Archive

Posts Tagged ‘Kelantan’

Hotel Grand Riverview, Kota Bharu, Kelantan

September 4th, 2010 27 comments

MENJELANG senja, ruang lobi Hotel Grand Riverview, Kota Bharu berhampiran Rivera Cafe bertukar warna keemasan apabila disimbah cahaya matahari terbenam.

Suasana itu membuatkan tetamu hotel di tebing Sungai Kelantan tidak jemu menyaksikan pemandangan indah sepanjang menginap di situ.

Adakalanya sungai lebar dengan arus air berwarna keruh itu digegarkan dengan aksi pemain jet ski yang gemar memberikan persembahan percuma pada petang hari.

Ini memberi landskap menarik kepada negeri yang terkenal dengan adat warisan seperti songket tenun, batik dan wau bulan ini.

Pengurus Besarnya, Patrick Cheng, berkata mereka yang pertama kali menjejakkan kaki pasti terpesona cara hidup warga negeri Cik Siti Wan Kembang yang relaks, tanpa terkejar-kejar seperti di kota besar.

“Inilah kelebihan apabila berkunjung ke negeri di pantai timur,” katanya.

Dengan hanya berjalan kaki di tebing sungai, pengunjung dapat kesan kubu konkrit yang digunakan askar British sewaktu Perang Dunia II.

Di Padang Merdeka, memorial khas dibina bagi memperingati pejuang negara yang gugur ketika Perang Dunia I.

Kawasan ini terletak berdekatan dengan Balai Getam Puri dan Istana Balai Besar.

Pengunjung hanya perlu berjalan kaki untuk ke Masjid Al-Muhammadi, masjid negeri yang pernah melahirkan banyak tokoh agama utama di rantau Nusantara.

Pasar Siti Khadijah dan Bazar Buluh Kubu terletak dalam kawasan sama, popular untuk membeli-belah.

Cheng berkata, lebih 90 peratus tetamunya warga tempatan. Justeru, pengurusan mengekalkan nama tempatan sebagai satu mengangkat martabat seni warisan di negeri itu.

Ini dapat dilihat menerusi nama seperti Putri Sa’adong, Sekebun Bunga, Wau, Selampit dan Rebana pada dewan utama dan bilik mesyuarat.

Grand Riverview mengadakan bufet buka puasa pada harga RM52 (dewasa) dan RM23 (kanak-kanak).

Kuliah hariki diadakan 45 minit sebelum waktu berbuka puasa setiap hari.

INFO
Hotel Grand Riverview
Jalan Post Office Lama
Kota Bharu, Kelantan
www.grh.com.my
Tel: 09-7439988

Terengganu & Kota Bharu, Kelantan

August 7th, 2010 35 comments

TERENGGANU

PENYU, batik dan pulau amat sinonim dengan Terengganu.

Rantau Abang yang pernah menjadi lokasi melihat pendaratan penyu utama negara kini tenggelam dengan populariti Pulau Redang dan Pulau Perhentian. Pulau Lang Tengah, Pulau Bidong dan Pulau Kapas turut menjadi tumpuan penggemar pantai dan selam skuba.

Namun, Pantai Penarik di Setiu, Pantai Marang dan Kemasik masih menjanjikan pemandangan indah deretan pohon kelapa dan perkampungan nelayan.

Tanjung Jara pula menawarkan penginapan hotel butik manakala Batu Burok untuk riadah warga tempatan.

Kuala Terengganu menjadi tumpuan mendapatkan batik, sutera, songket, broked, barangan loyang selain merasai keenakan keropok lekor dan nasi dagang.

Ia terletak berhampiran Dataran Syahbandar dan lokasi bersejarah seperti Istana Maziah dan Bukit Puteri.

Mereka yang gemar keropok di sekitar Losong akan singgah selepas lawatan ke Kompleks Muzium Negeri Terengganu. Tarikan muzium ini terletak pada seni bina, koleksi di 10 galeri dan koleksi lima rumah tradisional yang dipulihara.

Pulau Duyung, bukan saja popular sebagai lokasi sukan layar Piala Monsun tetapi warisan pembuatan bot tradisional dan produk makanan lautnya.

Taman Tamadun Islam pula menjanjikan pengalaman melancong ke seluruh monumen indah di serata dunia.

Jika ke Chendering untuk menyaksikan pembuatan kraftangan, jangan lupa singgah ke Masjid Tengku Tengah Zaharah.

Negeri ini juga memiliki air terjun tujuh tingkat di Hutan Rekreasi Sekayu, tasik buatan terbesar, Tasik Kenyir dan kolam air panas LA di Besut.

KOTA BHARU

Mudah meneroka tarikan pelancongan di tengah kota ini memandangkan kebanyakannya terletak di zon utama berhampiran Jalan Hilir Kota dan Jalan Sultan. Hanya pandu masuk apabila melihat pintu gerbang Sultan Ismail Petra berhampiran Padang Merdeka atau Masjid Al-Muhammadi.

