Archive

Archive for the ‘Berita Hiburan’ Category

Skandal hidup mewah Zahida terbongkar

April 22nd, 2012 No comments

Skandal hidup mewah Zahida terbongkar

MENERUSI akaun Twitter, Zahida Rafik menafikan dirinya terlibat dengan skandal seperti yang hangat diperkatakan ramai. Dia juga menyerahkan perkara itu kepada peguamnya. Tulis Zahida dalam Twitternya, dia mengasihani situasi bekas pemandu peribadinya itu kerana terdesak untuk mendapatkan wang dengan cara memfitnah orang lain.

 

SEJAK Rabu lepas, namanya hangat menjadi bualan di laman-laman web serta portal hiburan tanah air. Itu semua gara-gara satu pembongkaran hubungan terlarang Zahida Rafik dengan seorang VIP.

Pembongkaran skandal yang didakwa dilimpahi kemewahan itu didedahkan oleh sekumpulan politik di lobi Parlimen baru-baru ini.

Memetik laporan blog-blog di Internet, Zahida, 37, didakwa meraih habuan besar hasil hubungan sulitnya bersama seorang kenamaan. Mereka didakwa berjumpa di hotel-hotel sekitar Kuala Lumpur, dan Zahida dikatakan menerima wang sehingga RM200,000.

Wang itu bagaimanapun tidak dibayar terus ke tangan Zahida sebaliknya dibayar kepada pemandu yang juga pengawal peribadi Zahida. Lelaki berkenaan diupah oleh VIP tersebut sejak tiga tahun lalu.

Zahida dikatakan menerima wang sehingga RM1.4 juta dalam Oktober 2011 hingga Januari lalu.

Kepada pemerhati dunia hiburan, skandal Zahida bersama seorang VIP bertaraf Datuk itu sebenarnya bukan berita baharu.

Ramai yang curiga terhadap gaya hidup Zahida yang dianggap tidak seiring pencapaian karier lakonannya.

Sudah bertahun kisah Zahida itu cuba dirisik, namun dia sering menjelaskan kemewahannya itu adalah hasil keuntungan perniagaan yang diusahakan bersama ahli keluarganya.

Ramai yang mula mengerutkan dahi apabila Zahida membuat laporan polis setelah pemandu peribadinya melarikan wang tunai miliknya sebanyak RM200,000 baru-baru ini.

Pada 3 Mac lalu, sebuah akhbar bukan terbitan Kumpulan Utusan pernah melaporkan Zahida membuat laporan polis setelah wang tunai RM200,000 miliknya dilarikan.

Zahida yang popular menerusi filem komedi Anak Mami The Movie menyerahkan wang tunai berkenaan kepada pemandu lelaki berusia 37 tahun itu untuk dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya, namun sejak itu, suspek berkenaan gagal dihubungi serta dipercayai sudah melarikan diri.

Zahida kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya dan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin sendiri telah mengesahkan menerima laporan berkenaan. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah.

“Sebelum ini sudah banyak kali dia (pemandu peribadinya) membantu saya dalam urusan memasukkan duit ke dalam akaun bagi urusan kerja, tapi tidaklah jumlah yang besar sebegini.

“Kebiasaannya saya akan turut sama pergi dan dia hanya menemani. Namun, kali ini saya benar-benar tidak sempat kerana ibu sakit dan saya agak kelam-kabut di rumah bagi menguruskan beberapa perkara,” kata Zahida seperti yang dilaporkan.

Pemandu itu turut membuat laporan balas sebagai persediaan berdepan tuduhan Zahida. Menurut sumber, pemandu itu kemudian bertemu seorang peguam tanpa mengetahui latar belakang peguam berkenaan yang sebenarya ada kepentingan untuk menjatuhkan nama majikannya yang berstatus VIP.

Kosmo! menghubungi Zahida untuk mendapatkan ulasan daripadanya tetapi dia memilih untuk berdiam diri.

Ruangan Diva pada 18 Mac sebelum ini pernah menulis gosip berhubung kehidupan mewah yang diraih seorang artis tempatan sehingga mencecah ratusan ribu setiap kali mereka bertemu bagaimanapun tiada nama dikaitkan dalam artikel berkenaan.

Mazlan tidak berkira bayaran

April 22nd, 2012 No comments

Mazlan tidak berkira bayaran

MAZLAN muncul dengan single pertamanya Ayumu Merisaukan Aku.

 

MAZLAN HAMZAH sedaya upaya mahu mencuri perhatian khalayak. Bajanya terus ditabur agar lekas tumbuh dan terus matang sebagai seorang penyanyi berjaya.

Agak terlewat tampil dengan lagu single pertama ketika berada pada usia 31 tahun, Mazlan bagaimanapun tidak menoleh ke belakang. Apa yang difikirkannya, pendengar harus cepat mesra dengan lagu nukilan komposer Saari Amri itu.

