Bapa Liew Kuan Mang rayu siasat kematian anak
Bapa rayu siasat kematian anak
KAJANG – Bapa kepada Liew Kuan Mang yang ditemui mati dalam keadaan tragis dengan anggota badannya terpisah antara satu sama lain di loji rawatan kumbahan Taman Pasir Mas, Sungai Chua di sini memohon supaya polis melakukan siasatan sewajarnya terhadap kematian mangsa.
Liew Swee Hen, 66, (gambar) berkata, dia mahukan keadilan terhadap kematian anak bongsunya itu yang dilaporkan hilang sejak 7 November lalu sebelum mayatnya ditemui Khamis lalu.
“Saya berharap polis dapat menjalankan siasatan sehingga kes pembunuhan anak saya selesai dengan menangkap pihak yang terlibat,” rayunya dalam tangisan ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.
Swee Hen berkata, dia dan anak lelaki keduanya, Kuan Hong, 39, telah pergi ke sebuah restoran di Sungai Chua tempat kali terakhir Kuan Mang dilihat sebelum hilang.
“Di restoran itu kami melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan nampak Kuan Mang masuk ke tandas bersama dua rakannya.
“Dua rakan Kuan Mang kemudian dilihat keluar dari tandas namun anak saya tidak kelihatan,” katanya dengan memberitahu jarak antara restoran tersebut dengan lokasi tempat anaknya ditemui mati kira-kira 500 meter.