Archive

Posts Tagged ‘Pulau Pinang’

Pulau Pinang & Kedah

July 17th, 2010 No comments

PULAU PINANG

SUATU ketika dulu, ia pernah menerima jolokan Pulau Mutiara Timur, hari ini Pulau Pinang terkenal dengan pemilihan Georgetown sebagai Tapak Warisan Dunia. Status itu dianugerahkan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Sejarahnya yang melangkaui abad dapat dilihat menerusi tinggalan seperti Kota Cornwallis, Masjid Melayu Lebuh Acheh, Kuil Sri Maha Mariamman, Masjid Kapitan Keling dan Kongsi Khoo, yang boleh dihayati berpandukan Jejak Warisan Pulau Pinang.

Kota Cornwallis yang dibina pada 1786 pernah menjadi kubu pertahanan dan pusat pentadbiran penjajah turut menempatkan gereja kecil, penjara, dan rumah api di tengah pusat bandar. Kota ini turut memiliki meriam Belanda, Seri Rambai yang pernah bertukar tangan beberapa kali.

Kemasyhuran pedagang kaya, Syed Al-Attas dapat disaksikan pada tinggalan banglo dua tingkat, manakala di depannya pula, Masjid Melayu Lebuh Acheh. Muzium Peranakan Pulau Pinang pernah menjadi kediaman Kapitan Chung Keng Kwee, ketua puak Hai San, yang terbabit dalam Perang Larut antara 1860-an dan 1884.

Kongsi Khoo berusia lebih 100 tahun di Lebuh Cannon pula membawa pengunjung mengembara ke Dinasti Ching dengan reka bentuk bangunannya seperti perkampungan Cina pada abad ke-19.

Kuil dalam kongsi ini pernah diabadikan dalam satu babak filem Hollywood, lakonan Jodie Foster pada 1999.

Pantai Batu Feringgi, tumpuan utama pelancong yang mahu menikmati makanan dan membeli-belah kini menerima tarikan antarabangsa dengan pembukaan Hard Rock Hotel Pulau Pinang. Pencinta alam pula meneroka keindahan Taman Negara Pulau Pinang.

KEDAH

PEKAN Rabu destinasi wajib jika berkunjung ke Alor Star. Terletak di Jalan Tuanku Ibrahim, ia menjual pelbagai barangan daripada pakaian dari Thailand dan cenderamata kraftangan serta kuih tradisional

Ibu negeri Kedah ini turut memiliki warisan bangunan bersejarah seperti Masjid Zahir yang dipercayai antara masjid tertua negara, dibina pada 1912. Seni binanya yang unik diilhamkan daripada Masjid Azizi, dibina di bandar Langkat, utara Sumatera.

Istana Besar yang dibina Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Muazzam Shah pada 1735 pula menjadi lokasi upacara rasmi kerajaan termasuk perkahwinan diraja dan persidangan dewan undangan negeri antara 1905 hingga 1973.

Muzium Diraja Kedah pernah menempatkan istana kayu tempat Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman dibesarkan di istana ini oleh ayahandanya, Sultan Abdul Hamid dan bondanya, Mak Che Manjalara, kini dibuka selepas proses pengubahsuaian.

Terlanjur ke sana, singgah sebentar di Balai Seni Lukis Negeri, bangunan dengan seni bina kolonial menempatkan karya pelukis tempatan. Menariknya, ada sudut khas diwujudkan memaparkan 17 destar, setiap satunya digunakan berdasarkan taraf dan kedudukan dalam masyarakat dulu kala.

Satu lagi destinasi wajib adalah Rumah Kelahiran Mahathir di Jalan Kilang Ais yang menjadi saksi kelahiran negarawan ulung, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Disember 1925. Mantan Perdana Menteri itu tinggal di rumah kayu beratap nipah itu sebelum berkahwin dan berpindah ke Titi Gajah.

>JADUAL PENERBANGAN

Kuala Lumpur – Pulau Pinang
AK 5350 0655 0745
AK 5352 0805 0855
AK 5362 1340 1430
AK 5364 1525 1615
AK 5374 1945 2035
AK 5368 2030 2120

Pulau Pinang – Kuala Lumpur
AK 5351 0815 0905
AK 5353 0920 1010
AK 5363 1455 1545
AK 5365 1640 1730
AK 5375 2100 2150
AK 5369 2155 2550

Kuala Lumpur – Alor Setar
AK 5250 0715 0810
AK 5252 1620 1715

Alor Setar – Kuala Lumpur
AK 5251 0835 0930
AK 5353 1740 1830

Categories: Travel Tags: , ,