Zakaria Ab. Rahim bantu Safee di Indonesia

NAMA Zakaria Ab. Rahim sebelum ini cukup dikenali sebagai pengurus pasukan skuad Liga Super Selangor sejak Jun 2008 hingga Disember 2009.
Kini, Zakaria kembali tetapi bukan lagi bersama Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), sebaliknya bertindak sebagai pengurus peribadi kepada penyerang baru Pelita Jaya, Mohd. Safee Mohd. Sali.
Menurut Zakaria, perkara pertama yang menjadi keutamaannya sebaik memulakan langkah di Indonesia semalam ialah memikat pihak media di negara jiran itu.
“Di Indonesia cukup mudah. Selagi seseorang pemain itu mempamerkan prestasi baik dan menunjukkan sikap mesra, dia akan dihormati serta diminati ramai tak kira kawan atau lawan.
“Ternyata sanjungan terhadap seseorang pemain di Indonesia cukup hebat. Jadi Safee perlu sentiasa mengekalkan tahap persembahan dan kecergasannya sepanjang baki 13 perlawanan yang perlu dihadapi Pelita Jaya.
“Sasaran Safee ialah untuk membawa Pelita Jaya ke kedudukan lebih baik daripada tangga tercorot ketika ini dan jika berjaya, Safee tidak akan menghadapi masalah di Indonesia.
“Malah dia juga akan disanjung pula oleh peminat-peminat di Indonesia,” kata Zakaria ketika ditemui sebelum berlepas ke Jakarta, Indonesia pagi semalam.
Zakaria turut menjelaskan bahawa dia bukanlah ejen yang terlibat dalam urusan perpindahan Safee dari Selangor ke Pelita Jaya sebaliknya hanya berperanan sebagai pengurus peribadi yang mengatur perjalanan karier pemain itu.
“Memang ketika menjadi pengurus Selangor sebelum ini, saya telah berusaha untuk mendapatkan tempat di kelab luar buat Safee. Tapi perpindahan ke Pelita Jaya ini diuruskan sendiri oleh FAS dan tiada ejen terlibat.
“Peranan saya lebih kepada menjaga Safee untuk berhadapan dengan pihak media supaya dia tidak terjebak dengan kontroversi serta menjaga hubungannya dengan para penyokong dan peminat.
“Kita juga mahu menjadikan Safee sebagai pemain yang benar-benar profesional iaitu dengan mendapatkan ruang untuk dia menjadi duta produk dan mendapat tajaan peribadi,” jelas Zakaria.