BAGAI menyaksikan fenomena baru apabila dua filem genre komedi seram, Ngangkung arahan Ismail ‘Bob’ Hashim dan Hantu Kak Limah Balik Rumah arahan Mamat Khalid mendapat sambutan hangat masyarakat dan mencapai kutipan pecah panggung biarpun ditayangkan pada tarikh berdekatan.
Ngangkung mencatat kutipan RM7.24 juta sejak ditayangkan 25 November lalu sementara Hantu Kak Limah Balik Rumah (HKLBR) mencapai angka RM4.2 juta sejak ditayangkan 9 Disember dan masih mendapat sambutan hangat penonton.
Ada yang menonton lebih daripada sekali kerana tidak puas sekali gus menyebabkan Mamat boleh tersenyum lebar dengan kejayaan diraih selepas kontroversi Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23) dan kutipan filem Estet yang agak rendah sebelumnya.
Apabila menyentuh filem komedi, nama Profesor Madya A Razak Mohaideen tidak boleh dipinggirkan. Kejayaan filem arahannya seperti Anak Mami The Movie, Mami Jarum, Bujang Senang dan banyak lagi menjadi penanda aras kehebatan pengarah ini.
Kini pengarah prolifik ini bakal tampil dengan karya terbaru, Ratu, Raya Tak Jadi dan Bujang Terlajak pada tahun depan yang diterbitkan LineClear Motion Pictures Sdn Bhd.
Biarpun ada pihak mengatakan konsep komedi serta barisan pelakon yang ditampilkan dalam filemnya sudah tidak relevan dengan keadaan kini, Razak tidak melatah. Baginya, semua orang mempunyai pendapat sendiri.
Malah, Razak bangga kerana kutipan setiap filemnya tidak pernah mengecewakan.
Semangatnya menghasilkan filem baru tidak pernah pudar biar pun dari segi pengiktirafan, pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini belum berpeluang menggenggam trofi Pengarah Terbaik di FFM.
Ikuti perbualan wartawan Harian Metro, Ridzuan Abdul Rahman (mohamadridzuan@hmetro.com.my) bersama Razak.
RAP: Apa komen anda mengenai kejayaan Ngangkung dan HKLBR yang mendapat sambutan sekarang ini?
RAZAK: Saya gembira dengan perkembangan yang berlaku. Jika mengikut kajian dijalankan pun, tiga genre filem iaitu komedi, aksi dan seram mempunyai kelompok penonton tersendiri dan akan mendapat sambutan setiap kali ditayangkan. Saya tak terkejut sangat kerana sekarang kita menyaksikan kemunculan banyak pawagam di merata tempat, sekali gus memberi peluang kepada penonton menyaksikan filem kegemaran mereka.
Kalau dulu hanya ada sekitar 40 hingga 50 pawagam di seluruh negara, sekarang bilangannya bertambah menjadi 70 panggung. Itu secara tak langsung membuka peluang kepada pengarah untuk menayangkan filem mereka secara lebih meluas. Penonton tak perlu pergi jauh untuk menonton filem terbaru khasnya genre filem yang diminati.
RAP: Kalau tengok ‘trend’ kedua-dua filem ini berkonsep komedi seram. Apa komen anda?
RAZAK: Seperti saya kata tadi, peminat suka filem genre seram, komedi dan aksi. Jadi apabila ketiga-tiga elemen ini diadunkan dalam sebuah filem, tentunya ia akan menarik hati peminat untuk menonton. Ada filem saya yang dihasilkan pernah mengadunkan formula ini. Tujuan berbuat begini ialah untuk tarik seberapa ramai penonton. Filem I Know What You Did Last Raya yang dihasilkan pada 2004 adalah contoh filem sebegini. Hanya saya tak berkesempatan hasilkan filem genre ini lagi.
RAP: Apa perkembangan terbaru anda?
RAZAK: Bujang Terlajak yang dibintangi Saiful Apek, Nabil, Johan Raja Lawak dan Fazura sudah siap sepenuhnya dan hanya tinggal proses memasukkan muzik manakala Raya Tak Jadi sudah siap keseluruhannya. Saya jangkakan kedua-dua filem ini akan mendapat sambutan menggalakkan penonton. Pada saya, sesuatu filem itu mesti kuat dari segi jalan cerita untuk menarik peminat. Tapi ini semua bergantung kepada trend penonton. Ada juga cerita menarik tapi tak boleh tarik peminat.
Promosi dari mulut ke mulut juga membantu kerana apabila orang yang tengok sesebuah filem bagi komen yang bagus kepada kawan-kawannya, secara tak langsung membantu kejayaan filem itu. Promosi pun banyak boleh dibuat menerusi kecanggihan teknologi seperti di laman sosial Facebook.
RAP: Nampaknya anda masih senang dengan gandingan pelakon sama dalam kebanyakan filem komedi anda.
RAZAK: Kejayaan sesebuah filem bukan kerana seorang pelakon, tetapi saya pentingkan pada kombinasi pelakon. Contohnya, Apek, Nabil dan Johan mempunyai kekuatan dan cara komedi berlainan. Itu bukan kejayaan yang datang daripada seorang individu. Kita boleh nampak kejayaan sesebuah filem datangnya dari hasil kerjasama semua pihak yang terbabit didalamnya.
