Kota Batam
TIADA kesesakan! Itulah gambaran awal dapat dikongsi mengenai kota Batam. Suasana kotanya jauh berbeza dengan Bandung atau Medan, malah kenderaan yang menyusuri jalan dipandu penuh tertib.
Keadaan ini memberikan kelebihan kepada pelancong yang gemar kepada ketenangan dan ingin mencari kedamaian. Bagaimanapun, tidak bermakna aktiviti harian warga kotanya malap, bahkan urus niaga di gedung dan pasar raya sentiasa sibuk.
Penulis yang pertama kali berkesempatan menjejakkan kaki ke pulau itu dalam satu rombongan media bersama penerbangan Firefly tidak melepaskan peluang meninjau persekitaran di beberapa gedung dan pasar raya.
Sebuah gedung pakaian jenama Polo Ralph Lauren, terletak sebaris deretan kedai yang lain di pinggir kota, pelanggan bersesak-sesak, meninjau dan memilih pakaian sebelum dibawa ke kaunter pembayaran.
Kebanyakan mereka adalah pelancong. Sesetengahnya dilihat membeli dengan Rupiah Indonesia, manakala yang lain khususnya pelancong antarabangsa lebih senang menghulurkan mata wang Singapura.
Rupanya di pulau itu, mata wang negara jiran terdekat itu sangat berpengaruh. Bukan saja urusan membeli-belah di gedung, malah di sesetengah hotel lebih senang berurusan dengan mata wang terbabit.
Kota Batam adalah satu kota di wilayah Kepulauan Riau berdekatan Singapura (20 kilometer) dan Johor (25 kilometer).
Dari Singapura dan Johor, ia boleh dikunjungi melalui feri, manakala dari Kuala Lumpur kini dengan pesawat Firefly.
Batam adalah kawasan zon perdagangan besar. Pembangunannya giat dijalankan. Ketika mula dibangun pada 1970-an, kota ini hanya dihuni kira-kira 6,000 penduduk, namun hingga Disember 2008 penduduknya berjumlah lebih 900,000 orang.
Mengikut sejarah, penduduk awal pulau ini ialah orang Melayu dengan sebutan orang Selat sejak 231 Masihi. Ia pernah menjadi medan perjuangan Laksamana Hang Nadim dalam melawan penjajah.
Batam yang masih terpelihara khazanah semula jadinya memiliki keluasan 715 kilometer persegi, kira-kira 115 peratus daripada Singapura, dengan iklim tropika, pada suhu 26 hingga 34 darjah celsius.
Penulis juga berkesempatan meninjau keindahan panoramanya di sekitar pulau terbabit. Dari jambatan Barelang Tengku Fisabilillah, pemandangannya sungguh mendamaikan dengan pulau kecil dikelilingi ombak laut.
Teringat penulis kepada imbauan sejarah suatu ketika dulu, mengaitkan aktiviti lanun dan kepulauan Riau – rupa bumi dan perairan yang strategik bagi aktiviti di lautan.
Sesuai dengan bentuk geografinya itu, pulau terbabit juga kaya dengan hasil laut . Bagi pelancong yang menggemari kerang, udang dan ketam, mungkin Batam adalah destinasi yang tidak akan mengecewakan.
Kotanya yang sedang berkembang semakin menjadi tumpuan pelancong, malah turut menjadi destinasi pilihan kepada sesetengah penduduk dari pelbagai ceruk Indonesia mencari rezeki.
Pelbagai suku dan kaum mendiami pulau itu. Paling dominan ialah Melayu, Minang, Batak, Makassar, Jawa, Flores dan Tionghoa, dengan Islam adalah agama majoriti penduduk.