Home > Entertainment > Hantu Kak Limah Balik Rumah ke tehran

Hantu Kak Limah Balik Rumah ke tehran

December 22nd, 2010 Leave a comment Go to comments

UCAPAN tahniah saya buat pengarah Mamat Khalid kerana filemnya, Hantu Kak Limah Balik Rumah menjadi bualan sembang di kedai kopi ketika ini. Beberapa dialog loghat Perak daripada filem itu sudah menjadi ikutan penonton, antaranya dialog Ucop (Shy8): “Kita bako (bakar) jelah!” dan nyanyian Husin (Awie) lagu Rahim Maafof, Cinta Kristal buat Cik Nin (Umie Nazeera) iaitu “Terus meman?chorr (memancar).”

Selain itu, ramai juga terbahak melihat Johan Raja Lawak yang muncul dengan skirt tudung saji ala Lady Gaga selepas terkejut melihat kelibat Kak Limah bertenggek dalam jamban. Pendek kata, banyak lagilah yang diajuk peminat yang terhibur hingga ramai yang ulang tonton dan mengeluh kehabisan tiket.

Bukan saja di Malaysia, malah ketika saya bercuti di Teheran, Iran ketika ini pun saya mende?ngar ada kru pesawat AirAsia X bercakap-cakap mengenai filem berkonsep jenaka ‘parody’ itu sewaktu mereka duduk melepak di Hotel Espinas yang tersergam indah di kota antik ini.

Pagi semalam, selepas bangun tidur kira-kira jam 6 pagi waktu Teheran, saya menghubungi Unit Rap di Kuala Lumpur untuk menyemak persiapan halaman dan bahan hiburan dengan wartawan, Ramlah Zainal. Kemudian, saya sempat bercakap pula dengan Mamat yang menghubungi saya selepas mendapat SMS saya.

“Alhamdulillah, kutipan dah lebih RM3 juta. Hujung minggu ini harap-harap bertambah lagilah rezeki Kak Limah kita tu. Memang abang gembira tapi kena kerja lebih keras lagi selepas ini untuk membuatkan orang ketawa, kalau boleh sampai terkencing dalam panggung!” kata Mamat dalam perbualan yang singkat itu.

Dalam pertemuan dengan Mamat di Ipoh, tempoh hari, dia beritahu saya, selepas ini dia terlintas mahu menerbitkan pula filem Rombongan Che Kiah Menunaikan Umrah. Dulu telemovie Rombongan Che Kiah Ke Sukan Komanwel yang turut dilakonkan Kak Limah (Delimawati) arahan Mamat juga digemari ramai.

Bagi saya, Mamat idea itu bagus kerana dia bijak mencipta resipi humor yang ada sindiran tajam kepada masyarakat kita. Kalau abang kepada Mamat, Datuk Lat, sangat pandai mencuit hati dalam lakaran kartunnya itu, adiknya pula bijak menghasilkan visual lucu di layar perak. Cuma tahun depan saya hendak tunggu bagaimana hasil filem bercorak serius arahan Mamat melalui Apokalips pula. Ia lakonan Farid Kamil.

Memandangkan saya terbang ke Republik Islam Iran menemani rakan lama saya, Edd Razhe yang juga orang kuat AirAsia untuk bercuti, saya terlepas juga tayangan prebiu filem Khurafat arahan Syamsul Yusof. Memang itu juga sebuah filem yang saya tunggu kerana mendengar ‘feedback’ yang bagus daripada mereka yang sudah menonton filem berkenaan, lagi pula ia arahan cukup berbeza daripada Syamsul yang selama ini sinonim dengan filem ‘action-packed’. Diharapkan Khurafat lakonan Liyana Jasmay dan Syamsul sendiri itu akan mendapat kutipan pecah panggung kelak.

Terlanjur berada di Teheran, saya juga akan cuba mencuri masa menonton filem bermutu terbitan Iran. Maklum sajalah sebelum ini Iran terkenal kerana mampu menghasilkan filem bermutu dan salah satu yang cukup disegani adalah Children of Heaven arahan Majid Majidi.

Sebelum ke Iran dulu, saya sendiri agak skeptikal mengenai corak kehidupan rakyatnya dan selepas tiga hari berada di sini, saya dapati mereka masyarakat yang maju, berfikiran terbuka dan daripada segi ketamadunan, siapa yang boleh menidakkan kehebatan budaya Parsi yang tersohor sejak berkurun-kurun lamanya. Iran adalah sebuah bumi yang cukup indah dan subur di hujung Laut Caspian.

Kalau ikutkan, saya, tidak perlu memegang pen dan kertas apabila bercuti di sini ketika ini, tetapi kalau sudah dasar hidup bergelumang dengan dunia penulisan, memang gatal juga tangan ini untuk mengambil nota asas mengenai sebuah negara yang melalui sejarah yang cukup panjang – dari zaman pembinaan ziggurat hinggalah kepada era kegemilangan Reza Shah Pahlavi yang membawa kepada Revolusi Islam Iran serta kebangkitan Ayatollah Khomeni.

Kebetulan ketika di sini juga, saya buat pertama kali berpeluang melihat sendiri sambutan Hari Asyura oleh rakyat Iran yang berfahaman Syiah. Mereka mengenang dan berkabung terhadap pembunuhan Imam Hussein di Karbala yang berlaku pada Muharam. Namun, upacara yang saya lihat itu tidak pula terlalu ekstrem sampai memukul badan berdarah-darah, sekadar yang ‘mild’ saja iaitu melibaskan ‘zanjir’ (sejenis rantai) ke kiri dan kanan bahu, mengusung hiasan berat yang dipanggil ‘alam’ dan menepuk-nepuk dada sebagai simbol simpati dan rintihan de?ngan nasib yang menimpa Imam Hussein. Ia nyata satu pengalaman yang begitu unik untuk saya memahami latar budaya dan pegangan rakyat Iran – roslenmetro@yahoo.com

  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.