Home > Entertainment > KRU terbitkan HIKAYAT MERONG MAHAWANGSA

KRU terbitkan HIKAYAT MERONG MAHAWANGSA

December 20th, 2010 Leave a comment Go to comments

Barisan pelakon dan penerbit filem Hikayat Merong Mahawangsa

Barisan pelakon dan penerbit filem Hikayat Merong Mahawangsa.

Segalanya bermula pada 19 Mei 1992 apabila KRU menandatangani perjanjian menjadi artis di bawah naungan EMI. Siapa sangka 17 tahun kemudian mereka masih bersama dan telah menceburi pelbagai bidang dalam industri hiburan tempatan yang menjadikan syarikat mereka salah satu Empayar besar yang cukup dikagumi. Satu Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat di Masjid Wilayah Persekutuan KL telah diadakan untuk meraikan kejayaan mereka selama 17 tahun ini yang dihadiri oleh para artis, karyawan, syarikat-syarikat penaja, pelangan serta wakil media cetak.

The Chronicles of Merong Mahawangsa, Hikayat Merong Mahawangsa,
Filem terakhir Yusry.

Pada majlis itu KRU mengambil kesempatan menceritakan filem terbaru terbitan mereka Hikayat Merong Mahawangsa atau The Chronicles of Merong Mahawangsa yang kini sedang giat menjalankan penggambaran di sekitar Terengganu dan Kuantan, Pahang sehingga hujung Ogos. Filem epik arahan Yusry Abdul Halim ini merupakan filem terbesar dan terakhir dibawah pengarahan beliau. Menurutnya sudah tiba masa filem terbitan KRU akan datang diarah oleh pengarah yang lebih berbakat mengarahkan filem terbitan KRU Studio.

Pengarah Urusan KRU Studios, Norman Abdul Halim berkata, pembabitan pelakon dan pekerja krew di dalam dan luar negara yang terdiri daripada United Kingdom, Sweden, Australia dan Hong Kong mampu menjanjikan satu kelainan dalam pembikinan dan penceritaan sesebuah filem kerana ia secara dasarnya dapat meningkatkan industri filem tempatan. Mereka juga bertuah kerana mendapat geran “e-Content” dari Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi untuk menghasilkan filem yang dianggarkan menelan belanja sebanyak RM8 juta yang tidak termasuk dengan kos promosi.

“Dengan adanya tenaga stunt didatangkan khas dari Hong Kong yang pernah terlibat dalam filem-filem Jackie Chan dan Hellboy 2 hasrat KRU untuk memaparkan khazanah negara ke peringkat antarabangsa mampu dijayakan. Ketika bahagian promosi kami menghadiri American, Berlin, Hong Kong dan Cannes Film Market Festival ramai yang menunjuk minat untuk mengedar filem tersebut.”

“Filem yang bakal menggunakan 70% Bahasa Inggeris dan 30% Bahasa Melayu klasik akan menunjukkan kehebatan empayar Melayu kurun ke 2 tentang tanah Melayu. Penggunaan Bahasa Inggeris digunakan supaya filem tersebut dapat menarik pelbagai bangsa menonton filem ini selain dapat dipasarkan di luar negara, tak kira kalau edaran antarabangsa itu merupakan sekadar dalam bentuk DVD pun sudah cukup memadai. Kita akan bergerak setapak demi setapak untuk maju kehadapan. Mudah-mudahan dengan cara sebegini kita dapat tingkatkan jumlah penonton filem kita selain mendapat pengiktirafan antarabangsa. Memang menjadi visi KRU untuk menghasilkan filem-filem bercorak antarabangsa setelah pindah ke cyberjaya nanti dan ingin memulakan satu benchmark bagi era moden filem tempatan.” katanya.

The Chronicles of Merong Mahawangsa, Hikayat Merong Mahawangsa,
Perkembangan KRU selepas 17 tahun.

Filem ini merupakan satu projek lonjatan untuk KRU dan permulaan yang positif untuk masa hadapan. Selain menerbitkan filem dari genre komedi, aksi & seram, KRU juga mampu menghasilkan filem Epik sebegini. Idea ini timbul selepas penghasilan Cicakman 2 diselesaikan. Skrip filem ini ditulis merujuk kepada buku dan sumber internet serta kajian yang dilakukan kru produksi.

“Ini adalah interpretasi kami sendiri untuk mendapat realisme filem tersebut. Kami tidak akan menggunakan keseluruhan cerita itu sebaliknya hanya bahagian penting yang menguatkan jalan cerita itu akan digunakan untuk penggambaran. Bahagian mengenai garuda akan kami gantikan dengan perkara lain yang akan melambangkan garuda tersebut. Kebanyakkan cerita asalnya adalah dari mitos dan kita perlu menukarnya menjadi logik yang mudah difahami untuk penonton masa kini. Pembinaan watak bagi Merong juga kami interpretasikan sebagai seorang yang kacukan Inggeris-Melayu. Filem ini juga banyak mengandungi mesej kepimpinan dan perpaduan di mana kita dapat lihat transformasi Merong dari seorang yang individualistik ke seorang yang berpewatakan seperti seorang pemimpin.” katanya lebih lanjut.

The Chronicles of Merong Mahawangsa, Hikayat Merong Mahawangsa,
Stephen Rahman Hughes bersama Jing Lu.

Di majlis ini, KRU mengambil kesempatan memperkenalkan barisan pelakon-pelakon tempatan dan antarabangsa bagi filem Hikayat Merong Mahawangsa iaitu Stephen Rahman Hughes, Jing Lu, Gavin Stenhouse, Henrik Norman, Wan Hanafi Su, Khir Rahman, Dato’ Rahim Razali, Ummi Nazeera, Nell Ng, Craig Fong, Keith Chong, Jehan Miskin, Cat Farish, Deborah Henry, Ravi Sunderlingam, Kuswadinata, Mano Maniam, Cico, Vanidah Imran dan Faiz Aizuddin Azmi pemenang drama pendek ERA.

“Menerbitkan filem ini memberi cabaran baru kerana selain membabitkan kos yang besar kami juga terpaksa berdepan dengan cara berkerja bersama pelakon asing. Pengalaman ini memberi pendedahan kepada kami untuk berurusan dengan mereka, malah membuka mata kami kepada pelbagai perkara baru terutama untuk meyakinkan pelakon ini datang ke sini.”

“Bagi filem ini kami telah membuat ujibakat di semua tempat untuk mencari mereka yang layak untuk membawa watak-watak tersebut. Stephen Rahman dipilih kerana kemampuannya bertutur dalam Bahasa Melayu dan juga Inggeris kerana watak Merong memerlukannya berkomunikasi dalam dua bahasa itu. Manakala dua pelakon dari Sweden iaitu Gavin Stenhouse dan Henrik Norman ditemui ketika ujibakat yang kami adakan di Stockholm. Mereka yang lain terdiri daripada kenalan Stephen di bawah syarikat yang sama naungannya. Kebanyakkan mereka ini terdiri daripada mereka yang mempunyai latar belakang teater yang mampu membawa kelainan lakonan dari yang biasa dan yang lebih berkesan.”

Kini syarikat KRU sedang menantikan persiapan 3 lagi filem terbitan mereka seperti Magika, My Spy dan filem terbitan terbaru mereka Hikayat Merong Mahawangsa menjadi antara produk yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.

  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.