Gua Cha, Kelantan
PEDALAMAN Kelantan yang dulunya suci daripada pembangunan kini mula diberi perhatian sebagai antara lokasi ekopelancongan utama negeri pantai timur itu.
Aktiviti paling popular adalah ekspedisi menyusuri Sungai Nenggeri dari Kuala Betis hingga kepada Kampung Star yang memakan jarak kira-kira 50 kilometer (km).
Aktiviti berakit selama dua hari ini diadakan secara dua peringkat bermula dari Gua Cha dan bermalam di penempatan Orang Asli Pos Pulat.
Peringkat kedua dari Pos Pulat ke Kampung Star dengan jarak kira-kira 40 km. Ekspedisi akan membawa peserta melewati 10 jeram yang mencabar kecekalan minda.
Mereka yang mahu mencuba aktiviti lasak ini boleh memulakan perjalanan dari Bandar Gua Musang ke Kampung Kuala Betis sebelum berakit di Gua Cha.
Tiba di Gua Cha berhampiran Kuala Betis, anda dapat melihat tapak arkeologi paling penting di Semenanjung Malaysia.
Namanya mungkin kurang dikenali, tetapi di kalangan pengkaji sejarah, gua itu cukup penting kerana penemuan pelbagai barangan dan rangka manusia dipercayai berusia kira-kira 1,000 tahun.
Di Gua Cha, ada dua lagi gua dikenali sebagai Gua Batu Kukup dan Batu Lindungan serta mempunyai kesan lubang yang digali pengkaji selepas penemuan pelbagai jenis tembikar purba.
Ada lebih 30 kesan peninggalan manusia zaman Hoabinhian dan Neolitik di gua berkenaan di samping penemuan tembikar purba pelbagai bentuk dan hiasan menarik.
Kini, kesan lubang besar yang menjadi tempat penemuan rangka mayat manusia purba masih dapat disaksikan di kawasan sekitar gua.
Pengunjung dapat melihat pelbagai spesies tumbuhan herba liar yang digunakan meluas dalam perubatan.
Ini termasuk orkid hutan, Tongkat Ali dan Kacip Fatimah. Jika bernasib baik, anda dapat melihat kesan tapak kaki dan laluan haiwan liar seperti gajah dan kesan harimau serta rusa.
Ekspedisi seterusnya melewati Jeram Batang, Jeram Manik, Jeram Gading, Jeram Mehmud dan Jeram Segalong sehingga Kampung Star.
Sepanjang perjalanan, peserta didedahkan dengan landskap kehijauan alam semula jadi sambil ditemani kicauan unggas dan sesekali bunyi hidupan liar.
Anda juga boleh singgah di perkampungan Orang Asli Pulat, untuk mengetahui cara hidup mereka.
Masyarakat yang mendiami penempatan ini terdiri daripada suku kaum Temiar dengan populasi 180 orang.
Ketika bermalam di Pos Pulat, pengunjung akan dihiburkan dengan persembahan kebudayaan Orang Asli daripada suku Sewang. Ia pasti kenangan yang sukar dilupakan.
TARIKAN MENARIK DI GUA MUSANG
# Taman Etnobotani membolehkan pengunjung berkenalan dengan pelbagai spesies tumbuhan herba dan ratusan jenis rempah yang biasanya hanya boleh dilihat di kedai.
# Daerah ini juga menjadi pintu masuk ke Taman Negara melalui Kuala Koh. Pengunjung boleh memilih untuk bermalam, melawat perkampungan Orang Asli dekat taman ini.