Archive

Archive for the ‘Travel’ Category

Prestasi buruk pelancongan Mesir

February 15th, 2011 No comments


MESIR sunyi sepi tanpa pelancong sejak tercetusnya rusuhan di negara itu penghujung Januari lalu.


SEPERTI ada yang tidak kena di lokasi kemegahan pelancong di Mesir itu. Selama ini, Giza yang terletak di kawasan pinggiran ibu negaranya, Kaherah penuh dengan lambakan pelancong seantero dunia kerana piramid-piramidnya, kini sunyi sepi.

Daniel Tham dari Malaysia turut merasai keadaan itu. Daniel seperti pelancong- pelancong lain tidak melepaskan peluang merakam gambar terutama piramid-piramid sebagai kenangan. Namun, dia merasakan seperti ada kekurangan. Ya, ke manakah perginya orang-orang tempatan di negara itu dan ke manakah pergi pengunjung-pengunjung lain?

Daripada ribuan pelancong asing yang lazimnya memenuhi bas, tetapi pada Rabu lalu hanya Daniel dan rakannya saja yang ada. Lebih malang, mereka hanya berpeluang merakam gambar piramid yang merupakan salah satu keajaiban dunia itu dari jarak jauh. Semuanya gara-gara pintu gerbang memasuki lokasi bersejarah itu dikunci sejurus selepas tercetusnya rusuhan di negara itu penghujung Januari lalu.

“Banyak lagi yang ditutup, agensi-agensi pelancongan juga tak boleh membawa kami ke mana-mana, satu lagi, di sana tiada perkhidmatan kereta api,” keluh Daniel ketika ditemui Reuters.

Kata Daniel, rancangannya tidak menjadi kenyataan. Dia hanya melihat saja sebahagian pemandangan dan sejarah hebat Mesir walhal ada banyak lagi yang perlu dilawati.

Pengunjung takut

Pergolakan berdarah itu menyebabkan ramai pengunjung luar berasa takut. Mereka segera berkampung di lapangan terbang. Tujuan mereka hanya satu. Kesemuanya mahu keluar dari negara itu. Ia bukanlah masa yang sesuai untuk bergembira dan percutian harus dibatalkan serta-merta.

Dengan berbuat demikian, bermakna mereka memberi prestasi buruk terhadap industri pelancongan Mesir dan ekonominya.

Fouad Hassan, 63, seorang rakyat tempatan juga mengeluh. Pintu rezekinya tertutup. “Kami mahu hidup dengan aman, orang luar telah pun pulang ke negara masing-masing. Sampai bila keadaan ini akan berterusan,” kata Fouad yang terpaksa menutup kedai cenderamatanya.

Di sebalik kemurungan itu, ada satu perkara yang perlu diketahui. Kebanyakan pemandu pelancong dan peniaga-peniaga di Giza menyokong kepimpinan Presiden, Hosni Mubarak. Mereka cukup marah dengan penunjuk perasaan yang mahu menjatuhkan Presiden mereka.

“Beliau (Mubarak) telah melakukan yang terbaik, kamu tahu? Pada masa yang sama, beliau juga banyak mengubah 90 hingga 95 peratus wajah Mesir seperti yang dilihat sekarang ini,” beritahu Abdullah, 35, yang merupakan pemandu pelancong yang sudah kehilangan pelancong.


GAMAL, 54, menunggu pelancong untuk menggunakan khidmat untanya di Giza, Mesir.


Mubarak dikatakan telah melaksanakan pelbagai transformasi. Di tengah-tengah Kaherah misalnya, iaitu jalan yang menjadi kawasan pergolakan sebenarnya terletak dalam lingkungan kawasan Muzium Mesir yang terkandung mumia-mumia, harta karun, barang antik sejak zaman Firaun. Ia menjadi fokus utama kerajaan negara itu dalam aktiviti pelancongannya.

Piramid Giza yang terletak 15 kilometer (km) dari pusat bandar Dataran Tahrir, dianggap terlalu ‘tenang’ bagi penduduk tempatan. Dulu, kawasan itu tidak putus-putus dikunjungi pelancong luar. Situasi itu sememangnya sangat janggal.

Jalan-jalan yang berdebu dekat piramid-piramid itu lazimnya sarat dengan lalu-lalang unta begitu juga dengan penjual minyak wangi dan orang ramai. Tapi kini, semuanya lenyap.

Sungguh mengecewakan apabila pemilik-pemilik kedai hanya duduk di depan kedai masing-masing. Rusuhan kata mereka, telah menjerat perniagaan yang diusahakan. Sokongan kepada Mubarak sebelum ini, telah menyelamatkan mereka dan berjaya menggamit jutaan pelancong ke Mesir setiap tahun.

