Home > Politic > Usul pindaan perlembagaan negeri Selangor diumum minggu depan

Usul pindaan perlembagaan negeri Selangor diumum minggu depan

Usul pindaan perlembagaan negeri Selangor diumum minggu depan, kata MB

January 12, 2011

SHAH ALAM, 12 Jan – Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan mengumumkan cadangan pindaan Undang-Undang Tubuh Negeri itu bagi mengembalikan kuasa Sultan dan Menteri Besar dalam pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri selepas Rabu depan.

Beliau berkata kerajaan negeri akan mengadakan beberapa peringkat perbincangan berhubung pindaan itu dan exco yang diberi taklimat mengenai perkara itu hari ini, mahukan taklimat lanjut.

Selangor berhadapan dengan krisis perlembagaan ekoran pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru Datuk Mohd Khusrin Munawi tanpa pengetahuan Menteri Besar. Ia diumumkan 27 Disember lalu.

Khalid (gambar) berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri hari ini.

“Kami juga perlu menjelaskan kepada parti bagaimana pindaan dilakukan serta kesannya kerana ia perkara yang serius, jadi selepas semuanya selesai, barulah kami akan membuat pengumuman sewajarnya,” katanya ketika ditanya mengenai perkembangan cadangan pindaan itu.

Kerajaan negeri bercadang meminda Seksyen 52 Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor yang menyatakan pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri hendaklah dilakukan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan dari perkhidmatan awam yang relevan, pada persidangan Dewan Undangan Negeri 24 Januari ini.

Dipetik Bernama, Khalid berkata pindaan itu bagi membolehkan kerajaan negeri diberi kuasa melakukan pengurusan sendiri.

Sebelum ini, beliau dilaporkan mahu kuasa melantik tiga jawatan eksekutif tertinggi dalam pentadbiran negeri dikembalikan kepada Sultan dan Menteri Besar seperti yang termaktub sebelum Seksyen 52 dipinda selepas krisis perlembagaan nasional pada 1993.

Mengulas kenyataan Umno Selangor bahawa mereka sentiasa menghormati Sultan dan mendapatkan perkenan baginda dalam soal pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Abdul Khalid berkata walaupun begitu, mereka merampas kuasa baginda.

“Walaupun mereka boleh melakukannya tanpa mendapat perkenan Sultan, untuk kelihatan diplomatik, mereka meminta nasihat baginda,” katanya.

Pada sidang akhbar itu, Khalid berkata setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pakatan pembangkang akan diperuntukkan RM1 juta bagi menyelenggara jalan, jambatan dan sistem perparitan di kawasan masing-masing mulai tahun ini.

Beliau berkata dana itu akan dipantau oleh kerajaan tempatan yang berkaitan dan usaha tersebut adalah bagi memastikan pembangunan yang dilakukan mencapai sasaran, iaitu untuk manfaat rakyat.

Ditanya sama ada Adun Barisan Nasional akan diberikan peruntukan yang sama, beliau berkata tidak, melainkan kerajaan Persekutuan turut memberikan peruntukan kepada anggota Parlimen Pakatan.

  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.