Istana Batu pernah menjadi kediaman keluarga diraja sehingga 1961 manakala Istana Jahar memaparkan keindahan seni warisan tradisional Melayu. Istana Balai Besar tidak dibuka kepada umum terletak berhampiran Bank Pitis atau perbendaharaan Kelantan, satu ketika dulu.

Sejarah pendudukan Jepun ketika Perang Dunia Kedua dapat dihayati di Bank Kerapu manakala Balai Getam Puri pula mempamerkan pelbagai kraftangan tradisional seperti batik, songket dan barangan perak. Muzium Islam memaparkan perkembangan Islam di rantau Nusantara.

Jika mahu melihat persembahan wayang kulit, dikir barat, gasing dan rebana ubi, singgah di Gelanggang Seni di Jalan Mahmud atau Muzium Negeri yang menempatkan balai Seni Negeri di Jalan Hospital.

Kunjungan ke sini tidak lengkap tanpa memborong pelbagai fabrik, kraftangan, perhiasan atau pinggan mangkuk di Pasar Siti Khadijah, Bazar Buluh Kubu, pasar Wakaf Che Yeh atau membeli-belah di sempadan negara di Pengkalan Kubor.

Singgah sebentar di Pantai Cahaya Bulan yang menjadi tumpuan warga tempatan dan hujung minggu atau Pantai Sabak untuk menyaksikan aktiviti di perkampungan nelayan. Pantai Melawi dan Pantai Irama di Bachok selain Pantai Tok Bali di Pasir Puteh, juga menjanjikan ketenangan.

Categories: Travel Tags: , , ,

Gua Cha, Kelantan

November 28th, 2009 No comments

PEDALAMAN Kelantan yang dulunya suci daripada pembangunan kini mula diberi perhatian sebagai antara lokasi ekopelancongan utama negeri pantai timur itu.

Aktiviti paling popular adalah ekspedisi menyusuri Sungai Nenggeri dari Kuala Betis hingga kepada Kampung Star yang memakan jarak kira-kira 50 kilometer (km).

Aktiviti berakit selama dua hari ini diadakan secara dua peringkat bermula dari Gua Cha dan bermalam di penempatan Orang Asli Pos Pulat.

Peringkat kedua dari Pos Pulat ke Kampung Star dengan jarak kira-kira 40 km. Ekspedisi akan membawa peserta melewati 10 jeram yang mencabar kecekalan minda.

Mereka yang mahu mencuba aktiviti lasak ini boleh memulakan perjalanan dari Bandar Gua Musang ke Kampung Kuala Betis sebelum berakit di Gua Cha.

Tiba di Gua Cha berhampiran Kuala Betis, anda dapat melihat tapak arkeologi paling penting di Semenanjung Malaysia.

Namanya mungkin kurang dikenali, tetapi di kalangan pengkaji sejarah, gua itu cukup penting kerana penemuan pelbagai barangan dan rangka manusia dipercayai berusia kira-kira 1,000 tahun.

Di Gua Cha, ada dua lagi gua dikenali sebagai Gua Batu Kukup dan Batu Lindungan serta mempunyai kesan lubang yang digali pengkaji selepas penemuan pelbagai jenis tembikar purba.

Ada lebih 30 kesan peninggalan manusia zaman Hoabinhian dan Neolitik di gua berkenaan di samping penemuan tembikar purba pelbagai bentuk dan hiasan menarik.

Kini, kesan lubang besar yang menjadi tempat penemuan rangka mayat manusia purba masih dapat disaksikan di kawasan sekitar gua.

Pengunjung dapat melihat pelbagai spesies tumbuhan herba liar yang digunakan meluas dalam perubatan.

Ini termasuk orkid hutan, Tongkat Ali dan Kacip Fatimah. Jika bernasib baik, anda dapat melihat kesan tapak kaki dan laluan haiwan liar seperti gajah dan kesan harimau serta rusa.

Ekspedisi seterusnya melewati Jeram Batang, Jeram Manik, Jeram Gading, Jeram Mehmud dan Jeram Segalong sehingga Kampung Star.

Sepanjang perjalanan, peserta didedahkan dengan landskap kehijauan alam semula jadi sambil ditemani kicauan unggas dan sesekali bunyi hidupan liar.

Anda juga boleh singgah di perkampungan Orang Asli Pulat, untuk mengetahui cara hidup mereka.

Masyarakat yang mendiami penempatan ini terdiri daripada suku kaum Temiar dengan populasi 180 orang.

Ketika bermalam di Pos Pulat, pengunjung akan dihiburkan dengan persembahan kebudayaan Orang Asli daripada suku Sewang. Ia pasti kenangan yang sukar dilupakan.

TARIKAN MENARIK DI GUA MUSANG

# Taman Etnobotani membolehkan pengunjung berkenalan dengan pelbagai spesies tumbuhan herba dan ratusan jenis rempah yang biasanya hanya boleh dilihat di kedai.
# Daerah ini juga menjadi pintu masuk ke Taman Negara melalui Kuala Koh. Pengunjung boleh memilih untuk bermalam, melawat perkampungan Orang Asli dekat taman ini.

Categories: Travel Tags: , ,