Hantu Kak Limah Balik Rumah (HKLBR) Kutip Lebih 5 Juta
Penangan Hantu Kak Limah
JIKA filem Ngangkung mencatat rekod tertinggi kutipan filem Melayu, sekali gus membawa kejayaan besar kepada MIG Productions Sdn Bhd, satu lagi genre komedi seram, Hantu Kak Limah Balik Rumah (HKLBR) juga menjadi kebanggaan Tayangan Unggul Sdn Bhd apabila memberikan pungutan paling tinggi buat mereka.
Ngangkung arahan Ismail Bob Hasim yang ditayangkan di pawagam sejak 25 November lalu mencatat kutipan lebih RM8 juta selepas lima minggu tayangan untuk mengatasi rekod yang dipegang Adnan Sempit juga terbitan MIG dengan kutipan RM7.8 juta.
HKLBR arahan Mamat Khalid yang ditayangkan sejak 9 Disember pula mencecah angka RM5 juta pada Khamis lalu dan mencipta rekod paling tinggi dicatat filem terbitan Tayangan Unggul/Astro Shaw setakat ini.
Ini adalah filem ke-27 Tayangan Unggul manakala filem lain yang turut mencatat kejayaan besar ialah Lagenda Budak Setan (LBS) arahan Sharad Sharan dengan RM4.34 juta dan Papadom arahan Afdlin Shauki (RM3.5 juta).
Penerbit Eksekutif Tayangan Unggul, Gayatri Su-lin Pillai mengakui pihaknya tidak menyangka HKLBR akan mencatat kejayaan besar hingga mencecah kutipan RM5 juta.
Katanya, walaupun yakin garapan terbaru Mamat itu menghiburkan dan mampu menarik perhatian penonton, pihaknya tidak menyangka ia mampu mencatat fenomena besar.
“Saya bangga kerana HKLBR berjaya menarik masyarakat yang selama ini tidak berminat dengan filem Melayu. Ketika promosi di Ipoh, Perak, saya bertemu penonton yang mengakui tidak menyaksikan filem Melayu sejak 19 tahun lalu, tetapi tertarik untuk menonton HKLBR apabila mendengar kehebatannya daripada rakan.
“Ternyata dia gembira selepas menonton filem ini kerana ia tidak mengecewakan dan cukup berbaloi. Ramai memaklumkan mereka menontonnya lebih dari sekali.
“Apa yang lebih membanggakan pada awalnya filem ini ditayangkan di 46 panggung, tetapi selepas beberapa hari tayangan, ada permintaan daripada dua panggung di Taiping dan Brunei.
“Walaupun beberapa filem ditayangkan selepas HKLBR seperti Aku Masih Dara (16 Disember) dan Janin menyusul (23 Disember), filem dibintangi Awie, Johan Raja Lawak, Ummi Nazeera dan Zainuri Misfar masih ditayangkan di pawagam,” katanya.
Mengenai rahsia kejayaan HKLBR, Gaya mengakui ada banyak faktor yang membantu terutama ceritanya yang menarik dan filem Mamat sudah mempunyai pengikutnya sendiri.
“Kedua, sokongan daripada penonton Zombie Kampung Pisang yang turut mencatat kejayaan membanggakan dengan kutipan RM2.8 juta serta dibantu faktor lain seperti barisan pelakon dan juga strategi promosi yang lebih terancang.
“Selain kejayaan HKLBR, dua lagi filem kami yang mencatat kejayaan besar tahun ini ialah LBS dengan kutipan RM4.34 juta dan filem komedi bahasa Mandarin, Woo Hoo (RM4.2 juta). LBS ditayang 3 Jun lalu manakala Woo Hoo (14 Mei).
“Untul 2011, sebanyak 10 filem sudah siap dan bersedia untuk tayangan dimulakan dengan filem seram arahan James Lee, Sini Ada Hantu pada 10 Februari.
“Filem lain yang sudah siap ialah Cun arahan Osman Ali menggandingkan Maya Karin dan Remy Ishak, Seru arahan Pierre Andre, Tolong Awek Aku Pontianak (James Lee), Misteri Jalan Lama (Afdlin Shauki) dan Apokalips (Mamat Khalid),” katanya.
Gaya bangga kerana industri filem tanah air menunjukkan perkembangan yang sangat baik sejak dua tahun ini apabila banyak filem diterbitkan hingga satu filem ditayangkan selang seminggu sepanjang November dan Disember.
Katanya, dengan kehadiran banyak filem yang sedia ditayangkan pada 2011, tidak mustahil filem Melayu ditayangkan selang seminggu sepanjang tahun.
“Bagi saya, karyawan filem perlu berfikiran terbuka dan bersedia untuk bersaing secara sihat dengan tayangan satu filem selang seminggu berbanding sebelum ini selang dua minggu.
“Ini untuk mengelakkan berlakunya lambakan filem pada akhir tahun kemudian filem yang tidak dapat ditayangkan pada tahun itu dibawa ke tahun depan pula. Langkah tayangkan satu filem selang seminggu sepanjang November dan Disember ini membuktikan filem menarik mampu menarik penonton.
“Tidak perlu timbul persoalan apakah industri kita sudah bersedia atau tidak dengan keadaan ini kerana ia sesuatu yang bagus dan penonton berpeluang memilih filem yang terbaik untuk ditonton.
“Itulah yang ditekankan Tayangan Unggul/Astro Shaw selama ini apabila mempelbagaikan genre filem yang diterbitkan supaya penonton dapat membuat pilihan. Jumlah panggung juga bertambah dengan pembukaan lokasi baru seperti
di Terengganu,” katanya.
Bagaimanapun, Gaya mengakui beberapa filem terbitan syarikatnya yang ditayang tahun ini gagal mencatat kutipan tinggi seperti Kapoww hanya RM270,000 dan Appalam, filem Tamil yang diadaptasi daripada Papadom (RM750,000). Appalam yang ditayang serentak dengan Ngang?kung, masih ditayangkan di beberapa panggung.
Turut mencatat kutipan rendah bawah RM1 juta bagi filem yang ditayangkan sepanjang tahun ini ialah 2 Hati 1 Jiwa dengan kutipan RM400,000, Hooperz (RM290,000), Belukar (RM300,000),
Andartu Terlampau…21 Hari Mencari Suami (RM560,000), Estet (RM350,000), Krayon (RM53,000), 2 Alam (RM440,000) dan Aku Tak Bodoh (RM670,000).
Tayangan filem Melayu 2011 dibuka dengan filem Khurafat arahan Syamsul Yusof pada 13 Januari diikuti filem Haq pada 27 Januari.
Sementara itu, filem MIG yang bakal ditayangkan 2011 ialah Kembar Siang (2 Februari), Kongsi, 321 Cinta, Sekali Lagi, Senario Ops Pocot dan Keramat.
Selain Khurafat, Skop Productions Sdn Bhd juga mempunyai beberapa filem yang sudah siap seperti KL Gangster dan Aku Bukan Tomboy manakala filem baru pula ialah sekuel Bohsia.