Archive

Posts Tagged ‘Indonesia’

Bali, Indonesia

March 27th, 2010 1 comment

DENGAN latar belakang keindahan semula jadi dan budaya tempatan yang unik, Bali menjadi antara destinasi pulau peranginan paling popular di rantau ini.

Percutian ke pulau 1,000 pura ini tidak lengkap jika tidak singgah ke Tanah Lot untuk melihat pemandangan indah matahari terbenam menjelang senja.

Sambil menikmati udara segar, pengunjung boleh membeli pelbagai cenderamata etnik.

Ketika air surut, pelancong boleh berjalan kaki untuk ke pulau batu hitam yang sering kali diabadikan dalam risalah pelancongan pulau peranginan itu.

Pulau itu turut menyimpan satu lagi tarikan iaitu telaga air tawar yang menjadi tumpuan pelawat yang menyimpan hajat untuk bernazar.

Selain Tanah Lot, satu lagi destinasi mesti lawat di Bali adalah Pura Uluwatu di pinggir Cenuran Uluwatu, kira-kira dua jam perjalanan dari Kuta.

Pemandangan indah di jurang tinggi ini menjadi latar persembahan tarian kecak, satu lagi identiti masyarakat pulau ini.

Amat mengasyikkan apabila melihat tarian tradisional Bali ini dipersembahkan pada lewat petang dengan berlatarbelakangkan langit jingga dan kemerah-merahan.

Uluwatu juga tumpuan peluncur air antarabangsa. Namun, hati-hati dengan kehadiran monyet nakal yang menghuni kawasan pura.

Perjalanan melewati jalan berliku dan mendaki membawa ke perkampungan tanah tinggi Bedugul untuk ke Candi Kuning dan Tasik Beratan di Baturiti. Ia menjanjikan pengalaman menarik apabila berpeluang melihat sawah padi di lereng bukit, ladang sayur dan rumah tradisional.

Kintamani dengan suasana sejuk serta pemandangan indah, gunung dan Tasik Batur juga menggamit pelancong. Ubud ibarat perkampungan seni dan perlu disinggahi terutama jika anda ingin menghayati ukiran dan lukisan daripada seniman negara itu.

Setiap tarikan menarik di sekitar pulau ini menjadi perhatian penjaja yang memanfaatkan kebanjiran pelancong. Justeru, anda boleh mendapatkan pelbagai barangan perhiasan rumah, pakaian, aksesori dan keperluan lain pada harga rendah.

Jika masih tidak cukup, anda boleh berkunjung ke Pasar Kumbasari untuk mendapatkan barangan pada harga borong.

Anda boleh ke pasar seni di Sukawati, khususnya untuk membeli lukisan. Paling penting, ringankan mulut menawar barangan yang ada kalanya dijual lebih separuh harga asal.

Kebanyakan pelancong lebih menggemari Kuta yang popular sebagai lokasi luncur air terutama warga Australia. Justeru, tidak hairanlah Jalan Kuta dan Legian menjalur ke Seminyak akan berpesta selepas senja apabila pusat hiburan, pub, restoran dan kafe beroperasi sehingga awal pagi.

Namun, jika anda mahukan percutian tenang tanpa gangguan, pantai lain seperti Nusa Dua juga boleh dilawati selain tarikan pelancongan lain seperti Pantai Sanur, Sukowati, Celuk, Batubulan, Mengwi dan Tampaksiring.

Info
>Pulau Bali yang dikenali sebagai pulau 1,000 pura dan dewa. Pulau memiliki 3.1 juta penduduk dengan 85 peratus beragama Hindu ini merayakan pelbagai sambutan mengikut kepercayaan mereka.
>Monumen khas yang dibina di Jalan Ligian, Denpasar sebagai mengingati peristiwa pengeboman yang menyebabkan 202 nyawa terkorban pada 12 Oktober 2002 kini menjadi antara tarikan pelancongan.
>Jangan risau untuk mendapatkan makanan halal. Ada banyak restoran yang diusahakan orang Minang menyediakan makanan untuk pengunjung Islam.

JADUAL PENERBANGAN KUALA LUMPUR – BALI

Pesawat Berlepas Tiba
AK900 1055 – 1355
QZ 8391 1145 – 1445
AK364 1550 – 1850
AK904 1715 – 2010
QZ8395 1900 – 2200

JADUAL PENERBANGAN BALI – KUALA LUMPUR

Pesawat Berlepas Tiba
QZ 8390 0600 – 0900
AK901 1425 – 1730
QZ 8394 1535 – 1835
AK365 1915 – 2215
AK905 2035 – 2330

Categories: Travel Tags: , ,

Surabaya, Indonesia

February 13th, 2010 2 comments

SEJARAH Surabaya sarat dengan kisah perwira tempatan dalam memerdekakan Indonesia daripada penjajahan Belanda sekitar 1945.

