Ramli MS Berpindah Selepas 10 Tahun Tinggal Di Hotel

December 23rd, 2011 No comments

Ramli MS Berpindah Selepas 10 Tahun Tinggal Di Hotel Ramli MS Berpindah Selepas 10 Tahun Tinggal Di Hotel

PETALING JAYA: Akhirnya, konduktor muzik terkenal, Datuk Ramli Mohamed Salleh atau Ramli MS, membuat keputusan untuk berpindah ke rumah yang baru dibelinya awal tahun depan selepas 10 tahun menetap di sebuah hotel.

Ramli berkata, sudah sampai masanya untuk dia memikirkan masa depan dengan memiliki sebuah rumah yang selesa agar dapat tinggal bersama ibunya yang masih lagi menetap di Singapura.

“Antara sebab saya tinggal di hotel selama ini kerana kemudahan yang disediakan memudahkan saya yang sentiasa sibuk menguruskan kerjaya seni dan tidak perlu nak fikir tentang masalah rumah bersepah, keselamatan dan sebagainya.

“Bagaimanapun, saya juga perlu memikirkan tentang masa depan. Insya-Allah saya akan membawa ibu bersama-sama untuk berpindah sekitar bulan Januari atau Februari akan datang,” katanya ketika ditemui di hotel penginapan di sini.

Tambah Ramli, dia juga akan mengubahsuai salah satu bilik di rumah itu untuk dijadikan sebuah studio mini bagi memudahkan dirinya untuk menghabiskan kerja-kerja seninnya itu.

Dalam pada itu, Ramli menafikan sekeras-kerasnya bahawa perpindahan tersebut dibuat kerana bakal menamatkan zaman dudanya dalam masa terdekat ini.

“Sikap saya lain, banyak perkara yang perlu diuruskan dulu seperti anak-anak, kerjaya dan urusan pembelian rumah baru. Jadi saya tak terfikir pun untuk berkahwin dalam buat masa ini.

“Tapi semestinya saya mahu kahwin satu hari nanti,” selorohnya.

Bercerita mengenai cara hidupnya sepanjang 10 tahun menetap di hotel, tiada memori yang indah untuk diingati dek kerana terlalu fokus dengan kerjayanya, tetapi gembira, pekerja hotel berkenaan melayannya dengan baik.

“Memandangkan sudah lama saya tinggal di sini, mereka telah memberi kebebasan untuk saya.

“Bayangkan, mereka turut membenarkan saya memasak di dapur hotel. Alhamdulillah, saya dilayan dengan baik. Mungkin selepas berpindah nanti saya akan rasa perbezaannya.

“Lebih-lebih lagi dari segi penjagaan dan sekuriti rumah. Harap-harap saya dapat menguruskannya dengan baik,” kata Ramli.

Perkahwinan Fasha Sandha

December 23rd, 2011 No comments

Perkahwinan Fasha Sandha

Aktres jelita, Fasha Sandha, masih merahsiakan lagi tarikh perkahwinannya dengan kekasihnya sehingga sampai pada masa yang akan diberitahu kelak.

Sebelum ini, apabila gambarnya sedang mencuba pakaian pengantin telah tersebar di laman sosial, pelbagai spekulasi timbul mengatakan Fasha akan menamatkan zaman bujangnya dalam masa terdekat bersama bekas suami Nora Danish, Rizal Ashram, atau lebih dikenali sebagai Jejai.

Fasha yang ditemui ketika majlis pelancaran filem “Penanggal” di Restoran Al-Andalus baru-baru ini, menafikan spekulasi tersebut tetapi mengakui akan memberitahu tarikh perkahwinannya pada umum kelak.

“Kalau awal tahun depan memang tidak akan berlaku apa-apa majlis seperti yang dikhabarkan kerana bulan Februari sahaja, saya sibuk dengan pengambaran drama “Seindah Sakura” dan akan berada di Perancis. Apa yang boleh saya katakan kini apabila sampai masanya akan saya beritahu kepada umum berita baik itu dan tidak akan merahsiakannya.”

