Archive

Posts Tagged ‘Kampung Rhu Tapai’

Merang Suria Resort, Kampung Rhu Tapai, Setiu, Terengganu

November 14th, 2009 No comments

SESEKALI lari daripada kesibukan hutan batu, kebingitan enjin kenderaan dan riuh-rendah manusia memang menyeronokkan. Inilah peluang menikmati persekitaran tenang dan menghirup udara segar.

Jika itu yang anda cari, Merang Suria Resort di Kampung Rhu Tapai, Setiu, Terengganu adalah jawapannya.

Resort yang diuruskan Suria Resorts Management Sdn Bhd adalah milik 100 peratus Bumiputera. Syarikat itu turut memiliki resort di Johor Bahru, Cherating dan London.

Sekalipun, lokasinya agak tersorok, itulah keistimewaan kawasan ini yang jarang diperolehi di tempat lain.

Jika bangun awal pagi, anda dapat merasakan betapa sejuk dan segar udara di persekitaran dengan kabus seperti awan tebal meliputi kawasan dikelilingi hutan hijau itu. Hiruplah udara sepuas hati sambil menikmati dendangan unggas dan kicauan burung.

Pengurus Kanannya, Muhammad Fuad Foo Abdullah, berkata kawasan itu anugerah Ilahi kepada manusia terutama mereka yang cintakan alam semula jadi, keindahan, suasana sunyi dan mendamaikan.

Beliau berkata, sejak dibuka pada 2005, pihaknya menerima banyak tempahan terutama mereka yang mahu menikmati suasana indah dikelilingi alam semula jadi.

“Bagi mereka inilah nikmat yang jarang dirasakan dan peluang yang sedikit itu perlu digunakan sepenuhnya.

“Ada juga yang menginap di resort ini sebelum ke Redang untuk menikmati panorama laut dan pasir pantai,” katanya.

Di musim cuti sekolah, sebanyak 70 bilik di resort itu habis ditempah pelanggan tempatan termasuk dari Singapura.

Ketika menginap di resort itu, anda boleh melakukan aktiviti meneroka hutan, flying fox, berkayak dan berakit di Mengabang yang menyediakan kawasan lagun untuk air masin dan payau.

“Selain kolam mandi dan pantai, kami menyediakan pakej lawatan ke Redang, Pulau Perhentian dan Bidong untuk aktiviti snorkling serta menyelam.

“Pakej sehari itu berharga RM160 termasuk pengangkutan bot dan makan tengah hari.

“Jika berminat, anda juga boleh memancing bersama nelayan tempatan,” katanya

Pihaknya turut menyediakan pakej lawatan ke Tasik Kenyir selain mengunjungi Gua Bewah, air terjun Lasir dan Taman Herba.

Bagi Ketua Unit Jualannya, Zaharah Abd Rahman, jika mempunyai masa lapang, pengunjung boleh menjelajah perkampungan berhampiran untuk mencuba hidangan istimewa penduduk tempatan.

Antara makanannya ialah ikan dan sotong celup tepung yang boleh didapati di sepanjang jalan ke Merang. Cuba sekali dan anda pasti teringin datang lagi.

Selepas penat meninjau di kawasan perkampungan, singgah sebentar di gerai menjual keropok lekor di Mengabang. Hidangan keropok lekor dengan cendol cukup menyelerakan.

Ada juga gerai menjual keropok lekor, keropok kering dan makanan laut di sepanjang jalan di antara Merang dan Mengabang.

Info

# Maklumat lanjut mengenai Suria Merang Resort, Setiu, Terengganu, hubungi 09-6531600 atau laman web: www.suriaresorts.com

Bagaimana ke sini:

Dari bandar Kuala Terengganu, ikut ke Jalan Lapangan Terbang Sultan Mahmud. Anda terus menghala ke Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Darul Iman Malaysia (UDM). Kemudian, ambil jalan Batu Rakit dan anda akan dapat melihat papan tanda Merang. Kawasan ini berhampiran Terengganu International Endurance Park (TIEP). Jarak dari bandar Kuala Terengganu ke Merang ialah 47 kilometer.