Tidak hairanlah, bandar yang memiliki tiga juta penduduk ini mendapat jolokan Kota Pahlawan.

Ramai yang sekadar menjadikan kota ini sebagai persinggahan sewaktu dalam perjalanan ke Bali dan Gunung Bromo, namun bandar di timur Jawa ini memiliki banyak tarikan.

Zoo Surabaya atau Kebun Binatang Surabaya menjadi tarikan utama dengan koleksi lebih 1,000 fauna meliputi 351 spesies.

Terletak kira-kira tiga kilometer (km) dari pusat bandar, ia memiliki koleksi orang utan paling banyak di dunia.

Ciputra Waterpark di kompleks CitraLand menjanjikan keriangan berterusan dengan taman tema yang meminjam inspirasi pengembaraan Sinbad dengan kisah 1001 malamnya.

Dibuka hingga 8 malam, taman tema air terbesar di Indonesia ini beroperasi dengan teknologi termoden.

Di taman ini, dram gergasi akan mengalirkan 3,000 liter air sambil ombak tiruan di Syracuse Beach membuatkan seolah-olah anda berada di pantai semula jadi.

Pengunjung juga diajak menyusuri sungai buatan, Sirens River sepanjang 480 meter (m) atau menguji keberanian pada ketinggian 15 m di Roc Tower.

Mereka yang mahu melihat kesan penjajahan boleh singgah di House of Sampoerna, kompleks bangunan menempatkan muzium, galeri seni, restoran dan kedai cenderamata di bangunan asal dibina Belanda pada 1862.

Pertembungan budaya juga boleh dilihat jelas pada seni bina China pada Masjid Cheng Ho, suasana bazar malam di Kembang Jepun di Chinatown atau melihat pelbagai permaidani dan barangan antik di Pasar Ampel.

Di luar kota, Taman Safari Indonesia 11 menjanjikan pengalaman menyaksikan hidupan liar dalam habitat semula jadi.

Berbanding dengan konsep zoo biasa, taman safari di kaki bukit Prigen, kira-kira sejam perjalanan dari Surabaya, ia turut menempatkan spesies harimau Jawa.

Pengunjung mempunyai pilihan sama ada bersiar-siar menggunakan kenderaan sendiri atau bas persiaran.

Golongan kecil pasti teruja bermesra dengan haiwan comel dan menyaksikan pertunjukan binatang. Selepas mencuba pelbagai permainan mekanikal, akhiri kunjungan anda dengan menikmati hidangan enak di medan selera.

Wisata Lamongan yang memakan kira-kira sejam perjalanan menawarkan suasana berbeza dengan tarikan taman tema di pantai peranginan.

Anda dijamin tidak jemu dengan pelbagai permainan termasuk Jet Coaster, Tagada, Jumping Frog, Go Kart, Space Shuttle dan Bumper Boat.

Jika belum puas, kunjungi Rumah Sakit Hantu, Rumah Kucing, Planet Kaca dan Dunia Air.

Pengunjung juga perlu mencuba pawagam tiga dimensi dan singgah di Anjungan Wali Songo yang mengimbau kembali sejarah perkembangan Islam di tanah Jawa.

Pemanduan ke luar kota membawa anda ke Malang, bandar kedua terbesar di Jawa Timur, yang terkenal dengan cuaca sejuk pergunungan.

Paris van East Java ini pernah menjadi tumpuan warga Eropah yang mahu lari daripada cuaca panas.

Peninggalan kuasa asing juga dapat dilihat di bandar di banjaran bukit ini menerusi seni bina hotel, vila dan persiaran yang dipelihara sehingga sekarang. Warisan kolonial ini kini dipulihara sebagai tarikan pelancongan.

TARIKAN LAIN

# Bandar ini memiliki banyak tugu bagi memperingati peristiwa bersejarah yang pernah berlaku di Surabaya. Tugu Pahlawan umpamanya dibina bagi mengenang jasa pejuang yang gugur ketika mempertahankan tanah air daripada penjajahan antara 1945 dan 1949.
# Manakala, Monumen Jalasveva Jayamahe yang dibina berhampiran pantai merakamkan penghargaan kepada tentera laut Indonesia. Monumen Kapal Selam berhampiran sungai dekat Delta Plaza pula adalah kapal selam sebenar buatan Soviet bernama Pasopati.
# Masjid Al Akbar Surabaya, antara masjid terbesar di Asia Tenggara, turut mencatatkan keunikan apabila menaranya dilengkapi dengan lif. Daripada atas menara ini iaitu pada ketinggian 65m , pengunjung akan dapat menyaksikan pemandangan sebahagian besar bandar ini.

