Archive

Archive for the ‘Sport’ Category

Rajagobal naik angin

July 4th, 2011 No comments

SEMANGAT juang Harimau Malaya benar-benar tercabar apabila diberikan tentangan sengit hingga ke wisel penamat oleh Taiwan pada perlawanan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 zon Asia di Stadium Taipei, semalam.

Skuad kendalian ketua jurulatih negara, Datuk K Rajagobal mencatatkan kekalahan pertama sejak penghujung tahun lalu apabila tewas 2-3 namun ia sudah cukup untuk memastikan tiket Harimau Malaya ke pusingan kedua dengan agregat 4-4 (menang hasil peraturan gol tempat lawan) untuk menentang Singapura yang sedia menanti pada aksi penghujung bulan ini.

Namun kemenangan itu jelas tidak menggembirakan Rajagobal yang jelas berang dengan barisan pemain negara terutamanya selepas menghadiahkan tiga sepakan penalti.

“Secara keseluruhan saya kurang gembira walaupun berjaya mara ke pusingan kedua. Ini bukan permainan kita yang sebenar.

“Sepatutnya kita bermain seperti biasa iaitu tenang serta melakukan hantaran pantas dan sepatutnya gol pertama memberikan ketenangan namun sebaliknya yang berlaku apabila barisan pertahanan leka dan menghadiahkan gol penyamaan kepada lawan,” ketika ditemui selepas perlawanan.

Tambahnya tiga penalti yang diberikan kepada lawan secara tidak langsung membangkit semangat melawan mereka.

Kapten Harimau Malaya, Mohd Safiq Rahim dan pemain pertahanan, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak sekali lagi menjadi wira apabila meledak gol seperti perlawanan pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada perlawanan pertama Rabu lalu.

Harimau Malaya melakukan dua pertukaran dalam kesebelasan utama malam semalam berbanding pada perlawanan pertama yang dimenangi dengan keputusan 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Rabu lalu dengan memasukkan Norshahrul Idlan Talaha dan Mahalli Jasuli manakala lawan melakukan satu pertukaran di pertahanan kanan dengan pemain yang berpangkalan di Belgium, Xavier Tsan-Yuan. Kehadiran Xavier sedikit sebanyak memberikan suntikan semangat kepada rakan-rakannya apabila tuan rumah mengasak ke kubu Harimau Malaya sejak wisel permulaan ditiup namun penjaga gol negara, Mohd Sharbinee Allawee ampuh bertahan sebagai benteng terakhir.

Harimau Malaya bagaimanapun berjaya membuat kejutan awal menerusi pemain pertahanan tengah, Mohd Aidil Zafuan hasil sepakan percuma dari jarak 35 meter pada minit kelapan permainan.

Rembatan kencang bekas kapten negara itu menerusi sepakan percuma dari luar kotak penalti menggegar palang sebelum menerjah jaring menewaskan penjaga gol lawan, Lin Po-Cheng. Gol itu nyata mencabar semangat lawan yang mendapat sokongan kira-kira 10,000 penyokong tempatan apabila Chang Han meledak gol penyamaan selepas keadaan kucar-kacir dalam kotak penalti skuad negara pada minit ke-31.

Harimau Malaya yang mendapat sokongan kira-kira 500 peminat kembali mendahului pada minit ke-38 apabila sepakan percuma Mohd Safiq menerjah jaring untuk menewaskan Po-Cheng untuk kali kedua sebelum sepakan penalti, Chang Han menyamakan kedudukan pada minit ke-43.

Pengadil dari Vietnam, Vo Minh Tri sekali lagi memberikan penalti kepada tuan rumah pada minit ke-60 namun kali ini giliran Mohd Sharbinee membuktikan kejaguhannya apabila menepis sepakan Chen Po-Liang.

Xavier akhirnya menjaringkan gol untuk negaranya pada minit ke-73 apabila Minh Tri menghadiahkan penalti ketiga kepada Taiwan selepas Mohd Sharbinee didakwa menjatuhkan Po-Liang dalam kotak penalti.

Categories: Sport Tags:

‘Kesilapan menghukum kami’

July 4th, 2011 No comments

KAPTEN Harimau Malaya, Mohd Safiq Rahim turut senada dengan ketua jurulatih negara, Datuk K Rajagobal apabila menggesa rakan sepasukan meningkatkan rentak permainan sekiranya mahu melangkah lebih jauh dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2014 kali ini.

