Zizan Raja Lawak dan Dira Abu Zahar Ganti Fara Fauzana & Wahid pengacara Melodi?
PANAS… Panas… Panas! Walaupun dalam keadaan cuaca yang tidak menentu, sekejap terang sekejap lagi hujan, dunia hiburan tetap panas dan menggelegak. Kisah panas terbaru yang sampai ke telinga Cik Normah ialah mengenai program hiburan Melodi.
Apa lagi yang panas dan hangatnya pasal Melodi ini? Haaa… Yang menggelegak kali ini ialah pasal pengacaranya. Dengarnya, pada Mac nanti, penonton setia program itu tidak akan lagi melihat kelibat Fara Fauzana mengendalikan program terbabit. Hai, apa yang sudah berlaku?
Apakah pengacara popular itu merajuk hingga tidak mahu lagi mengemudikan rancangan hiburan terbabit? Atau Fara ada masalah dengan Wahid? Tapi jika melihat mereka mengacarakan program itu pada setiap minggu, hubungan mereka nampak baik saja. Tak ada pula gaya macam orang bergaduh.
Mengikut khabar angin yang bertiup ke pejabat Cik Normah, kononnya Fara sudah pun penat mengendalikan program sama. Maklumlah sudah enam tahun dia mengacarakan Melodi. Jadi, dia hendak mencari angin baru. Fara juga kalau tak silap Cik Normah, pengacara paling lama bertahan mengacarakan program itu.
Sekiranya betul cerita yang sampai ke telinga Cik Normah ini, nampaknya mesti ramai peminat Fara yang akan bersedih. Bagaimanapun, kalau dari hati budi Cik Normah yang luhur lagi suci ini, Cik Normah tak kisah pun jika Fara nak mengucapkan selamat tinggal kepada Melodi. Bukannya apa, Cik Normah pun berasakan sudah terlalu lama Fara mengacarakan rancangan itu. Angin pembaharuan memang perlu bagi memantapkan lagi program terbabit, yang bagi kebanyakan orang sudah mula berasa seperti suam-suam kuku.
Melodi bukan lagi macam dulu. Kalau dulu, terasa rugi jika terlepas menonton Melodi. Sekarang ini pula, ibaratnya tidak menonton pun tak mengapa.
Cik Normah dengar cerita, pengumuman mengenai pertukaran pengacara akan dibuat tidak lama saja lagi. Dengar khabarnya juga, Dira Abu Zahar akan menggantikan tempat Fara. Mungkin TV3 sudah membuat keputusan semasak-masaknya dengan memilih Dira sebagai hos baru.
Patutlah sudah dua tiga kali wajah Dira muncul dalam program berkenaan. Cik Normah sempat juga menonton Dira mengacarakan program itu baru-baru ini dan Cik Normah tidak nafikan, Dira mempunyai bakat sebagai pengacara. Cuma jika mengukur dari sudut aura, Cik Normah ada sedikit kemusykilan di situ.
Bagi Cik Normah, rancangan Melodi memerlukan personaliti yang bermulut bertih dan ada elemen nakal sikit. Baru menjadi. Bagaimanapun itu hanya pandangan peribadi Cik Normah saja, mungkin penonton di luar sana suka dengan Dira.
Cik Normah juga percaya, isi kandungan program itu ialah elemen yang harus diberikan keutamaan, untuk menjadikan Melodi lebih menarik. Letaklah sesiapa pun, jika program itu bagus, ia akan tetap diminati.
Jika kemunculan Dira memberi isyarat dia akan menggantikan tempat Fara, bagaimana pula dengan kemunculan Zizan? Adakah Zizan juga akan menggantikan tempat Wahid? Jika betul, nampaknya memang kecoh jadinya program itu. Tahun 2010 dan tahun ini juga nampaknya memang tahun untuk Zizan kerana jejaka kelahiran Kuala Terengganu itu memang menjadi pilihan ramai.