Home > Berita Hiburan > Kutipan Khurafat RM2.5 juta dalam masa Empat hari

Kutipan Khurafat RM2.5 juta dalam masa Empat hari

PERCUBAAN pertama pengarah muda, Syamsul Yusof menghasilkan filem seram, membuahkan hasil apabila Khurafat – Perjanjian Syaitan membuka tirai 2011 dengan kutipan membanggakan, RM2.5 juta untuk tempoh empat hari tayangan.

Filem terbitan Skop Productions Sdn Bhd yang turut ditunjangi Syamsul sebagai watak utama bersama Liyana Jasmay, Sabrina Ali, Salina Saibi, Fauziah Nawi, Mariani dan Latif Borgiba, mendapat perhatian peminat filem Melayu sejak mula ditayangkan di pawagam pada 13 Januari lalu.

Produsernya, Datuk Yusof Haslam berkata, kejayaan ini cukup membanggakan kerana ia percubaan pertama Syamsul untuk mencuba pelbagai genre selepas dikenali dengan filem aksi.

Katanya, sebagai bapa sudah tentu memberi galakan sepenuhnya kepada Syamsul dan turut memberi tunjuk ajar terutama bagi genre seram yang ada kaitan dengan agama.

“Ternyata sentuhan pertamanya mendapat maklum balas cukup baik daripada media dan peminat filem Melayu. Sejak pra-tonton dengan media lagi, mereka mengatakan filem ini ada potensi mencatat kutipan yang baik.
“Tinjauan kami ke beberapa panggung juga menunjukkan sambutan memang meriah. Paling membanggakan, apabila mereka memberi tepukan apabila selesai saja tayangannya.

“Sememangnya sambutan diberikan untuk Khurafat paling meriah berbanding tiga filem arahannya sebelum ini, Evolusi KL Drift, Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam dan Evolusi KL Drift 2.

“Bagaimanapun, dari segi jumlah kutipan untuk empat hari, ia hampir sama dengan KL Drift 2,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Yusof berharap Khurafat turut mencatat kejayaan besar seperti KL Drift 2 yang mencatat lebih RM5 juta.

Katanya, berdasarkan kutipan empat hari tayangan, pihaknya yakin Khurafat mampu mengulangi kejayaan KL Drift 2.

“Kejayaan awal ini memberi kepuasan dan semangat kepada Syamsul yang begitu berdebar-debar menantikan tayangannya sebelum ini.

“Waktu sama, Syamsul kini sibuk di lokasi filem barunya, lanjutan dari filem Bohsia, Jalan Kembali yang memulakan penggambaran di Dataran Merdeka, hari ini (semalam).

“Skripnya lebih kemas dan sarat dengan mesej untuk memimpin mereka kembali ke jalan yang benar.

“Semangat ini Syamsul dapat selepas menghasilkan Khurafat yang banyak paparkan pengajaran agama,” katanya.

Mengenai rahsia kejayaan Khurafat, Yusof tidak menolak kejayaan Syamsul di Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23) untuk Pengarah Terbaik turut membantu kerana mereka ingin melihat sentuhan terbarunya, apatah lagi menerusi genre seram.

“Walaupun kejayaannya di FFM23 dipertikaikan, ternyata ada kemanisan apabila Syamsul turut meraih kejayaan di Anugerah Skrin 2010, begitu juga pencalonannya di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 (ABPBH2010) untuk Pelakon Filem Lelaki Popular,” katanya.

Khurafat mengisahkan perjanjian terlarang dan salah satu bentuk penyelewengan dalam aqidah Islam diantara manusia dan syaitan, sesuatu yang amat ditegah dalam agama suci kita. Tapi manusia tanpa mengira akibat .. membelakangkan Allah, disokong dengan nafsu dendam serakah akhirnya hanyut dengan bisikan syaitan. Kisah bermula dengan Johan, seorang pemuda yang bekerja sebagai Pembantu Hospital.

Sudah berkahwin dan mempunyai seorang isteri bernama Aishah. Pasangan ini diawal perkahwinan hidup aman dan bahagia namun tanpa disangka trauma melanda dipertangahan jalan. Mereka sering diganggu oleh lembaga aneh. Bermacam-macam usaha telah dilakukan namun gangguan itu tetap berterusan. Ini amat menakutkan mereka lebih-lebih lagi Johan. Kehadiran seorang perempuan tua misteri … ditambah dengan munculnya bekas teman wanita Johan bernama Anna yang bersiakp pelik dan menakutkan menambahkan lagi episod trauma paangan ini… Anna sentiasa menganggu Johan walaupun ketika Johan bersama Aishah. Ini menyebabkan Johan bertambah runsing. Tidak lama selepas itu Anna ditemui mati bunuh diri dengan mayatnya tergantung. Kematian Anna adalah kemuncaknya perkara-perkara aneh yang berlaku dalam hidup Johan. Bayangan Anna mula menganggu Johan mahupun Aishah.

Hidup Johan semakin tertekan. Setelah diasak pelbagai kejadian aneh akhirnya barulah terungkap segala misteri. Johan akhirnya akurdengan kesilapan silamnya… perbuatan Khurafat yang diamalkan kini menuntut haknya dan Johan terpaksa membayarnya dengan harga yang amat tinggi. Kesimpulannya Khurafat adalah satu amalan yang mengalih pergantungan manusia daripada Khalik (pencipta/Allah) kepada makhluk (yang dicipta). Di dalam Al-Quran terdapat beberapa ayat yang menyeru kepada pergantungan kepada Allah dan menolak kepercayaan terhadap yang selainnya bagi mendapat kebaikan dan menolak keburukan. Yang memberi segala kenikmatan dan keyakinan hanya Allah. KepadaNya seluruh makhluk bergantung. Akhirnya apakah kesudahan KHURAFAT?

  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.