Terengganu mahu tambah derita Selangor
Terengganu mahu tambah derita Selangor
mustapa@kosmo.com.my
![]() |
|
KEHADIRAN semula Manaf Mamat (kiri) memberi kelegaan kepada Terengganu.
|
JURULATIH Terengganu, Irfan Bakti yakin anak-anak buahnya mampu membenam Selangor pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam malam ini sekali gus menambah duka di bahu juara bertahan itu yang masih meratapi pemergian penyerangnya, Mohd. Safee Mohd. Sali ke Indonesia.
Menurut Irfan, ketiadaan Safee dalam skuad Selangor bakal memberi sedikit kelebihan kepada pasukannya untuk meneruskan rekod tanpa kalah dalam kempen liga musim ini.
Skuad Penyu itu berjaya mencatat kemenangan pertama selepas membelasah Perlis 3-1 di Kangar, Jumaat lalu untuk menduduki tangga kelima liga dengan lima mata.
Selangor pula yang dilihat terdesak ekoran penghijrahan Safee ke Pelita Jaya sekadar berada di kedudukan ketujuh dengan empat mata selepas hanya mampu seri 1-1 dengan Kuala Lumpur, Sabtu lalu.
“Beraksi di Stadium Shah Alam selalunya sukar, tetapi kami mempunyai rekod baik ketika menentang Selangor.
“Saya rasa ia bukan satu yang mustahil untuk menewaskan Selangor, lebih-lebih lagi dengan tahap keyakinan tinggi yang dimiliki pemain-pemain saya,” jelas Irfan kepada Kosmo! semalam.
Malah, Irfan yang pernah menabur bakti bersama kelab Indonesia, Persipura Jayapura pada 2007 percaya ketiadaan Safee dalam skuad Merah Kuning itu patut digunakan sepenuhnya oleh pasukannya untuk mengutip tiga mata penuh.
Bagaimanapun, Irfan enggan terlalu memandang rendah kemampuan pemain Selangor yang lain berdasarkan reputasi mereka selaku juara bertahan.
“Saya sendiri telah melihat perlawanan Selangor ketika mereka seri dengan Kuala Lumpur, Sabtu lalu dan daripada perlawanan itu, saya tahu apa yang perlu dilakukan oleh pemain-pemain saya.
“Lagipun, pemain-pemain saya sudah begitu serasi beraksi di gelanggang lawan dan saya rasa sokongan padu daripada penyokong Red Giants di Shah Alam malam esok (malam ini) tidak akan menjejaskan fokus kami,” tambahnya.
Mengulas mengenai keberkesanan skuad utamanya, Irfan secara terbuka memuji kekentalan pada bahagian benteng pertahanan Terengganu yang diketuai oleh kapten Marzuki Yusof.
“Kehadiran semula Abdul Manaf Mamat memberi banyak pilihan kepada saya di bahagian jentera serangan,” katanya