“Harap-harap orang ramai dapat terima single pertama saya yang berjudul Ayumu Merisaukan Aku. Lagu itu baru sahaja dikeluarkan pada penghujung Disember lalu.

“Melihatkan respons yang saya terima, ada yang memuji dan ada juga yang mengkritik,” katanya membuka bicara.

Namun, usaha mempromosi diri menjadi sia-sia jika Mazlan tidak mampu berkerja. Belum sempat berasa dunia popular, Mazlan berdepan ujian besar. Nikmat suaranya tiba-tiba ditarik seketika.

Ketika itu, lagu pengenalannya baru sahaja sebulan diuar-uarkan kepada pendengar. Kelunakan suaranya tiba-tiba berubah menjadi serak sehinggalah Mazlan tidak dapat berdendang lagi.

“Masa itu lagu single tersebut baru sebulan dilancarkan. Selepas demam dan suara serak berterusan, akhirnya saya tidak dapat menyanyi. Suara tersekat, nak bercakap pun susah.

“Pada Februari dan Mac lalu saya terpaksa berehat kerana doktor mengesahkan terdapat ketumbuhan pada kotak suara yang mengganggu pertuturan saya. Banyak tawaran nyanyian terpaksa ditolak,” cerita Mazlan yang mempertaruhkan lagu berentak balada.

Nyata semangat membuak-buak untuk menjenamakan diri Mazlan sedikit meluntur selepas pancaindera itu mengalami kecederaan.

Namun, pembedahan membuang ketumbuhan yang dijalankan pada penghujung Mac lalu memberi sedikit harapan buat Mazlan untuk terus memperkukuhkan jenamanya.

“Jujurnya, ketika itu saya memang berasa patah semangat kerana tidak dapat menyanyi. Tetapi saya bersyukur kerana pembedahan itu dapat mengembalikan suara saya.

“Apa pun saya jadikan ia sebagai pengajaran agar sentiasa berwaspada daripada sebarang ujian mendatang. Lagipun kesakitan itu hadir ketika saya baru beberapa bulan menjadi penyanyi,” ujar anak kelahiran Pulau Pinang itu.

Membuka lembaran baharu selepas ditimpa kesakitan, Mazlan kini memacu momentum lebih kuat agar apa yang telah terlepas dikutip semula.

Tidak berkira soal bayaran yang diterima, Mazlan sebolehnya tidak menolak mana-mana tawaran persembahan. Sedar dengan status sebagai orang baharu, baginya nilai sebuah pengalaman mengatasi nilai wang ringgit yang diterimanya.

“Saya tetap menerima apa-apa tawaran daripada mana-mana penganjur walaupun menjemput saya dengan percuma ataupun diberikan token sahaja. Sebagai seorang yang baru bertapak, itulah yang harus saya telan.

“Tetapi saya harap agar penganjur sedar dengan apa yang telah saya lakukan itu, sekurang-kurangnya diberikan bayaran setimpal walaupun nama saya baru mula bertapak,” katanya yang mempunyai pengalaman menjadi penari selama 14 tahun.

Aura keras Amy Search

April 22nd, 2012 No comments

Aura keras Amy Search


 

AMY SEARCH punya aura yang cukup besar walaupun dia berada di Pulau Bali, Indonesia.

Walaupun jarak antara Kuala Lumpur dan Bali hampir 2,000 kilometer, Amy tetap santai di sebalik kesibukannya merakam projek terbaharunya, MP3 Search.

Amy menggunakan masa sepenuhnya ketika di Bali untuk melempiaskan idea dan kreativiti untuk pembikinan biografinya kelak.

Namun kerana auranya yang besar dan imejnya yang terletak perkataan rock n roll, dia dengan mudah dikenali oleh warga Indonesia di sana.

Rata-rata ramai yang menegurnya, berpeluang berjabat salam dan bertanya khabar. Kata mereka, disangkakan Amy masih berimej rambut panjang. Tersenyum manis, Amy yang ditemani sang isteri, Norhasniza Hassan berkata, dia mahu kekal dengan imej rambut sekarang yang dirasakan selesa dan sesuai.

Itulah Amy Search, vokalis yang tidak pernah pudar aura mahupun aktiviti seninya. Sentiasa mendapat perhatian peminat dan promoter persembahan, vokal mantapnya masih menangkap jiwa yang mendengar dan mata yang memandang.

Baru sahaja selesai dengan rangkaian konsert Fenomena 30 Tahun Search yang berakhir di Stadium Negeri, Kuching pada 31 Disember lalu, Search sudah punya perancangan-perancangan terbaharu untuk tahun ini dan mendatang. Terbaru, mereka muncul dengan sebuah item premium iaitu MP3 yang mengandungi 101 buah lagu. Sebuah cenderamata yang seharusnya dimiliki oleh para peminat tegar Search.