JADUAL PENERBANGAN

KUL-SUB (Setiap hari)
AK 912/1025-1155
QZ 7614/1240-1420
AK 916/1620-1800
QZ 7616/1900-2040

SUB – KUL (Setiap hari)
QZ 7613/0835-1210
AK913/1225-1555
QZ 7615/1500-1835
AK 917/1830-2205

Categories: Travel Tags: , ,

Jakarta, Indonesia

January 16th, 2010 No comments

JAKARTA, kota ke-11 terbesar di dunia mempunyai 12 juta penduduk. Ia menjadi cita-cita setiap penduduk Indonesia untuk datang ke kota impian itu.

Di Jakarta, anda boleh melihat pelbagai ragam manusia yang kadangkala tidak pernah terfikir di fikiran.

Bayangkan, di celah bangunan pencakar langit, peneroka bandar membina rumah daripada cebisan kotak atau berkampung di bawah jejambat.

Namun, itulah warna warni Jakarta yang mungkin tidak ada di tempat lain.

Jakarta asalnya dikenali sebagai Sunda Kalapa (397-1527), Jayakarta (1527-1619), Batavia (1619-1942) dan Djakarta (1942-1972).

Zaman penjajahan Belanda menyaksikan nama Batavia digunakan, sebelum Jakarta kembali digunakan selepas pendudukan Jepun pada Perang Dunia Kedua.

Peninggalan Belanda ini jelas dilihat pada reka bentuk bangunan di sekitar Kota dan Sunda Kalapa.

Muzium Sejarah Jakarta yang asalnya Stadhuys atau Town Hall of Batavia, kini mempamerkan potret gabenor terdahulu dan perabot antik pada zaman kegemilangan Belanda.

Muzium Wayang yang asalnya bangunan gereja pula mengabadikan payung wayang kulit, hasil kerja tangan karyawan Indonesia.

Muzium Senirupa dan Keramik yang pernah menjadi mahkamah Belanda pula mempamerkan koleksi

ukiran seramik oleh seniman negara itu.

Jakarta kaya dengan bangunan bersejarah. Deretan gudang lama bertaburan di kawasan Kota, manakala vila milik keluarga kaya Belanda banyak di Menteng.

Jika mahu membeli-belah, Tanah Abang menyediakan seribu satu macam barangan daripada telekung, fabrik kepada batik Indonesia.

Mangga Dua pula popular dengan barangan berjenama tiruan, tetapi kedua-duanya menawarkan pelbagai fesyen dan bentuk pada harga borong.

Untuk yang berpoket tebal, anda boleh berkunjung ke Grand Indonesia atau Pacific Place untuk mencari barangan berjenama atau ke Alun Alun Indonesia, jika mahu membelek cenderahati bermutu tinggi.

Jakarta, walau tampak hebat dengan menara pencakar langit masih dibayangi pembangunannya yang tidak seimbang.

Meskipun begitu, ia tidak mengikis rasa hormat warganya kepada seni dan budaya tradisi yang menjadi nadi kehidupan kota di antara pulau paling padat dunia itu.

Tempat menarik di Jakarta

# Taman Impiana Ancol menjadi pusat rekreasi keluarga dan pengunjung boleh mencuba pelbagai jenis permainan di Dunia Fantasi, taman air di Atlantis Water Adventure dan menyaksikan persembahan hidupan marin di Seaworld.
# Taman Mini Indonesia Indah mempamerkan kediaman masyarakat di 30 wilayah negara itu yang mempunyai lebih 250 budaya.
# Kepulauan Seribu adalah gugusan 330 pulau kecil yang bertaburan di Laut Jawa ini terletak dekat dengan utara Jakarta.
# Zoo Ragunan di selatan Pasar Minggu, menempatkan lebih 3,600 spesies hidupan liar termasuk cicak besar Komodo.
# Situ Babakan Village adalah perkampungan budaya dan anda boleh melihat cara hidup masyarakat Betawi, antara penduduk terawal di Jakarta.

JADUAL PENERBANGAN

AirAsia mengadakan tujuh penerbangan harian ke Jakarta. Maklumat lanjut, layari www.airasia.com.
Anda juga boleh menempah pakej percutian atau hotel di: http://goholiday.airasia.com.

Categories: Travel Tags: , ,