Mubarak diberi jolokan sebagai ‘Firaun’ oleh sesetengah rakyat Mesir. Mereka menggambarkan Presiden mereka sebagai seorang yang bersekongkol dengan Barat dan orang-orang sekelilingnya dijadikan sebagai benteng kestabilan.Ramai yang mengkritik bahawa kerajaan yang dikendalikan oleh Mubarak sangat kejam, suka menindas dan penuh dengan unsur rasuah.

Kepimpinan yang kejam

Pasukan Mubarak juga dilaporkan berjuang dalam pemberontakan kekerasan orang Islam di selatan Mesir pada tahun 1990-an. Pemberontakan itu melibatkan serangan berdarah ke atas pelancong-pelancong di Luxor. Justeru, Mubarak mengambil langkah menempatkan askar-askar untuk menjaga kawasan kereta api, resort dan lokasi yang menjadi tumpuan ramai.

“Ia selamat dan ia benar-benar selamat dengan adanya Mubarak,” kata Ayman yang merupakan penjual cenderamata. Ketika itu dia duduk di luar kedainya yang dipenuhi dengan poskad, daun papyrus, seramik dan barang hiasan berbentuk piramid.

Sebelum tercetusnya rusuhan, industri pelancongan Mesir berkembang secara konsisten selama beberapa dekad lamanya sebelum bom diledakkan di Semenanjung Sinai, yang terletak di antara Laut Mediterranean dan Laut Merah, Mesir. Lebih 12 juta pelancong berkunjung ke Mesir pada tahun 2009 dengan janaan pendapatan mencecah AS$11 bilion (RM33.5 bilion).

Pada hari-hari biasa kata Ayman, lazimnya dia melihat sekitar 200 hingga 300 pelanggan di kedai dekat Sphinx, sebahagian besarnya dari Eropah. Tapi pada Rabu lalu, hanya tiga orang saja datang ke situ.

Namun jiran lelaki itu, Gouda Fayed, 55, ada pandangan tersendiri. Sambil menghirup teh di kedainya yang penuh dengan monumen yang melambangkan keagungan Mesir 4,500 tahun lalu dia berkata: “Saya pasti, jika semuanya tamat, segala-galanya akan kembali seperti biasa.” – Reuters

Kota Palmyra, Syria

January 3rd, 2011 No comments

BUMI peradaban sejarah, agama dan seni bina yang mengagumkan. Itulah gambaran tepat keunikan Syria sebagai destinasi pelancongan yang terkenal di rantau Arab.

Sudah pasti, bagi mereka yang mahu berkunjung ke sini, kembara harus bertumpu ke tiga permata pelancongannya iaitu kota sejarah dan pahlawannya iaitu di Kota Palmyra, Temple of Bel dan kubu pahlawan tersohor Islam, Salahudin Al-Ayubi di Lattakia.

Bagi penulis, antara pengalaman menarik sepanjang 10 hari mengikuti program Festival Laluan Sutera 2010 anjuran Kementerian Pelancongan Syria, baru-baru ini, adalah kesempatan melihat keagungan peradabannya yang terus berdiri kukuh sehingga ke hari ini.

Pengalaman menunggang unta sejauh 1 kilometer bertemankan cuaca panas dan debu pasir menghala ke Kota Palmyra di Syria, mengingatkan penulis dengan kaitannya dalam sejarah Laluan Sutera yang menjadi simbolik pelancongan yang terkemuka di republik berkenaan.

Kota Palmyra atau dikenali Tadmor Kuno, terletak kira-kira 210 kilometer ke timur laut Damsyik, adalah pusat terpenting yang menyaksikan rangkaian utama pertemuan perdagangan antarabangsa Laluan Sutera yang menghubungkan Timur Tengah atau Asia Barat dengan India dan China.

Malah, laluan bersejarah itu antara pencetus peradabannya dan sejarah seni bina tamadun kuno yang begitu mengagumkan di mata dunia.
Tidak hairanlah, Kota Palmyra yang menjadi antara destinasi utama pelancongan Syria, dinobatkan Tapak Warisan Dunia dengan beberapa kesan tinggalan sejarahnya masih boleh dilihat.

Di sebalik seni binanya yang indah, tidak kurang menariknya adalah kewujudannya yang dikaitkan dengan kehebatan Ratu Zenobia – pemerintah bangsa Arab dan pemimpin tentera yang memiliki sifat kepemimpinan dan jiwa ketenteraan bagi memacu kepesatan tamadun ketika itu.