Ada banyak faktor lain yang mempengaruhi sambutan penonton seperti tayangan ketika cuti sekolah atau perayaan. Kalau bukan kerana cuti sekolah, cerita bagus pun orang tak tengok juga. Tapi itu bukanlah satu faktor. Bagaimanapun, kalau cerita itu ditayang di luar musim cuti sekolah, mungkin lain hasil kutipannya. Kalau pawagam tak banyak seperti sekarang pun, kurang juga kutipan sesebuah filem.
Banyak lagi faktor lain sebenarnya dan bagi saya ada tujuh faktor iaitu pelakon, skrip, pengarah, jenis komedi, plot, promosi dan masa tayangan. Pelan pemasaran juga penting bagi kejayaan sesebuah filem.
RAP: Terfikir tak nak ambil konsep yang dibuat Ismail dan Mamat?
RAZAK: Sebagai pembikin filem, saya sentiasa tengok benda-benda sebegini. Kami sentiasa analisis pasaran dan dapatkan reaksi dari peminat. Kami kaji kehendak penonton. Itulah yang kami gunakan untuk menghasilkan filem yang menarik.
RAP: Boleh cerita mengenai filem Between Two Sky (Antara 2 Langit) seperti yang diberitahu sebelum ini?
RAZAK: Perancangan sekarang sudah di peringkat akhir. Skrip dalam perbincangan dan beberapa draf sudah dihasilkan. Kami dalam proses untuk dapatkan dana. Ceritanya mengenai tentera Australia di Malaysia, jadi kerajaan Australia sudah bersetuju untuk beri dana. Kami juga sudah mulakan praproduksi.
RAP: Sebenarnya apa yang nak dipaparkan dalam filem ini?
RAZAK: Kisahnya berkisarkan detik Jepun takluk Malaya satu ketika dulu. Latar yang dipaparkan memang pada era 1940-an. Penggambaran juga akan dibuat di Malaysia dan Australia. Pelakon yang ditampilkan diambil dari kedua-dua negara, tetapi kami masih belum putuskan siapa. Sebenarnya saya sudah tiga tahun buat persiapan untuk filem ini. Saya sudah lama berhasrat buat filem kenegaraan.
Tapi perkara ini perlu diperhalusi kerana memakan bajet yang agak besar dan mencukupi. Di barat pun kita tengok tiga hingga empat tahun mereka ambil masa untuk buat filem genre sebegini. Saya tak nak tergesa-gesa menghasilkannya.
RAP: Berapa bajet yang diperlukan untuk buat filem ini?
RAZAK: Kami perlukan dalam RM7 juta. Ia bukan terlalu besar, tetapi sesuai untuk buat filem yang boleh dibawa ke persada dunia. Kalau tiada halangan, hujung tahun depan kami akan mulakan penggambaran. Kami dah mulakan kerja-kerja awal untuk filem ini antaranya buat skrip, ‘story board’ dan lain-lain lagi.
RAP: Ada cadangan gunakan kepakaran pelajar profesor?
RAZAK: Sudah semestinya pelajar Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik, UiTM Shah Alam akan digunakan bagi memberi pendedahan kepada mereka, di samping kru yang profesional. Saya perlukan ramai kru kerana lebih 500 pelakon diperlukan untuk filem ini terutamanya bagi menjayakan watak tentera Malaya dan Jepun.
RAP: Mungkin ada yang memandang sinis kemampuan profesor mengarah filem begini?
RAZAK: Soalnya sekarang bukan kemampuan tapi lebih kepada ada bajet atau tak? Bukan saya tak boleh buat filem genre ini. Kalau cukup bajet, apapun boleh jadi. Tengok, filem Hollywood pun perlukan hampir AS$200 juta untuk buat filem epik. Setiap pembikin filem ada ilmu tersendiri dan kalau ada bajet, buat filem Titanic pun boleh. Bukan James Cameron yang buat teknologi untuk bangunkan kapal itu, tapi pihak lain. Maksudnya, apabila semua kepakaran disatukan pasti akan menghasilkan yang terbaik.
RAP: Ada projek lain?
RAZAK: Saya akan hasilkan filem Petua Pikat Awek tahun depan. Genrenya komedi fantasi dan pemilihan pelakon akan ditentukan nanti. Saya juga hasilkan filem Murmuration of Starling khusus untuk menyertai Festival Film Berlin pada Februari ini. Ia filem cereka yang dibintangi pelakon Taiwan dan dibuat dalam bahasa Mandarin.
RAP: Bagaimana dengan filem Ratu yang agak kontroversi juga?
RAZAK: Ratu akan ditayangkan pada 17 Mac nanti. Banyak elemen suspen ditampilkan dan harapnya peminat suka. Mengenai kontroversi Ratu, saya tak boleh komen sangat kerana ia terletak dalam bidang kuasa pengurusan LineClear Motion Pictures. Tapi sebagai pengarah, saya kecewa dengan kenyataan yang dikeluarkan pelakon itu. Tak sepatutnya dia menggembar-gemburkan isu ini kepada media sedangkan dia boleh datang berbincang di pejabat. Dia kena terima hakikat berdepan tindakan pengurusan jika tidak meminta maaf seperti yang diminta.