Archive

Archive for the ‘Politic’ Category

Rakaman Video Aksi Seks Dipercayai Pemimpin Tertinggi Pembangkang Kini Muncul

March 21st, 2011 No comments

PETALING JAYA: Dunia politik tanah air pada Isnin dikejutkan dengan penemuan pita rakaman aksi perlakuan seks seorang pemimpin tertinggi parti pembangkang dengan seorang wanita asing di sebuah hotel di ibu kota dekat sini.

Rakaman bertarikh 21 Februari yang berdurasi selama 30 minit itu menunjukkan aksi-aksi seks Ahli Parlimen berprofail tinggi berkenaan dari pelbagai sudut yang jelas menampakkan wajah beliau bersama wanita terbabit yang dipercayai seorang pelacur.

Pita rakaman berkenaan ditemui tersembunyi di dalam bilik hotel berkenaan baru-baru ini.

Malah, jam tangan pemimpin terbabit dikatakan tertinggal di bilik itu selepas aksi berkenaan dirakamkan.

Beberapa wakil media telah dipertontonkan dengan rakaman berkenaan secara individu di sebuah bilik hotel oleh sekumpulan orang yang tidak dikenali yang diketuai oleh seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai Datuk T.

Datuk T memberitahu, dia mahu media menyaksikan sendiri rakaman tersebut sebelum menyerahkan kepada pemimpin berkenaan dan isterinya untuk tujuan pengecaman dalam tempoh seminggu ini.

Katanya, jika ahli politik kanan berkenaan dikenal pasti, pemimpin itu dan isterinya perlu ‘mengundurkan diri dari politik’ kerana ternyata beliau bukan seorang yang ‘warak dengan moral yang tinggi seperti mana yang digambarkan’.

Kata Datuk T lagi, jika kedua-dua mereka enggan berundur, beliau akan memanggil beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membentuk satu panel bebas serta mengupah pakar forensik bagi mengkaji keaslian rakaman berkenaan.

Beliau mendakwa secara tidak sengaja menemui pita rakaman terbabit selepas diminta oleh pemimpin politik berkenaan mencari jam tangannya yang tertinggal di bilik di mana rakaman itu dipercayai dilakukan.

“Saya tidak menemui jam tangan itu di atas meja, jadi saya cari di belakang meja solek. Saya terkejut terlihat banyak wayar di belakangnya.

“Selepas meneliti, saya temui empat kamera litar tertutup (CCTV), saya kemudian cuba membuka dua laci dari meja solek berkenaan dan mendapati salah satu daripadanya berkunci.

“Saya cuba buka laci berkenaan dengan mengumpil kuncinya sebelum menemui perakam CCTV yang masih aktif, saya putuskan wayarnya dan ambil perakam itu,” dakwanya lagi.

Beliau bertegas tidak menyerahkan kepada mana-mana pihak kerana bimbang ia akan disalin dan disebarkan.

Wakil-wakil media termasuk The Star dipertontonkan rakaman tersebut melalui komputer peribadi di bilik itu yang dikawal ketat.

Sebelum masuk, wartawan The Star diperiksa dan telefon bimbitnya diambil.

Lain-lain media termasuk dari BERNAMA, New Straits Times, Utusan Malaysia, China Press, portal berita Internet, agensi berita asing dan sekurang-kurangnya seorang wakil daripada organ pembangkang turut hadir.

Rakaman berkenaan menunjukkan imej yang jelas akan pemimpin pembangkang berkenaan dan wanita terbabit berkulit cerah yang dipercayai dari Asia Timur.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad dalam reaksi segeranya menerusi laman Tweeter menyifatkan ia adalah rakaman palsu.

Nik Aziz: Masih wujud budaya kuning di Kelantan, tapi peninggalan BN

February 15th, 2011 No comments

Nik Aziz: Masih wujud budaya kuning di Kelantan, tapi peninggalan BN

February 14, 2011

KOTA BARU, 14 Feb – Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata wujudnya kegiatan perjudian dan pelacuran di Kelantan disebabkan kurangnya penguatkuasaan kerajaan tempatan.

Nik Aziz (gambar) juga berkata wujudnya kegiatan itu adalah juga hasil peninggalan kerajaan dahulu dan beliau menyalahkan media massa yang mempengaruhi rakyat di negeri ini dengan budaya kuning.

Mursyidul Am Pas itu telah ditanya mengapa masih terdapat kegiatan perjudian nombor ekor dan pelacuran di negeri ini walaupun kerajaan negeri telah mengharamkan lesen premis berkenaan selepas mengambil alih negeri ini pada 1990.

“Kalau adapun, boleh jadi kerana kurangnya penguatkuasaan dalam membanteras kegiatan itu daripada berleluasa,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perjumpaan dengan 24 wakil masyarakat Orang Asli di kediaman rasminya di JKR 10, di sini, hari ini.

