AMAT sinonim dengan kisah dongeng zaman silam, Colmar di selatan Strasbourg, ibu negeri Alsace, wilayah di timur Perancis ini mewarisi keindahan seni bina seawal abad ke-16.
Selain La Petite Venise, perkampungan tradisional lain seperti Riquewihr juga dipenuhi batu bundar (cobblestone) di sepanjang laluannya serta kaya dengan seni bina Alsatian.
Perkampungan tradisional Obernai pula dikelilingi tembok batu, menara dan rumah tradisional yang dihiasi dengan pokok bunga di setiap tingkap rumah.
Perkampungan La Petite-Pierre terletak di pedalaman manakala Wissembourg pula adalah perkampungan lama yang hanya menempatkan 70 rumah yang dibina sejak 1700.
Anda tidak perlu terbang jauh untuk ke wilayah bersempadan dengan Jerman ini, sebaliknya pemandangan desa Perancis ini menjelma di Colmar Tropicale di Berjaya Hills, Pahang.
Kurang 45 minit perjalanan dengan van pengantara dari Berjaya Times Square membawa penulis ke pusat peranginan tanah tinggi yang dulu pernah dikenali sebagai Bukit Tinggi Resort.
Walaupun tujuh tahun selepas kunjungan pertama, landskap semula jadinya yang mengelilingi penginapan utama Colmar Tropicale dengan 248 bilik dan suite ini tetap terpelihara.
Menghala ke lobi, pengunjung akan disambut sepasang angsa di kolam kecil di bawah jambatan gantung yang menjadi laluan utama ke desa dengan seni bina kota lama.
Pedati lama persis dongeng klasik Cinderella dan baju perisai besi dalam Kings Arthur, hiasan menyambut kedatangan tetamu ke Colmar Tropicale.
Kolam pancuran air berhampiran dengan blok Camelia pula menjadi tarikan utama setiap malam dengan persembahan akrobatik pasukan China.
Dataran batu bundar sepanjang kota ini turut menjadi medan untuk pelbagai aktiviti termasuk persembahan badut dan pemuzik jalanan pada hujung minggu.
Tetamu boleh menyaksikan kemeriahan aktiviti desa Perancis ini apabila duduk di salah satu pub, kafe dan restoran, setiap satunya menawarkan pilihan menu berlainan.
Jika mahu menikmati hidangan makan malam berkonsepkan ‘fine dining’, anda boleh singgah di La Cigogne, L’Orient untuk selera Asia, La Flamme (pastri dan piza) dan Le Poulet Roti.
Tidak sukar mencari restoran kerana sama seperti blok penginapan yang dinamakan dengan nama bunga, semuanya memiliki papan tanda kayu yang digantung bingkai besi.
Seni bina perkampungan tradisional Alsace ini akan dapat dinikmati sepenuhnya apabila anda mendaki 84 anak tangga di menara tinjau di salah satu bucu di kota ini.
Menurut Pengurus Pemasaran dan Komunikasi Berjaya Hills, Chin Pei Ling, sentuhan desa ini menjadikannya begitu popular di kalangan produksi iklan dan filem antarabangsa.
Katanya, pohon pain yang banyak ditanam di lereng bukit diambil latar dalam iklan cetak pakaian musim sejuk, manakala produksi Bollywood pernah merakamkan babak tarian di sini.
“Terbaru, produksi antarabangsa turut mengadakan penggambaran iklan minuman ringan popular menampilkan penyanyi terkemuka dari Hong Kong,” katanya.
Katanya, persekitaran antarabangsa itu juga menjadi latar menarik untuk mereka yang ingin mengadakan majlis perkahwinan dengan sentuhan Eropah.
TARIKAN
Kunjungan ke Berjaya Hills tidak lengkap tanpa singgah menyaksikan keindahan landskap hijau di Taman Jepun pada ketinggian kira-kira 1,000 meter (m), terletak kurang lima minit perjalanan dengan van pengantara dari Colmar Tropicale.
Melewati pintu gerbang, hati pasti terasa damai apabila melihat ikan koi yang menjadi penghuni anak sungai. Laluan berbatu akan membawa pengunjung ke Rumah Teh Jepun untuk menyaksikan upacara meminum teh atau ke Spa Tatami untuk pengalaman mandian panas Jepun atau ‘onsen.’
Taman Botani akan membawa anda menyusuri denai sepanjang satu kilometer (km) untuk mempelajari pelbagai tumbuhan herba, paku-pakis dan sudut eksperimen bagi menghasilkan epal dan tujuh jenis strawberi.
Selain menikmati landskap ini, tetamu juga boleh singgah ke Taman Arnab untuk bermain dengan lebih 200 arnab dari baka New Zealand White dan Carolina yang dibiar bebas dalam kawasan berjaring.
Taman yang terletak berhampiran dengan Berjaya Hills Golf & Country Club juga menjadi lokasi paling digemari kanak-kanak untuk mencuba menunggang keldai.
Santuari Rusa pula menjadi lokasi untuk melihat rusa tompok putih dan jenis Timor yang berasal dari Belanda dan Sulawesi, Indonesia.
Namun, ia tidak dapat menandingi peluang menunggang kuda di Horse Trails yang dikendalikan oleh Pengurus Ekeustrian, Lorraine Bottreau.
Memiliki kepakaran dalam melatih, menghakimi pelbagai acara ekeustrian antarabangsa, dia kini mengendalikan 25 kuda untuk tujuan rekreasi.
“Ini adalah satu-satunya tempat di rantau ini di mana pengunjung dapat membelai dan menunggang kuda yang dijaga secara profesional,” katanya.
Jika sudah puas bermesra dengan haiwan, anda boleh luangkan masa untuk singgah di Berjaya Hills Golf & Country Club untuk belajar memamah atau bermain bowling bersama rakan.
Info
>Idea pusat peranginan ini dicetuskan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang pernah melawat ke kawasan ini sekitar 1994 dan mahu membawa konsep dunia ke Malaysia.
>Mereka yang mahu mengadakan lawatan harian, tetapi tidak mahu menginap di sini boleh menaiki van pengantara dari Berjaya Times Square ke Berjaya Hills.
>Bayaran untuk melawat Colmar Tropicale dan Taman Teh Jepun adalah RM10 dan RM3 untuk Taman Arnab. Bayaran berasingan dikenakan untuk lawatan ke Berjaya Horse Trails.
>Van ke Berjaya Hills adalah pada 9.30 pagi dan 2.30 petang, manakala dari pusat peranginan itu ke Berjaya Times Square pada 12.30 tengah hari dan 4.30 petang.
>Bayaran RM25 sehala dan RM40 untuk pergi balik. Anda boleh berkunjung terus ke concierge Berjaya Times Square Hotel atau membuat tempahan secara dalam talian.

RUJUKAN PERCUTIAN
Berjaya Hills
KM48 Persimpangan Bertingkat Lebuhraya Karak
Bukit Tinggi, Bentong, Pahang
Tel: 03-21429611
www.berjayahills.com