Home > Entertainment > Ian Wright, Globe Trekker, Lonely Planet

Ian Wright, Globe Trekker, Lonely Planet

December 14th, 2010 Leave a comment Go to comments

Pengacara popular berada di ibu kota promosi program terbaru

BENTANGKAN peta dunia di depan lelaki ini, jika tidak semua, mungkin separuh negara yang tercatat di atas peta itu pernah dikunjunginya. Tidak semua orang diberi peluang seperti itu, namun tugas yang disandangnya membuatkan peluang untuk dia mengembara atau menjelajah ke negara lain luas terbentang.

Sebagai pengacara program bercorak pengembaraan di kaca televisyen seperti Globe Trekker dan Lonely Planet, Ian Wright kini sudah boleh tersenyum puas kerana banyak lokasi menarik di dunia termasuk gunung, sudah pun berjaya ditaklukinya. Pengalaman itulah yang dikongsi anak kelahiran Suffolk, England ini untuk tatapan penggemarnya di kaca TV.

Jika selama ini, keramahan, kenakalan dan sifat mudah mesranya itu hanya di tonton di layar kaca, kini figura terkenal ini berada di depan mata. Apa yang boleh disimpulkan, tiada beza perwatakan sebenar Wright, baik di kaca TV ataupun ketika kami bertentang mata. Unsur humor dan sifat suka mengusiknya itu tetap ditonjolkannya sepanjang temu bual ini berlangsung.

Selepas dua dekad berada dalam industri penyiaran, Wright bukan saja menghimpunkan pengalaman menarik ketika berkunjung ke negara orang tetapi dia juga berjaya mengumpul peminatnya sendiri. Justeru, tidakkah dia pernah terfikir untuk menghasilkan sebuah buku yang boleh dijadikan hadiah untuk semua peminatnya?

“Perkara itu memang sudah lama saya impikan. Setiap kali saya mengembara, saya akan pastikan saya membawa sebuah buku nota yang membolehkan saya mencatat semua perkara yang berlaku sepanjang pengembaraan saya. Apa saja maklumat yang saya peroleh, yang mampu dikongsikan, akan saya tulis di dalamnya.

“Mungkin pada tahun hadapan, saya akan mula menulis. Namun, entah bila ia boleh siap, saya sendiri kurang pasti. Apapun saya berjanji kepada semua yang buku itu akan dihasilkan secepat mungkin,” kata Wright yang sehingga kini sudah menyimpan berkotak-kotak buku nota yang digunakannya sepanjang pengembaraannya.
Lazimnya, apabila sudah berada di negara orang, tentunya aktiviti membeli-belah termasuk dalam senarai yang harus dilakukan. Wright tidak terkecuali dalam hal itu.

“Oh! Saya memang seorang yang suka membeli-belah. Selalunya tempat yang saya kunjungi ialah kawasan pasar malam kerana barang yang dijual memang murah. Saya bukanlah seorang yang cerewet ataupun terlalu mementingkan jenama. Kadang-kadang barangan tiruan juga saya beli, asalkan ia kelihatan cantik.

“Saya juga sudah membelikan beberapa barangan untuk dihadiahkan kepada keluarga dan kawan-kawan saya sempena Krismas nanti,” kata personaliti berusia 45 tahun ini disertai dengan ketawa panjang.

Belum mahu bersara

BERDEPAN dengan pelbagai cabaran, terpaksa berjauhan dengan keluarga ialah antara situasi yang terpaksa dihadapi oleh Wright sepanjang bergelar pengacara program pengembaraan. Selepas lebih 10 tahun berkecimpung dalam bidang ini, tertanya-tanya juga, tidakkah terdetik dalam hati lelaki ini untuk mengucapkan selamat tinggal kepada dunia berkenaan.

Bagaimanapun, ketika diajukan pertanyaan ini kepada si empunya diri, Wright berkata, dia akan terus menjadi pengacara kerana itulah jiwanya dan ia sudah sebati dengan dirinya.

“Saya akan terus berada dalam bidang ini selagi ada permintaan daripada mereka yang mahu menonton rancangan saya. Secara jujur, pengacaraan memang sebati dalam jiwa saya dan saya sendiri sukar meramalkan bilakah saya akan bersara. Inilah jalan saya pilih sejak dulu jadi saya harus meneruskannya.

“Dalam hal ini, saya amat bertuah dan bangga kerana memiliki keluarga yang cukup memahami biarpun keadaan memerlukan saya berjauhan daripada mereka,” kata Wright yang tidak pernah bosan dengan kerjayanya.

Wright hadir ke ibu negara bagi mempromosikan program terbarunya yang bertajuk Invite Mr Wright yang akan disiarkan saluran TLC (Astro 707, jam 9 malam) mulai hari ini. Dalam program itu, Wright diundang sebagai tetamu oleh seorang selebriti yang cukup popular di sesebuah negara dikunjunginya. Antara negara yang dilawati termasuklah India, Singapura, Sri Lanka, Sepanyol dan Malaysia.

Info Program Invite Mr Wright
India (14 Disember)
Singapura (21 Disember)
Sri Lanka (28 Disember)
Sepanyol (4 Januari)
Jepan (11 Januari)
Malaysia (18 Januari).

  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.