Anak gitaris Pink Floyd ditangkap
LONDON – Polis Britain semalam menahan anak tiri pemain gitar kumpulan Pink Floyd, David Gilmour kerana bergayut di memorial Cenotaph semasa rusuhan membantah kenaikan yuran pengajian berlaku pada Khamis minggu lalu.
Anak tiri David, Charlie Gilmour, 21, kemudian memohon maaf.
“Pada pagi semalam, seorang lelaki ditahan di rumahnya di Sussex kerana disyaki berkelakuan ganas dan cuba melakukan kerosakan ke atas bendera itu pada 9 Disember lalu. Suspek juga ditahan kerana disyaki mencuri,” kata polis dalam satu kenyataan.
Penangkapan Gilmour dibuat selepas Menteri Dalam Negeri Britain, Theresa May menyatakan polis mesti menilai kembali pendekatan ketika berdepan dengan perusuh. May turut mengesahkan bahawa kereta Putera Charles dan isterinya, Camilla diserang oleh penunjuk perasaan di tengah London.
Charlie yang merupakan seorang bekas model berasa malu ekoran perbuatannya.
Menurutnya, dia tidak menyangka telah bergayut di memorial itu kerana ketika kejadian, dirinya diselubungi dengan semangat tinggi.
“Saya tidak menyedari, ia merupakan Cenoptah dan jika saya menyedarinya, pastinya saya tidak akan melakukannya.”