Pendedahan media beberapa hari lepas mengenai kegiatan maksiat itu telah memberi gambaran negatif dalam pentadbiran kerajaan Pas Kelantan dalam melaksanakan konsep membangun bersama Islam.

Sehubungan itu, Nik Aziz mahu pihak penguatkuasa di negeri ini meningkatkan langkah membanteras kegiatan haram itu. – Bernama

Anwar Ibrahim Menyanyi Lagu Teratak

February 8th, 2011 No comments
Bila Anwar Ibrahim Menyanyi…

Oleh DIYANA ROSE KAMALLUDEEN

Anwar Ibrahim ketika majlis pelancaran album Teratak

PETALING JAYA: Penasihat Parti Keadilan (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pertama kali menyumbangkan suara dalam sebuah lagu berjudul Teratak yang merupakan sebuah projek amal Ahli Parlimen Kelana Jaya, Gwo-Burne Loh dan kumpulannya, d*Crew.

Menurut Anwar, walaupun hanya memainkan peranan kecil dalam projek itu, beliau amat gembira kerana ia merupakan inisiatif untuk menarik minat golongan muda.

“Saya melakukannya sebab Gwo-Burne desak. Saya sangat tidak selesa tetapi cuba berlatih di kamar mandi. Memang saya gemarkan muzik seperti Elvis Presley dan sebagainya, tetapi ini serius.

“Apabila Gwo-Burne bawa saya ke studio, saya mendapati bahagian saya paling susah! Tetapi saya enjoy dan cuba menjiwai lirik sebaik mungkin. Ada sedikit perubahan dibuat agar lebih sesuai dengan saya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran album Teratak di Subang Jaya, Selasa lalu.

Album Teratak merupakan sebuah projek amal bagi mengumpulkan dana membantu meningkatkan prasarana di kawasan penempatan pengundi berpendapatan rendah.

Sementara itu, Gwo-Burne berkata, apabila pertama kali mendengar suara Anwar, dia hampir menitiskan air mata kerana terharu dengan nyanyian beliau yang bernada sayu.

Peminat cilik Datuk seri Anwar Ibrahim

Katanya, menulis lirik untuk Ketua Pembangkang itu adalah satu cabaran baginya terutama apabila Anwar mengakui lebih gemarkan lagu berentak rancak.

“Idea selalunya datang apabila saya berada dalam keadaan murung, suatu masa dahulu saya meluahkan emosi menerusi lagu. Sekarang, saya menggunakan ‘kelebihan’ itu untuk mendekati masyarakat dengan cara baru,” kata Gwo-Burne yang menyasarkan kutipan RM200,000 hingga RM300,000 untuk jualan amal Teratak.

Dalam pada itu, beliau juga memberitahu projek Teratak ini tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Pakatan Rakyat.

“Semua orang mengadakan majlis makan malam atau majlis amal dengan menjual meja untuk mengumpulkan dana. Ini dipanggil ‘politik baru’ tetapi sejak dahulu lagi sudah ramai orang buat, akhirnya saya jual meja pada dia, dia jual meja pada saya.

“Disebabkan saya masih baru (dalam politik) saya mahu cuba sesuatu yang lain untuk menjana lebih dana sumbangan kepada golongan miskin dalam kawasan Parlimen kami,” jelasnya yang menulis gubahan solo istimewa untuk Anwar.

Album mini tersebut merupakan cetusan idea beliau yang terbabit dalam hampir keseluruhan projek termasuk perancangan dan fotografi istimewa sebagai penghias album Teratak.

Manankala, adiknya, Gwo-Tynde Loh pula bertanggung jawab ke atas arahan seni termasuk rekaan penghias album, laman web dan bahan-bahan lain.

Empat lagu dimuatkan dalam album mini tersebut antaranya Teratak yang menampilkan The Wayfarers dengan lagu istimewa dari Anwar dan Elizabeth menerusi Feeling Fun selain Jia (Teratak dalam versi Mandarin) dan We Are All The Same.

Kesemua lagu diterbitkan oleh DJ Hope dengan lagu ditulis oleh Danny Tan, lirik oleh Faisal Mustafa, Ivone Tjuatja Dharma (Teratak) dan Gwo-Burne (Teratak dan Feeling Fun) serta disusun oleh James & Co.

Cakera padat edisi terhad Teratak tidak dijual, sebaliknya merupakan ‘cenderahati’ percuma apabila anda menyumbang minimum RM25 kepada dana kebajikan anjuran pejabat Ahli Parlimen Kelana Jaya.

Untuk maklumat lanjut mengenai cakera padat terhad Teratak, layari www.kelanajayamp.com atau www.uni-tee.org untuk memuat turun trek pilihan anda.