Usul gantung Anwar enam bulan
KUALA LUMPUR, 14 Dis — Sebagaimana telah dijangkakan, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim telah disyorkan agar digantung daripada Parlimen selama enam bulan berhubung isu APCO-Israel-gagasan 1 Malaysia yang menjadi fokus awal tahun ini.
Syor itu dibawa oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan dalam laporannya yang dibentangkan di Parlimen hari ini.
Laporan itu akan dibahaskan Khamis ini — hari terakhir sidang Dewan Rakyat yang berlangsung sekarang.
Laporan itu dibentangkan hari ini memandangkan notis dua hari diperlukan bagi membentangkan usul berkaitan.
Selain itu jawatankuasa tersebut juga akan mengesyorkan agar satu “teguran” dikenakan ke atas Pengerusi DAP Karpal Singh berhubung kenyataan menghina pengerusi panel berkenaan, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, yang juga Speaker Dewan Rakyat.
Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor merupakan salah seorang daripada dua wakil rakyat Pakatan Rakyat yang menganggotai jawatankuasa itu, yang mendengar kes Anwar.
Jawatankuasa itu tidak mengambil keterangan Anwar, yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.