Archive

Posts Tagged ‘Kuala Pilah’

Homestay Mudin Hasan, Kuala Pilah, Negeri Sembilan

May 29th, 2010 No comments

NAMA Mudin Hasan mungkin kedengaran agak asing pada pendengaran, tetapi amat mesra dengan kehidupan masyarakat kampung di sekitar Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Apa tidaknya, mudin atau tok mudim ini bertanggungjawab menjalankan upacara berkhatan kepada kanak-kanak lelaki sebelum mereka melangkah ke alam remaja.

Justeru, tidak hairanlah apabila penduduk Kampung Terusan di Kuala Pilah memilih untuk mengabadikan namanya pada program homestay mereka.

Pengerusi Penaja Homestay Mudin Hasan, Md Ridzuan Hasan, berkata penduduk mengambil keputusan itu demi mengangkat martabat mudim dalam masyarakat kampung.

“Nama ini boleh dikatakan legenda kerana Mudin Hasan terkenal di serata daerah ini sehingga ada menggelarnya tok mudim istimewa

“Justeru, ia adalah langkah bijak bagi mempromosikan program homestay terbaru di Negeri Sembilan ini,” katanya.

Menurutnya, peserta homestay di kampung itu akan didedahkan dengan kaedah pembuatan gula anau seperti gula Melaka yang digunakan secara meluas dalam kehidupan masyarakat kampung.

“Gula anau yang dihasilkan akan dimasukkan ke kopi dan sebagai bahan dalam kuih tradisional,” katanya.

Selain itu, katanya, peserta akan dihidangkan dengan sajian masak lemak cili api, daging salai, telur itik selain masakan unik Halua Belulok.

“Kami turut mengajak peserta bersama penduduk bergotong-royong menyediakan rendang dan lemang,” katanya.

Ridzuan berkata, pihaknya juga mengaturkan aktiviti lasak seperti berakit menyusuri sungai bermula di Masjid Kampung Terusan sehingga ke sempadan Kampung Lalang.

“Inilah peluang warga kota menikmati alam semula jadi dan keseronokan di kampung,” katanya.

Info

>Mereka yang tidak pernah mengenal pokok getah perlu merebut peluang ini bagi menyaksikan sumber pendapatan utama penduduk kampung ini. Tambahan pula, banyak ladang getah sudah dibersihkan untuk digantikan dengan tanaman kelapa sawit.

>Aktiviti lain seperti makan malam barbeku dan acara karaoke boleh diaturkan sebagai penamat kepada program homestay. Sambil berhibur, mereka juga akan dihidangkan dengan kuih tradisional selain lemang dan rendang yang dimasak secara bergotong-royong.

>Jika mengunjungi sawah padi, luangkan masa untuk mengail ikan puyu atau ikan sawah lain bersama keluarga angkat. Cuba juga permainan tradisional yang disediakan.

RUJUKAN PERCUTIAN
Homestay Mudin Hasan
Tel: 03-87363517/019-2275492/019-2273160

Taman Reakrasi Ulu Bendul (TRUB), Kuala Pilah, Negeri Sembilan

December 26th, 2009 5 comments

PERJALANAN sukar disebabkan jalan raya bengkang-bengkok yang terpaksa ditempuh penulis berbaloi apabila tiba ke Taman Reakrasi Ulu Bendul (TRUB), dekat Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Terletak kira-kira 25 kilometer dari Seremban atau lima kilometer dari pekan Kuala Pilah, TRUB menawarkan destinasi percutian keluarga dikelilingi kehijauan hutan lipur.

Kebanyakan pengunjung adalah penduduk tempatan sekitar Seremban atau kampung berhampiran, tetapi ada juga sanggup memandu dari ibu kota ke destinasi ini.

Kebanyakan tertarik dengan keluasan kolam mandi buatan yang boleh memuatkan 100 pengunjung. Ia menarik perhatian pengunjung terutama mereka yang pertama kali datang ke sini.

Ada yang datang bersama ahli keluarga berendam seharian. kerana ia seperti menyediakan kolam mandi percuma kepada pelancong.

Selain itu, kolam mandi yang lebih selamat untuk kanak-kanak disediakan berhampiran kolam utama sesuai untuk golongan cilik.

Pembinaan kolam berasingan ini memudahkan ibu bapa memantau dan mengawasi anak mereka.

Bagi yang mahu mandi-manda di kawasan air terjun dan sungai berbatu, mereka hanya perlu berjalan kira-kira 100 meter dari kawasan kolam mandi itu.

Di sini orang ramai boleh mandi dengan selamat sambil melihat pemandangan hutan lipur yang semula jadi.

Jika mahu mandi di jeram yang lebih dalam, mereka boleh menyusuri sungai itu, tetapi harus berhati-hati ketika melalui kawasan berbatu kerana ia agak licin dan manakala paras airnya lebih dalam.

TRUB juga menyediakan lokasi perkhemahan sesuai untuk individu atau mereka yang datang secara berkumpulan. Pelbagai aktiviti boleh dilakukan mereka antaranya mendaki bukit, meredah hutan, memancing dan menikmati keindahan flora dan fauna.

Selepas puas melakukan pelbagai aktiviti, pengunjung boleh membeli pelbagai barangan di gerai di parkir taman rekreasi itu.

Jika mahu makan, mereka boleh menikmati pelbagai juadah di gerai makan berhampiran pintu masuk taman.

Seorang pengunjung, Julia Abdullah, 25, berkata dia yang datang dari Seremban menganggap TRUB sebuah taman rekreasi yang indah dan sesuai untuk semua.