin, dari Kampung Tambatuon, untuk balik kampung dan melupakan seketika kesibukan tugas di Kota Kinabalu.

Penantian ini bagi Japanis, 36, bukan saja kerana Mei tanda bermulanya Pesta Kaamatan, tetapi disebabkan kemeriahan acara Pesta Tagal di Sungai Kadamaian, tidak jauh dari kampungnya.

Baginya, Pesta Tagal adalah peluang untuknya bertemu saudara serta sahabat handai yang turut balik kampung menyertai kemeriahan pesta berkenaan.

Taga dalam bahasa Dusun bermakna larangan menangkap ikan di sungai tertentu, biasanya bagi tempoh setahun atau dua tahun.

Ia adalah tradisi masyarakat Dusun yang sudah diamalkan sekian lama. Bagaimanapun, larangan itu akan ditarik untuk sehari dan tahun ini, ia dilakukan pada Sabtu, baru-baru ini.

Pesta Tagal itu disertai kira-kira 800 orang penduduk Kampung Tambatuon di Sungai Kadamaian.

Sistem Tagal adalah kaedah pemuliharaan sungai secara tradisi yang direka penduduk kampung sendiri supaya ia tidak tercemar serta melindungi hidupan di dalamnya daripada pupus.

Kini, sungai terbabit menjadi penjana pendapatan baru kepada penduduk luar bandar melalui ekopelancongan.

Larangan menangkap ikan yang dikuatkuasakan pemimpin kampung, biasanya ketua kampung mesti dipatuhi penduduk berkenaan atau orang luar yang datang ke kampung itu.

Sesiapa yang melanggar peraturan berkenaan bukan saja dicemuh penduduk kampung, tetapi juga dikenakan sogit iaitu denda atau hukuman yang ditentukan pemimpin kampung.

Biasanya, denda yang dikenakan adalah seekor kerbau atau babi atau membayar dalam bentuk wang setimpal dengan kesalahan dilakukan.

Sepanjang pesta ini, penduduk kampung secara bergotong-royong bebas menangkap ikan sepuas-puasnya.

Semua ikan yang ditangkap, dikumpulkan sebelum dibahagi-bahagikan sesama mereka, tetapi bukan untuk dijual.

Sebahagian ikan yang ditangkap itu dimasak penduduk kampung untuk dinikmati beramai-ramai bagaikan satu kenduri besar. Kenduri itu dalam bahasa Dusun Kota Belud dinamakan moginakan.

Biasanya ikan yang ditangkap ialah kelah atau pait (dalam bahasa Dusun) dan jenis lain seperti sarawi, betuan dan sinsilog (sejenis belut sungai).

Ada ikan kelah yang ditangkap mencecah RM100 hingga RM300 seekor, bergantung kepada saiz dan beratnya yang biasanya antara tiga hingga lima kilogram.

Satu daripada keunikan pesta ini ialah penduduk hanya dibenarkan menangkap ikan menggunakan alat tradisi seperti rambat, pukat dan senapang ikan.

Penggunaan bahan lain seperti racun, tuba atau cara lain yang boleh memudaratkan populasi ikan, ditegah sama sekali.

Kini selepas 10 tahun pesta berkenaan diadakan, Sungai Kadamaian turut menjadi tempat tarikan pelancong di samping menjadi wadah mengeratkan hubungan di kalangan penduduk asal kampung ini.

Pesta Tagal ini bukan saja boleh menjaga alam sekitar daripada dicemari dan sumber ikan daripada pupus malah dapat mendisiplinkan penduduk kampung.

Categories: Travel Tags: , ,