Malah, bukti kehebatannya itu terserlah sebaik memasuki pintu gerbang Kota Palmyra yang disambut sisa runtuhan tegap berdiri di samping barisan tiang-tiang besar yang penuh dengan keunikan ukiran yang menjadi mesej atau lambang pada era zaman lampau berkenaan.

Bagi melancarkan maklumat mengenai kota sejarah itu, penulis berpeluang menyelaminya menerusi persembahan pentas hikayat Ratu Zenobia yang diadakan pada sebelah malamnya di kawasan amphiteater yang juga tinggalan tapak bersejarah di kawasan itu.

Mengikut sejarah, Zenobia yang lahir dan dibesarkan di Palmyra, memiliki nama asal iaitu Rom Iulia Aurelia Zenobia. Kehebatannya terserlah menerusi keupayaan mengawal bala tentera pada zaman perang.

Tidak jauh dari Kota Palmyra, destinasi wajib dikunjungi adalah Temple of Bel yang memaparkan binaan unsur-unsur pemujaan terhadap dewa matahari, bulan dan bintang. Binaan Temple of Bel ini yang turut mendapat sentuhan tempias kewujudan Kota Palmyra, boleh dilihat menerusi seni bina tiang dan ukiran pada dinding-dinding yang menyerlahkan kepercayaan pada zaman Rom-Yunani.

Seperti tempat bersejarah lainnya, kewujudan Temple of Bel itu dirujuk golongan Greek sebagai Zeus dan manakala kalangan Rom pula menggelarnya Jupiter. Setiap binaan di bahagian utaranya melambangkan 12 simbol Zodiak.

Tidak lengkap kunjungan ke Syria tanpa bertandang ke tapak kesan tinggalan keagungan Islam di Kubu Salahudin Al-Ayubi di Lattakia, timur Syria yang turut menepati gelaran negara Arab itu sebagai bumi Anbiya.

Selain keberanian dan kepahlawanannya, Salahudin juga mengharumkan nama Islam menerusi kejayaan menakluk wilayah sambil menyebarkan pengaruh Islam. Nama sebenarnya, Sholahuddin Yusuf bin Ayyub, Atau Saladin lahir pada abad1137 Masihi, di kota Tikrit yang terletak berhampiran dengan Sungai Tigris, kira-kira 140 kilometer dari kota Baghdad.

Semasa kecilnya Salahuddin Al Ayubi mendapat pendidikan ilmu ketenteraan daripada bapa saudaranya Asaddin Shirkuh atau Assaddudin Shirkuwah seorang panglima angkatan perang. Antara kehebatan Salahudin yang mendapat pendidikan ilmu sains dan peperangan, adalah kejayaannya merampas kembali bumi Palestin dari tentera Salib.

Antara kesan tinggalan kehebatan Salahudin di Syria boleh dilihat Kubu Salahudin atau turut dirujuk sebagai Istana Salahudin. Kawasan puncak bukit itu dikelilingi tebing besar yang pasti membangkitkan nostalgia kehebatan pejuang Islam berkenaan.

Info
Republik Arab Syria

Ibu Negara: Damsyik
Bahasa rasmi: Bahasa Arab
Jumlah penduduk: Anggaran 19 juta (Banci 2007)
Iklim: Suhu Mediterranean dengan empat musim berbeza.
Suhu: 32 darjah Celsius pada musim panas
Waktu sesuai lawatan: September
Mata Wang: Pound Syria
Maklumat lanjut: www.syriatourism.org

Categories: Travel Tags: ,

Manado, Sulawesi Utara

January 2nd, 2011 No comments

Manado di Sulawesi Utara menempatkan Taman Marin Negara Bunaken yang begitu mendamaikan dan indah bak syurga. Kawasan perairan habitat lebih 2,500 spesies ikan dan 70 jenis karangan laut ini pernah disenaraikan 10 lokasi snorkeling terbaik dunia. Namun Manado menawarkan pelbagai destinasi pelancongan lain yang wajib dikunjungi.

KALAU menyebut nama Manado, tentu kita terus mengaitkannya dengan nama primadona filem Melayu popular pada era 1950-an, Maria Menado, jelitawan berasal dari ibu kota wilayah utara Sulawesi ini. Manado juga tempat asal Imam Bonjol, ulama dan pendakwah Islam terkemuka di Indonesia satu ketika dulu.

Penulis melalui pengalaman amat menarik ketika melawat bandar Manado, baru-baru ini bersama rakan dalam Kelab G15. Kami sempat ke makam ulama terkenal itu walaupun pada mulanya memang tiada dalam senarai lawatan kami. Untuk makluman, Manado juga kadang-kala dieja Menado.

