Berita Rogol Sana Sini
Guru al-Quran nafi rogol anak murid
KUALA TERENGGANU: Seorang guru mengajar al-Quran warga Indonesia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini semalam atas tuduhan merogol seorang anak muridnya berusia 16 tahun, awal bulan ini.
Tertuduh, Darwin Syahril, 46, yang mempunyai status kerakyatan tetap (PR) dituduh merogol remaja perempuan terbabit di sini antara jam 8 hingga 8.30 malam pada 9 Oktober lalu.
Dia yang berasal dari Dumai, Indonesia dan bekerja kampung serta mengajar al-Quran secara sambilan dilihat mengangguk tanda faham terhadap tuduhan dibacakan sebelum membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Hakim M Bakri Abd Majid.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Masriwani Mahmud @ Mamat, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 24 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu tertuduh melantik peguam.
Dua beradik durjana rogol pelajar kolej dijel 16 tahun, tiga sebatan
KLANG: Dua beradik dihukum penjara 16 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam selepas didapati bersalah merogol pelajar kolej swasta di Subang Jaya, enam tahun lalu.
Hakim Yong Zarida Sazali membuat keputusan itu terhadap R Vigneswaran, 31, dan R Sivaraman, 28, selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap pertuduhan.
Kedua-dua beradik itu pekerja pasar raya juga terpaksa menghuni penjara mulai semalam, apabila permohonan mereka supaya pelaksanaan hukuman ditangguhkan ditolak mahkamah.
Mengikut pertuduhan, Vigneswaran dan Sivaraman didakwa merogol mangsa yang kini sudah berkahwin di Hotel Talents Motor Park, Kampung Raja Uda, di sini, antara 11.15 malam dan 1 pagi, 15 April 2004.
Atas perbuatan itu, masing-masing didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding semalam, pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nurbaya Jamil, manakala tertuduh diwakili peguam bela, V Murali.
Terdahulu, Siti Nurbaya ketika membantah rayuan tertuduh terhadap hukuman berkata, kesalahan itu amat serius kerana meninggalkan kesan mendalam terhadap fizikal dan emosi mangsa.
Mangsa ketika memberi keterangan masih dapat mengingati dengan jelas apa yang berlaku, walaupun peristiwa itu sudah lama berlalu, katanya.
Menurutnya, hukuman setimpal perlu bagi memelihara kepentingan awam kerana tertuduh bukan saja merompak tetapi turut merogol mangsa.
Tertuduh dalam kes ini sudah menyalahgunakan kekuatan mereka sebagai lelaki dengan merogol mangsa, katanya.
Berdasarkan keterangan saksi sepanjang perbicaraan, mangsa dan rakan lelakinya ditahan empat lelaki yang menaiki Proton Iswara, ketika berjalan kaki pulang selepas makan malam di Subang Jaya.
Tiga penyangak itu menangkap rakannya, seorang lagi menahan mangsa, sebelum mereka dipaksa menaiki kenderaan itu.
Tertuduh pertama memandu kenderaan, tertuduh kedua duduk di tempat duduk depan, manakala yang lain mengawal mangsa dan rakannya di tempat duduk belakang kereta, menggunakan pisau dan parang.
Bapa pelajar mangsa perkosa, bunuh kesal
TELUK INTAN: Saya boleh menjaga estet yang luas tetapi tidak mampu menjaga anak sendiri, begitu kata K Murali, 43, bapa kepada M Divya, 16, mangsa rogol dan bunuh yang ditemui dalam parit di sebuah ladang sawit berdekatan rumahnya di Ladang Rubana di sini, kelmarin.
Murali yang juga ketua pengawal keselamatan di Ladang Rubana meluahkan kekesalan itu selepas ditemui pada upacara membakar mayat anak gadisnya itu di sini, semalam.
Mayat Divya ditemui orang awam kira-kira jam 7.30 pagi kelmarin dalam keadaan bogel dan tertiarap di sebuah parit di ladang berkenaan selepas mangsa dikatakan tidak pulang ke rumah selepas turun dari bas petang Jumaat lalu.
Menurutnya, dia berharap pembunuh anaknya itu segera ditahan dan dihukum setimpal dengan perbuatan kejam dilakukannya.
Katanya, mendiang anaknya begitu rapat dengannya dan seorang anak yang baik serta tidak banyak kerenah selain rajin membantu isterinya, P Letchumany, 35, membuat kerja rumah.
