Getaran seni ‘permata’ negara
Getaran seni ‘permata’ negara

SIAPA dapat menyangka sebuah konsert yang julung kali diadakan oleh kalangan bakat permata cilik negara mampu membuat penonton begitu kagum dan terpesona sehingga melangkaui kata-kata.
Konsert Permata Seni yang berlangsung selama dua hari di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 14 dan 15 Disember lalu bukan sahaja berjaya menghibur, malah telah membuktikan bakat anak kecil setanding penggiat seni ternama dunia.
Lebih 150 kanak-kanak berumur antara enam hingga 12 tahun diberi peluang memukau lebih 2,000 penonton awam melalui dua sesi persembahan pada 14 Disember serta lebih 1,400 tetamu jemputan khas pada persembahan 15 Disember lalu yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta isteri, Datin Seri Rosmah Mansor selaku Penaung Permata.
Turut berkenan berangkat ke konsert tersebut pada malam 15 Disember itu termasuk Sultanah Kedah Sultanah Haminah Hamidun; Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar; Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman; Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan isteri, Datin Seri Masnah Rais serta ibu bapa peserta konsert berkenaan.
Melangkau sasaran
Sambutan menggalakkan sejak minggu pertama bulan Disember untuk 1,300 tiket konsert percuma pada pukul 8.30 malam, 14 Disember lalu menyebabkan satu lagi sesi persembahan ditambah pada pukul 3 petang hari yang sama.
Sesi tertutup untuk 1,400 jemputan khas pada malam 15 Disember juga penuh di samping turut disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) di TV2 bagi memberi peluang kepada mereka yang gagal mendapatkan tiket menonton persembahan tersebut melalui televisyen di rumah.
Persembahan konsert selama 90 minit itu dibahagikan kepada tiga segmen yang bermula dengan Segmen Permata Seni Tari yang penuh warna-warni dengan pemakaian kostum pelbagai tema di samping latar belakang yang menggambarkan budaya dan cara hidup masyarakat majmuk di Malaysia.
Sebanyak lima koreografi tarian pelbagai kaum menggamit perhatian penonton yang tidak menyangka kehalusan seni tari yang sinonim dengan Istana Budaya nyata sekali dipersembahkan dengan jayanya oleh sekumpulan kanak-kanak seawal usia tadika sahaja.
Melihatkan gelagat adik comel mengekalkan ragam tari yang kemas sesama rakan sebaya sambil mengekalkan senyuman manja membuatkan penonton tersenyum menahan tawa kecil.
Menghayati persembahan bersahaja anak-anak kecil itu melalui lima koreografi tarian berturut-turut menyebabkan masa berlalu tanpa disedari sebelum bermula pula segmen kedua, Segmen Permata Seni Koir yang mempersembahkan lima seleksi lagu koir.
Kumpulan koir berpakaian ala putera-puteri kecil ini bukan sahaja mampu mengikut rentak peneraju koir dengan tepat malahan menyampaikan intonasi pelbagai yang nyata sekali sukar dilakukan golongan dewasa.
Lebih mengagumkan, kanak-kanak ini begitu lincah menari sambil menyanyikan pelbagai nada lagu dengan beza rentak dari klasikal kepada hip hop.
Persembahan semakin mengasyikkan dengan penggunaan cahaya laser, alunan bunyi pelbagai alat muzik dan mesin buih belon yang memberi kesan dramatik kepada persekitaran penonton.
Segmen ketiga iaitu Segmen Permata Seni Muzik kemudian membawa penonton kembali ke sudut tenang pementasan sebelum semua dikejutkan dengan lonjakan rentak orkestra yang bergema kuat di Panggung Sari.
Muzik orkestra yang mampu meruntun emosi jiwa pendengarnya berjaya disampaikan pada tahap kesempurnaan pemuzik profesional antarabangsa sehinggakan ada hadirin yang tergamam dengan kemampuan kumpulan permata cilik ini.
Melalui empat susunan lagu orkestra klasikal, kumpulan ketiga Permata Seni membawa kepada penghujung persembahan berkumpulan pada konsert itu dengan persembahan solo klasikal seorang genius piano.
Ketiga-tiga kumpulan turut menerima tepukan gemuruh dengan semua penonton termasuk para pemimpin negara bangun memberikan penghormatan di penghujung segmen.
Kemuncak malam persembahan Permata Seni membawa kepada gabungan ketiga-tiga kumpulan seni tari, koir dan muzik secara simbolik menggambarkan perpaduan rakyat dan gagasan 1Malaysia.
Kumpulan lebih 150 kanak-kanak ini kemudian mempersembahkan beberapa lagu medley lagu-lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang terkenal di kalangan rakyat negara ini sebagai penutup tirai konsert.
Pengiktirafan
Sesuai dengan temanya ‘Menggilap Bakat Muda, Menyerlah Rentak Bangsa’, Konsert Permata Seni yang pertama ini turut menerima pengiktirafan Perdana Menteri.
“Saya berani katakan semua penonton di sini dan di rumah terpesona dengan persembahan tadi.
“Bagi pihak kerajaan dan rakyat, saya ucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para peserta Permata Seni, jurulatih dan penaungnya,” kata Najib selepas persembahan tersebut.
Perdana Menteri juga percaya konsert tersebut merupakan titik permulaan kepada persembahan berterusan anak seni Malaysia yang pasti akan mengharumkan nama negara di persada antarabangsa kelak.
“Saya kagum dengan persembahan tadi yang menampilkan bakat yang menyerlah di kalangan anak-anak Permata Seni.
“Ini adalah bukti anak-anak Malaysia berbakat yang jika digarap dan digilap boleh sampai ke peringkat dunia,” ujarnya.
Program Permata merupakan hasil cetusan idea Rosmah sebagai program asuhan dan didikan awal kanak-kanak yang memberi tumpuan kepada perkembangan bakat terutama seni dalam kalangan kanak-kanak di negara ini.
Rancangan untuk melanjutkan konsert tersebut ke luar negara juga mungkin diteruskan jika mendapat peruntukan yang cukup daripada kerajaan atau sektor swasta sebagai satu cara menonjolkan bakat seni di kalangan kanak-kanak Malaysia ke pentas dunia.
Di sebalik semua pujian yang menghujani para peserta, kegigihan kanak-kanak kecil ini berlatih sepanjang tahun dan keyakinan mereka bersatu untuk mempersembahkan konsert besar amat menyentuh hati.
Dengan pelbagai perkembangan di dalam dan luar negara kini, amat ‘menyegarkan’ bagi golongan dewasa menyaksikan kesucian anak-anak kecil yang bersatu tanpa mengira bangsa, agama mahupun status diri di pentas, berani menghadapi siapa sahaja.
Bukan kerana terpaksa, mereka mempersembahkan bakat dengan penuh kegembiraan tanpa mengharapkan habuan dan balasan.
Jika seni kebudayaan mengukir sejarah sebuah tamadun, maka tepat masanya bakat-bakat kecil ini diberi peluang melakar sejarah negara bertuah ini yang penuh budaya, kaya bahasa dan halus seninya.
Biarlah mereka melakar peradaban negara ke arah kegemilangan kesopanan dan kesusilaan, merapat hubungan ke arus kejayaan sejajar dengan pembentukan modal insan berteraskan jati diri dan budi pekerti, penyambung warisan.