Kami berangkat ke Manado dengan menempuh penerbangan selama empat jam sebelum tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sam Ratulangi. Ternyata ia bandar yang amat menarik, dikelilingi kawasan pergunungan dengan panorama menghijau.

Manado adalah ibu kota Wilayah Sulawesi Utara yang mempunyai kepadatan penduduk seramai 405,000 orang dan bandar kedua terbesar di Kepulauan Sulawesi selepas Makasar di Sulawesi Selatan. Jika mahu ke Makasar dari sini, perlu menaiki penerbangan selama satu setengah jam lagi.

Kawasan ini terkenal dengan pelancongan eko dan menjadi tumpuan penggemar selam skuba serta aktiviti snorkling yang berpusat di Pulau Bunaken dalam kawasan Taman Marin Negara Bunaken yang menempatkan 2,500 spesies ikan dan 70 jenis karangan laut.

Malah, Bunaken dimasukkan dalam senarai 10 lokasi `snorkeling’ 2008 oleh majalah maya, ForbesTravel.com dan destinasi terawal diisytiharkan sebagai taman laut di Indonesia. Aktiviti pelancongan eko di sini menjadi tumpuan pelancong asing.

Tidak hairanlah Manado pernah menjadi tuan rumah Persidangan Lautan Dunia 2009 yang dihadiri wakil kerajaan 70 negara, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Bahasa yang digunakan di sini adalah ‘Manado Malay’ atau ‘Minahasa Malay’ yang sesetengahnya ada persamaan dengan bahasa Melayu di negara kita. Jika kita menyebut `anda’, mereka merujuknya sebagai `ngana, kami (torang), sapu tangan (lenso) dan kasut atau sepatu (chepatu).

Pemandangan bandar Manado dari udara memang menawan dan ia dinikmati kami pada hari kedua ketika dibawa melawat Minahasa, sebuah kawasan tanah tinggi yang terkenal dengan kecantikan bunga-bungaan segar, gunung berapi dan sawah padi.

Kami juga melawat Woloan di mana ada warga tempatan membuat replika rumah tradisional Minahasa untuk jualan. Makan tengah hari disediakan di sebuah restoran berlatarbelakangkan Danau Tondano yang segar, nyaman dan mengasyikkan. Kemudian kami dibawa menyegarkan diri di kolam air panas di Rano Lewo.

Bila badan kembali segar, kami membuat keputusan menziarahi Makam Tuanku Imam Bonjol atau nama sebenarnya Peto Syarid Ibnu Pendito Bayanuddin. Cuaca ketika itu hujan gerimis, namun tidak mematahkan semangat kami untuk singgah di tempat persemadian tokoh pejuang Indonesia dan pendakwah terkenal ini.

Makam ini terletak di kawasan Lota, Minahasa. Imam Bonjol yang berasal dari Tanjong Bungo/Bonjol di Sumatera Barat, lahir pada 1774 dan meninggal dunia pada 6 September 1854. Pada 1847 beliau ditangkap oleh pihak Belanda dan dibuang daerah ke Cianjur, Jawa Barat sebelum dipindahkan ke Ambon dan akhirnya ke Lota.

Kesempatan berkunjung ke makam ini memberi peluang kami menghadiahkan al-Fatihah kepada Allahyarham dan menghulurkan sedikit sumbangan ikhlas. Atas jasa Allahyarham, pemerintah Indonesia memberikan penghormatan dengan memberikan status Pahlawan Nasional Indonesia pada 6 November 1973.

Nama Allahyarham diabadikan pada jalan, stadium dan universiti, manakala gambarnya dicetak pada wang kertas 5,000 rupiah Indonesia. Bagi kami, kembara bersejarah ini memberikan satu memori indah betapa luhurnya perjuangan seorang hamba Allah dalam menegakkan kebenaran dan maruah bangsa walaupun nyawa sendiri terancam.

Lawatan kami seterusnya lebih bertumpu di sekitar bandar Manado di mana terdapat pusat beli-belah seperti Manado Town Square dan Megamall. Makan malam kami dihidangkan dalam bentuk masakan Padang di Restoran Duta Minang dan pelancong yang ingin mencari cenderahati kenangan tidak perlu risau kerana peniaga jalanan ada di mana-mana.

INFO: Manado
# Agama utama, Kristian.
# Kristian dikembangkan pendakwah Belanda seawal 1658.
# Bahasa digunakan, Melayu Manado atau Melayu Minahasa.

Categories: Travel Tags: ,