Mayat Divya dibawa pulang ke rumah di Ladang Rubana semalam (kelmarin) selepas dibedah siasat di Hospital Teluk Intan (HTI), katanya, semalam.
Usaha wartawan Harian Metro menemuramah Letchumany gagal apabila dia enggan kerana terlalu sedih atas kematian anaknya itu.
Sementara itu, Ketua MIC cawangan Ladang Rubana, K Damondran berkata, kejadian pembunuhan itu kali pertama berlaku di ladang itu.
Saya tinggal di ladang ini sudah 40 tahun tanpa sebarang kejadian jenayah hingga berita mengejutkan itu berlaku semalam (kelmarin).
Perbuatan itu kejam dan pihak yang melakukan pembunuhan itu perlu segera dibawa ke muka pengadilan, katanya ketika ditemui selepas menziarahi keluarga mangsa di sini, semalam.
Selain itu, wakil Ahli Dewan Undangan Negeri Kampung Gajah, Dr Wan Norashikin Wan Noordin turut menghantar ucapan takziah dan menyampaikan sumbangan wang tunai kepada keluarga mangsa.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan di HTI mendapati, mangsa dirogol terlebih dulu sebelum mukanya dibenamkan ke tanah menyebabkan mangsa lemas dan meninggal dunia.
Mangsa meninggal dunia akibat lemas selepas mukanya dibenamkan ke tanah, katanya.
Beliau berkata, pihaknya masih mengesan suspek yang membunuh mangsa dan orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, Asisten
Superintendan Shamsudin Mamat di talian 019-4231500 atau balai polis berhampiran.
Penyanyi dakwa diperkosa ulama
JAKARTA: Selepas video lucah didakwa membabitkan tiga penghibur popular mengejutkan rakyat Indonesia, seorang ulama terkenal negara itu pula menjadi tumpuan kerana didakwa merogol seorang penyanyi.
Minggu lalu, penyanyi Aida Saskia, 25, menuduh ulama Zainuddin MZ merogolnya, namun pemimpin agama itu menafikan tuduhan terbabit, lapor tempointeraktif.
Aida mendakwa, insiden merogol itu berlaku di sebuah vila di Bogor, Jawa Barat, ketika dia berusia 16 tahun.
Peguam Aida, Alamsyah Hanafiah berkata Aida kecewa dengan ucapan Zainuddin mengenai video lucah membabitkan Nazril Irham atau Ariel Peterporn, Cut Tari dan Luna Maya tersebar secara meluas.
Dia memutuskan untuk mendedahkan salah laku (dirinya dan Zainuddin) yang amat memalukan, kata Alamsyah. Zainuddin merancang mengadakan sidang media menjawab tuduhan itu kelmarin namun membatalkannya.
Dalam pada itu, Habib Mahdi, seorang ulama yang dekat dengan Zainuddin ketika dihubungi detikhot menerusi telefon kelmarin berkata, Zainuddin, 59, mengakui dirinya tidak sakit hati dan bersedia memaafkan Aida dengan bersyarat.
Kata Zainuddin, andainya Aida sudah tidak marah dan menarik balik tuduhan itu, dia akan maafkan Aida demi umat, kata Habib.
Mahdi juga juga merancang menemukan wanita yang mempunyai kerjaya sebagai penyanyi dangdut itu dengan Zainuddin. Sebagai ulama yang menjadi orang tengah antara Aida dan Zainuddin, Mahdi merasa bertanggungjawab mendamaikan mereka.
Kata Mahdi, ketika ini Zainuddin sibuk berdakwah dan tidak sempat bertemu Aida. Kiyai yang memegang jawatan ketua umum Parti Bintang Reformasi itu membatalkan sidang medianya kelmarin atas sebab tidak diketahui.
Dalam perkembangan lain, Alamsyah berkata, anak guamnya pernah sekali melakukan hubungan seksual dengan Zainuddin.
Aida bercerita kepada saya bahawa dia pernah diperkosa sekali. Hanya sekali, kata Alamsyah ketika ditemui di pejabatnya Khamis lalu.
Jika dalam tempoh dua minggu tuntutan Aida tidak dijawab, perkara ini akan dibawa ke muka pengadilan.
Mengenai sikap Zainuddin yang menyangkal dan tidak mengakui perbuatan tidak senonoh terhadap Aida, Alamsyah mencabar Zainuddin membuat laporan polis jika merasa namanya dicemarkan Aida.
Sementara itu, artis dan pengacara Dorce Gamalama mengakui sangat mengenali Zainuddin dan tidak yakin ulama itu merogol Aida. Agensi