Menurut pemain berusia 24 tahun itu, terlalu banyak kesilapan di setiap bahagian hingga membuka ruang kepada lawan untuk mencipta kemenangan 3-2 sekali gus menamatkan rekod tanpa kalah sejak penghujung tahun lalu.

Namun Harimau Malaya bernasib baik apabila peraturan gol di tempat lawan membolehkan Malaysia mara ke pusingan kedua bertemu Singapura pada 23 dan 28 Julai sekali pun terikat 4-4.

“Kami banyak melakukan kesilapan hingga membolehkan lawan menghukum kami dengan meledak tiga jaringan selain menghadiahkan tiga penalti.

“Ini bukan permainan sebenar kami. Kami perlu sedar dan bangkit dengan segera. Keadaan seperti ini tidak boleh berterusan,” kata perancang tengah itu.

Pada aksi semalam, skuad negara terutamanya di barisan pertahanan gagal menyerap tekanan dengan baik apabila pemain Taiwan berjaya melepaskan diri untuk mengancam kubu negara.

Malah tiga sepakan penalti terpaksa diberikan pengadil dari Vietnam, Vo Minh Tri apabila barisan pertahanan negara melakukan kesilapan menjatuhkan lawan dalam kotak penalti termasuk penjaga gol, Mohd Sharbinee Allawee Ramli. Namun secara peribadi, Mohd Safiq meletakkan sasaran untuk melangkah lebih jauh pada aksi kali ini terutamanya dengan pasukan serantau, Singapura menjadi penghalang untuk mara ke peringkat seterusnya.

“Kejayaan ke pusingan kedua amat menggembirakan dan saya secara peribadi, saya juga yakin kami akan melangkah lebih jauh,” katanya yang menjulang Piala AFF penghujung tahun lalu.

Kita perlu realistik

March 28th, 2011 No comments
Datuk Lee Chong Wei
Datuk Lee Chong Wei

“DI dalam bidang sukan kita tak boleh bohong, perlu realistik dalam menetapkan sasaran dan bukannya sekadar angan-angan. Kita juga perlu akur belum ada atlet negara yang mencapai tahap meyakinkan mampu beraksi di Sukan Olimpik.”

Demikian kenyataan pengkritik sukan tanah air, Tan Sri Dr Prof Emeritus Khoo Kay Kim yang tetap tegas dengan pendirian beliau bahawa misi meraih pingat emas pertama di Sukan Olimpik agak sukar meskipun empat emas disasarkan pada temasya yang bakal berlangsung di London, tahun depan.
Selain harapan besar disandarkan kepada jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, turut memikul berat merealisasikan impian itu ialah Mohd Azizulhasni Awang (basikal), Pandelela Rinong (terjun) dan pasangan beregu, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.

Agak keliru dengan sandaran diletakkan di bahu barisan atlet itu, Kay Kim mempersoalkan bagaimana mereka dinilai sehingga diberi harapan besar menghadirkan kilauan emas di Sukan Olimpik.
“Terjun contohnya, kalau dinilai berdasarkan aksi di Sukan Komanwel, saya rasa ia tidak adil kerana tiada penerjun dari China beraksi di kejohanan itu berbanding Sukan Olimpik sedangkan kita semua tahu China adalah kuasa besar acara itu,” katanya.
Pun begitu, seperti kenyataannya sebelum ini, Kay Kim tetap mengakui hanya acara badminton menerusi Chong Wei mampu menghadirkan sedikit harapan untuk melakar emas pertama di Sukan Olimpik.

“Saya akui Chong Wei boleh melakukan sesuatu tetapi prestasinya pula terumbang-ambing. Jadi kesudahannya, saya tak nampak siapa yang boleh diharapkan.
“Namun, secara keseluruhan, saya tidak nafikan kontinjen negara tidak mustahil boleh meraih pingat emas tetapi ia agak sukar,” katanya.

Semalam, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong menerusi laporan di dada akhbar menegaskan jangkauan untuk memenangi empat pingat emas di temasya terulung itu bukan misi mustahil.
Zolkples berkata, meskipun sasaran sebenarnya sebutir emas, keupayaan atlet negara untuk memenangi empat emas di London sememangnya boleh direalisasikan.

Categories: Sport Tags: