Kereta Porsche putus dua

BAHAGIAN depan kereta Porsche yang remuk teruk di bahagian tempat duduk.
WARSAW – Sebuah kereta Porsche 911 Carrera putus dua selepas pemandunya yang berusia 18 tahun hilang kawalan dan merempuh sebatang tiang lampu di Krakow Lublanska, Poland, lapor sebuah akhbar semalam.
Kemalangan itu berlaku pada Jumaat lepas namun, pemandu tersebut cuma patah kedua-dua belah kaki selain kecederaan yang lain menyebabkan dia dirawat di sebuah hospital.
Jurucakap polis, Dariusz Nowa berkata, terdapat ais di atas jalan menyebabkan kereta itu terbabas.
Kereta itu dianggarkan berharga AS$125,000 (RM383,082.45). – Agensi
Kereta BMW diperbuat daripada batu

BAHAGIAN depan kereta BMW yang diperbuat daripada batu di Shenzheng, wilayah Guangdong, China kelmarin.
BEIJING – Seorang artis, Dai Geng menjual kereta BMW yang diperbuat dengan batu pada harga £80,000 (RM383,652).
Geng mengambil masa lebih setahun mencantum semua blok batu itu sebelum mengukirnya menjadi BMW Z4.
Pintu kereta itu yang boleh dibuka dan ditutup seperti kereta biasa turut diperbuat daripada batu.
Hanya tingkap kereta sahaja tidak dibuat dengan batu. Tayar, roda, paip ekzos dan aksesori lain semuanya dari bongkah batu.
Kereta BMW itu sepanjang lima meter, 2.15 meter lebar dan tinggi 1.6 meter serta seberat 6.5 tan.
Dia berharap dapat menjual kereta itu kepada hartawan di negara itu.
Kereta itu dipamerkan di Shenzheng, wilayah Guangdong, tenggara China kelmarin. – Agensi
Tokek digilai pemburu haram
Oleh MOHD. ZAINI SAMSU HADI
zaini.hadi@kosmo.com.my
 |
|
TOKEK yang menjadi kegilaan pemburu haram di negara ini kerana didakwa mampu merawat pelbagai penyakit.
|
KUALA LUMPUR – Tokek atau gikgo. Apakah sebenarnya keistimewaan haiwan ini sehingga ramai pemburu mahu memiliki haiwan tersebut. Tanpa disedari ramai pemburu haram kini sanggup meredah hutan di Semenanjung bagi mencari tokek.
Tokek didakwa mampu dijual pada harga mencecah puluhan juta ringgit dan paling kurang RM20,000 bagi setiap seekor.
Ekoran kegilaan dengan harga lumayan itu, pemburu haiwan kini mula memberi tumpuan mencari haiwan tersebut di serata hutan.
Dikatakan sebelum nama tokek meniti mulut ke mulut dalam kalangan rakyat negara ini, haiwan itu terlebih sudah popular di Indonesia.
Bayangkan, tokek pernah menjadi produk perniagaan bagi penduduk yang tinggal di kawasan perkampungan miskin pedalaman Indonesia seperti di Banjarsawah.
Mereka sanggup meredah hutan dan menangkap haiwan itu.
Tokek didakwa mula menarik perhatian apabila ramai ahli perubatan China dan Korea percaya lendir daripada haiwan itu mampu merawat kanser, penyakit kulit serta pernafasan.