Erra Fazira, Zizan Nin, Muzikal Tun Mahathir
Ketiadaan Erra, Zizan tidak jejas pementasan Muzikal Tun Mahathir
PEMENTASAN musim kedua Muzikal Tun Mahathir mencetuskan pelbagai reaksi, terutama dari segi rasional muzikal itu dipentaskan semula berikutan hasilnya yang sedikit mengecewakan ketika ia dipersembahkan buat julung kali, Oktober lalu.
Biar apapun reaksi orang ramai, CTRA Production akan tetap kembali mementaskan muzikal itu, apatah lagi mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir sendiri tiada halangan dengan rancangan pementasan semula muzikal berkenaan.
Surat permohonan untuk mementaskan kembali muzikal itu dibalas Tun dalam tempoh tiga hari, malah beliau turut menyatakan persetujuan untuk hadir menyaksikannya setelah terlepas berbuat demikian pada musim pertama.
Antara reaksi orang ramai terhadap pementasan itu seperti membosankan, malah ada yang melabelkannya sebagai pertunjukan bertaraf sekolah kerana penggunaan set yang kelihatan murah, tidak bersesuaian dengan bajet, nyata tidak mematahkan semangat penerbitnya Siti Rohayah Atan.
Kontroversi terus dicetuskan apabila berita mengenai pementasan semula muzikal itu tersebar. Semakin banyak cerita kurang enak yang timbul. Kali ini bersangkut paut dengan pemegang watak utamanya.
Kononnya dua pelakon yang memegang watak utama dalam pementasan berkenaan iaitu Erra Fazira yang berlakon sebagai Tun Dr Siti Hasmah dan Zizan Nin yang memegang watak Tun Mahathir sewaktu muda menggunakan alasan kesibukan mereka untuk tidak lagi terbabit dengan pementasan ini.
Malah ada juga yang mendakwa seorang daripada pelakonnya sengaja memberikan alasan pertindihan jadual kerja, namun pada hakikat, mereka sebenarnya tidak mahu lagi terbabit kerana ‘malu’ dengan jalan cerita muzikal berkenaan yang kononnya ‘entah apa-apa’.
Bagi mengelakkan diri juga, ada yang sanggup meletakkan harga tinggi sebagai alasan berbuat demikian. Namun semua spekulasi itu disifatkan Siti Rohayah sebagai tidak berasas dan sengaja direka-reka.
Siti Rohayah berkata, beliau melihat sendiri jadual kerja Erra Fazira yang ditunjukkan pembantu peribadinya, Pojie. Jadual primadona filem Melayu itu sememangnya padat. Malah bagi pementasan musim pertama dulu, dia terpaksa menempah Erra setahun lebih awal..
“Saya tidak percaya dengan dakwaan mengatakan mereka malu untuk berlakon lagi dalam muzikal ini. Erra sendiri berkali-kali mengirim khidmat pesanan ringkas (SMS) memohon maaf kepada saya kerana tidak dapat turut serta untuk musim kedua. Kalau ikutkan rasa hati, memanglah saya kecewa kerana Erra tidak lagi bersama kami, tetapi sekiranya dia terbabit kali ini, dia hanya dapat bersama-sama dengan kami untuk dua malam saja.
“Selebihnya Erra perlu menjalankan tugasnya sebagai mentor untuk program realiti Mentor (TV3) pada tahun depan. Kami pun tak mahu mengikat dia, jadi kami perlu mencari pengganti Erra untuk membawakan watak Tun Siti Hasmah. Memang tak dinafikan kami kesuntukan masa memandangkan pementasan hanya tinggal kurang sebulan saja lagi.
“Kami sudah menyenarai pendek beberapa nama, malah skrip pementasan ini sudah kami kirimkan menerusi e-mel kepada beberapa pelakon, tetapi saya belum bersedia untuk mengumumkannya sekarang.
“Selain itu kami turut mengambil kira pandangan daripada peminat menerusi laman sosial Facebook. Ada seorang aktres terkenal menjadi pilihan paling banyak di Facebook, tetapi kami masih lagi berkira-kira untuk melamar pelakon berkenaan,” kata Siti Rohayah.
Mengulas pula mengenai pengunduran Zizan daripada pementasan itu, Siti Rohayah berkata, Zizan menunjukkan minat untuk terbabit sekali lagi dalam pementasan itu tetapi malangnya harga yang dipinta pelakon itu melalui syarikat pengurusannya terlalu tinggi dan disifatkan Siti Rohayah tidak pernah berlaku di dalam sejarah Istana Budaya.
Kata Siti Rohayah, sepatutnya untuk pementasan kedua, pelakon akan dibayar lebih rendah berikutan waktu latihan juga lebih singkat.
“Zizan memang bersungguh-sungguh ingin menyertai kembali pementasan ini, malah dua kali pengurusnya bertemu dengan saya untuk berbincang mengenai projek terbabit. Tetapi malangnya mereka meletakkan harga yang terlalu tinggi. Ia jumlah yang tidak munasabah dan tidak pernah berlaku dalam sejarah sebuah teater. Apatah lagi kami juga tidak mempunyai bajet sebanyak itu.
“Dakwaan mengatakan ada pelakon yang malu dengan jalan cerita pementasan ini adalah mengarut. Jika mereka malu, sudah tentu awal-awal lagi mereka menarik diri kerana mereka mempunyai masa sewaktu kami menyerahkan skrip dan juga ketika sesi bacaan skrip. Jika dari awal mereka berasakan jalan cerita pementasan ini memalukan, kenapa mereka tidak tarik diri dari dulu lagi? Sebaliknya mereka terus juga terima tawaran kami,” kata Siti Rohayah lagi.
Sementara itu, bagi memantapkan persembahan kali ini, beberapa rombakan kecil akan dilakukan seperti yang dicadangkan oleh mereka yang pernah menontonnya.
Namun Siti Rohayah berkata, untuk memaparkan kehidupan Tun Mahathir selama 84 tahun dalam pementasan selama dua jam ialah satu tugas yang mencabar. Sebaliknya mereka terpaksa memilih kisah yang dramatik untuk disesuaikan dengan sebuah pementasan teater.
“Saya tidak marah dan saya juga tidak kecewa dengan setiap teguran. Kalau saya mengikut emosi, saya tidak akan buat lagi teater ini. Hendak mementaskan sejarah hidup Tun Mahathir selama 84 tahun kehidupannya, dalam masa dua jam setengah memang tidak terdaya, jadi kami cuba hasilkan apa yang termampu,” katanya mengenai muzikal yang mencatat hampir 20,000 penonton.
TEATER Muzikal Tun Mahathir terbitan CTRA Production bakal dipentaskan semula dari 21 – 30 Januari 2011 di Istana Budaya. Layari www.ticket2u.biz dan hubungi 03-4026 5558 / 03-4147 8600 / 03-6186 6592 untuk maklumat lanjut dan tempahan tiket