“Bukan tidak mahu memberitahu pada masa ini, cuma kita tidak tahu apa akan jadi masa depan. Apabila hampir tiba masanya akan saya beritahu kepada semua. Jadi saya berharap doakanlah agar kebahagiaan berpihak kepada saya. Insyaallah akan tiba masanya,” katanya.

Pada masa sama, aktres berusia 27 tahun ini memberitahu bahawa dia telah menolak tiga tawaran berlakon kerana mahu berlakon dalam filem “Penanggal” kerana mempunyai keunikkanya tersendiri.

“Dah tiga tawaran berlakon saya tolak sebelum ini dan rasa ralat juga, tetapi watak dalam filem ini sangat bagus dan ini adalah filem pertama saya yang memerlukan saya bercakap bahasa Arab,” ujarnya.

Jelasnya, pertama kali dia membaca skrip filem itu dia agak risau kerana watak yang dipegangnya sangat mencabar dan memerlukan permainan emosi dalaman.

Fasha yang akan memegang watak Sharifah Zahra, mengakui bahawa berlakon di bawah arahan pengarah yang pertama kali mengarahkan filem, Ellie Suraity, banyak memberinya pengalaman.

“Kak Ellie juga merupakan seorang pelakon yang bagus, dia tahu kelemahan dan kelebihan saya dan menerusi filem ini dia banyak mencorakkan karakter saya.

“Dia menjadikan saya sempurna dalam filem “Penanggal,” kata gadis berasal dari Johor Bahru itu.

Tambah Fasha lagi, walaupun Ellie Suraity sedang mengandung, namum pergerakkannya tidak seperti orang mengandung kerana dia sangat rajin dan tidak tahu duduk diam.

Penggambaran filem “Penanggal” ini telah pun memulakan penggambaran pada 10 Disember lalu dan dijangka akan tamat pada 26 Januari pada tahun hadapan.

Filem yang menelan belanja sebanyak RM2.1 juta ini akan menampilkan Zul Ariffin, Ummi Nazeera, Azri Iskandar dan Fasha Sandha sebagai pelakon utama.

Dan turut membintangi filem ini iailah Kusdiwadinata, Normah Damanhuri, Latif Borgiba, Fauziah Nawi, Haeriyanto, Wan Suhaimi, Anne Abdullah, Rozie Othman dan Henzi Andalas. Dan turut membuat penampilan istimewa dalam filem “Penanggal” ialah Biduanita Negara, Dato Sharifah Aini.

Adlin vs. Chef Wan di Facebook

December 23rd, 2011 No comments

Adlin vs. Chef Wan di Facebook

Seperti menjadi trend artis di Malaysia ini, meluahkan perasaan marah terhadap rakan artis di laman sosial mereka, bukan sahaja memalukan diri sendiri malahan menunjukkan contoh yang tidak baik terhadap peminat.

Inilah yang terjadi di antara pelawak terkenal Adlin Aman Ramlie dan juga Chef terkenal, Chef Wan, yang menyelar tindakkan Adlin ketika membuat persembahan Maharaja Lawak Mega yang dikatakan terlampau sehingga sanggup melawak tentang arwah ayahnya sendiri. Kemudian, Chef Wan dengan beraninya telah memberi komen peribadi di dalam akaun Facebooknya tentang persembahan Adlin di dalam pertandingan tersebut.

Adlin Aman Ramlie tanpa berfikir panjang, telah menjawab apa yang dikatakan oleh Chef wan dan mengisytiharkan ‘perang di laman sosial’ di antara mereka berdua.

Tindakan mereka berdua ini sememangnya tidak professional dan tidak menampakkan kematangan mereka yang sememangnya telah lama di persada dunia hiburan.

Adlin juga kelihatan kecewa kerana tidak berjaya mara ke peringkat akhir, perjalanan Adlin di dalam pertandingan Maharaja Lawak Mega berakhir pada minggu ke – 8.